Khamis, 31 March 2022 | 11:00am
Kewibawaan Habsah sebagai penulis lirik tersohor diikiraf seperti trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang diterimanya pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, tahun lalu. Foto NSTP
Kewibawaan Habsah sebagai penulis lirik tersohor diikiraf seperti trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang diterimanya pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, tahun lalu. Foto NSTP

'Jagalah keindahan bahasa'

KUALA LUMPUR: Menyemak katalog lagu Melayu sejak akhir-akhir ini, suatu perkara yang tampak ketara hingga mula mencetuskan kerisauan dalam kalangan pengkaji linguistik adalah penghasilan karya dwi-bahasa dalam dendangan.

Pencipta lagu terutama dalam kalangan komposer muda makin cenderung mencampur-adukkan bahasa dalam lirik lagu.

Malah, ada lagu yang diberi judul dalam bahasa Inggeris, tidak kurang juga dicampurkan dengan bahasa Melayu atas hak dan kebebasan berkarya, selain memenuhi permintaan atau pasaran semasa.

Sekadar memberi beberapa contoh, single Bangun dendangan Aman RA yang dilancarkan pada 2018 dan Cute (Stop Lah Being So Cute) yang dirakam Harith Zazman, MFMF dan Loca B terbitan 2020 dikenal pasti sebagai antara karya dwi-bahasa yang mencampurkan penggunaan bahasa Inggeris dan Melayu dalam lirik lagu.

Selain itu, populariti lagu dwi-bahasa meningkat sejak akhir-akhir ini seperti dilihat melalui pencapaian lagu Bangun dendangan Aman RA yang bolos ke pentas akhir, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, dua tahun lalu.

Melihat perkembangan ini, penggunaan bahasa 'rojak' dalam lirik lagu dibimbangi boleh menjadi budaya atau ikutan. Budaya itu dikhuatiri mencerminkan rasa kurang yakin artis tempatan terhadap penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh.

Namun, ada pihak menyifatkan penggunaan dua bahasa dalam lagu sebagai evolusi. Ada juga pandangan menganggap perlakuan itu tidak salah, cuma usahlah mencemar keindahan bahasa Melayu.

Nik Safiah menganggap tidak wajar jika penulis sekarang menganggap kombinasi dua bahasa dalam lagu itu relevan kerana mahu membawa produk menembusi pasaran antarabangsa. Foto NSTP
Nik Safiah menganggap tidak wajar jika penulis sekarang menganggap kombinasi dua bahasa dalam lagu itu relevan kerana mahu membawa produk menembusi pasaran antarabangsa. Foto NSTP

Pakar bahasa Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata, setiap penyanyi dan penulis lirik perlu menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya tanpa mencampur adukkan bahasa lain.

"Budaya itu (lagu dwibahasa) sebenarnya tidak patut digalakkan. Namun, kita tidak boleh melarang penyanyi atau penulis lirik menggunakan bahasa 'rojak'.

"Sekali sekala, bolehlah menggunakan bahasa 'rojak', namun, ia tidak menggambarkan keindahan bahasa kita.

"Justeru, kita merayu kepada penulis lirik supaya lebih sedar mengenai kepentingan bahasa Melayu yang indah dan statusnya sebagai bahasa kebangsaan.

"Apatah lagi apabila lagu itu menjadi popular dan siulan ramai, tidakkah ia kedengaran sedap sekiranya bahasanya pun indah.

"Kita berharap penulis lirik turut memberi tekanan pada lirik lagu selain iramanya agar apabila lagu itu popular, popular jugalah bahasa Melayu yang indah," katanya kepada BH Online.

Nik Safiah menganggap tidak wajar jika penulis sekarang menganggap kombinasi dua bahasa dalam lagu itu relevan kerana mahu membawa produk menembusi pasaran antarabangsa.

"Orang ramai lihat lagu sebagai suatu unsur budaya sesebuah masyarakat. Kita boleh menyanyikan lagu yang kita tidak fahami liriknya, tetapi masih boleh hayati iramanya.

