Khamis, 31 March 2022 | 8:09pm
Abu Bakar menjelaskan teman-teman Raihan mengenali Yasin sebagai sahabat baik. Foto IG Raihan
Abu Bakar menjelaskan teman-teman Raihan mengenali Yasin sebagai sahabat baik. Foto IG Raihan

'Kes Yasin, usah cepat menghakimi'

KUALA LUMPUR: Abu Bakar Mohd Yatim iaitu ahli kumpulan nasyid popular, Raihan, menasihatkan semua pihak agar usah cepat menghakimi Yasin Sulaiman yang berdepan dakwaan mengedar ganja kerana tidak tahu apa yang dialami penyanyi dan komposer itu dalam hidupnya.

Abu Bakar berkata, Raihan mengenali Yasin sebagai sahabat yang baik.

"Yasin sahabat baik kami. Dia dikenali sebagai seorang yang baik. Semua orang tahu dia ada penyakit dan kita, tidak tahu apa yang dialaminya.

"Disebabkan itu, jangan cepat hendak menghakimi.

"Saya tidak bercakap begini sebab Yasin kawan saya, tetapi sesiapa pun, kita jangan cepat hendak menilai. Ini kerana kita tidak tahu apa yang dialaminya berikutan dia (Yasin) ada penyakit bipolar.

"Sebelum ini, ada berlaku perkara yang menunjukkan dia berpenyakit dan kami nampak masalah dialami.

"Ketika mula dengar kisah ini pun, kami tidak terus simpulkan dirinya sebagai penagih sebab kami kenal dia bukan macam itu," katanya kepada BH Online.

Abu Bakar mengulas mengenai Yasin yang berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor, hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.

Abu Bakar berkata, tidak adil untuk membuat 'pukul rata' bahawa semua penyanyi nasyid bermasalah.

"Penyanyi nasyid juga manusia biasa yang ada kelemahan dan kekurangan.

"Jadi, dengan keadaan sekarang, kita doakan yang terbaik buat Yasin, anak-anak dan keluarganya. Apa yang penting, kita mendoakan agar ada pihak yang boleh membantu dia kerana apa yang dilaluinya, bukan kes biasa.

"Kita bersangka baik bahawa dia ada penyakit dan berdoa supaya Allah pimpin dan bantu dia," katanya.

Raihan ditemui pada sidang media Alif Satar & The Locos X Raihan, The Sunnah The Better di Hadramawt Kitchen, Jalan Ampang, di sini, petang tadi.

Selepas bekerjasama menerusi lagu Sesungguhnya dan Damba Cintamu, Raihan kembali mengimarahkan Ramadan dengan sebuah EP khas berjudul The Sunnah The Better yang diterbitkan secara eksklusif oleh label rakaman Warner Music Malaysia.

EP itu memuatkan lima lagu terbaik Raihan seperti Bismillah, 25 Rasul, Puji-Pulian, Assolatuwassalam dan Rayan Rindu manakala video muzik (MV) dilancarkan secara berperingkat sepanjang Ramadan.

Abu Bakar berkata, projek itu menampilkan konsep ringkas namun menarik dengan jalan cerita yang mudah difahami semua lapisan umur termasuk kanak-kanak.

"Saya bersyukur kerana sudah lama tidak terbabit dengan rakaman baharu termasuk lakonan. Jadi, kerjasama bersama Alif Satar & The Locos ini adalah satu peluang yang bagus.

"Terima kasih Alif Satar & The Locos kerana sudi ajak bekerjasama dalam projek ini. Ini semua aturan dan kehendak Allah kerana Allah mahu lagu dakwah terus berjalan," katanya.

Semua MV EP boleh ditonton berperingkat secara eksklusif di saluran YouTube Alif Satar. Kelima-lima video muzik ini akan dilancarkan pada jam 5 pagi iaitu pada waktu sahur.

Lagu yang terkandung dalam EP The Sunnah The Better juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan.

Koleksi lagu ini juga boleh didengar dan dinikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, KKBox, Deezer dan juga YouTube Music, mulai esok.

Berita Harian X