"Jadi, kita tidak perlukan lirik yang dicampur dengan bahasa Inggeris. Bahkan, ia dianggap merendahkan kualiti lagu kita. Sememangnya kita tidak menggalakkan.

"Penyanyi yang membawa sesebuah lagu sepatutnya berbangga dengan lirik yang digunakan," katanya.

Nik Safiah berkata, penulis lirik usah fikir berseronok, sebaliknya, memberi perhatian kepada peranan mereka sebagai pengguna bahasa yang menyebarkan bahasa melalui lagu.

"Saya merayu penyanyi dan penulis lirik agar ada kesedaran dan bangga dengan keaslian, kemurniaan dan maruah bahasa kita," katanya.

Penulis lirik tersohor, Datuk Habsah Hassan atau mesra disapa Kak Chah tidak menolak kenyataan bahawa penulisan lirik hari ini mengalami perubahan mengikut peredaran zaman.

Bagaimanapun, baginya, penulis lirik perlu ada matlamat dalam penulisan. Ini bermaksud, apakah dia mahu karyanya popular dalam jangka masa pendek atau malar segar.

"Apabila saya dijemput menjayakan bengkel penulisan, saya sering bertanya kepada peserta ke mana arah kita mahu bawa lagu kita. Ini kerana kadang-kadang, anak muda kita hanya ikut 'trend'.

"Boleh ikut orang, tapi akhirnya kita sendiri mahu ke mana? Adakah kita berkarya untuk jangka masa pendek atau kita ingin hasil karya kita bertahan lama?

"Sekarang menulis lirik boleh dijadikan sebagai mata pencarian. Jadi, kalau karya kita bagus, tempoh rezeki datang itu pun panjang.

"Contohnya, kalau kita buat lirik yang bagus, ia akan digemari dan berkemungkinan jadi lagu malar segar.

"Selagi lagu berkumandang dan digemari, selagi itu kita akan terima royalti. Jadi, anak-anak muda kena fikir perkara itu. Kalau hanya mengejar 'trend', ia hanya sekejap," katanya.

Namun, Habsah tidak menganggap penggunaan dua bahasa dalam lagu sebagai sesuatu yang salah. Malah, beliau tidak menghalang penggunaan dua bahasa jika sesuai dengan penceritaan lagu.

"Kalau hendak kata tindakan mencampur-adukkan dua bahasa (dalam lagu) merosakkan bahasa kita, itu tidak adil. Kita juga tidak boleh menyalahkan anak muda.

"Mereka ingin sesuatu yang baharu dan mencabar... Itu tidak mengapa.

"Tetapi jika mereka mahu menjadikan bidang penulisan sebagai mata pencarian atau mahu berada dalam industri muzik dalam jangka masa panjang, mereka kena berfikir jauh.

"Katakanlah mereka menghasilkan sebuah lagu untuk syok sendiri. Tetapi melalui lagu lain, mereka kena fikir untuk berkarya secara serius," katanya.

Tambah Habsah jika ada yang mencipta lagu dwibahasa atas tujuan memasarkannya di peringkat antarabangsa, aspek lain dalam karya juga perlu difikirkan.

"Bukan sekadar liriknya harus bercirikan antarabangsa, tetapi, untuk mewakili negara, kita juga perlu memikirkan soal komposisi, gubahan lagu, nyanyian dan sebagainya.

"Jadi, barulah boleh fikir lagu kita layak dibawa ke persada antarabangsa. Tetapi sekiranya kita fikir buat lirik dalam dua bahasa saja boleh bawa ke persada antarabangsa, itu hanya satu daripada 10 bahagian," katanya.

Habsah berkata, penulis lirik juga perlu melihat tema lagu untuk menghasilkan lirik.

"Misalnya, kita dengar lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Dengar Ini Cerita berkisar kisah cemburu yang diketengahkan sesuai ikut jalan cerita.

"Penggunaan istilah seperti 'secretary' dalam lirik lagu itu dianggap sesuai dengan jalan ceritanya.

"Itulah maksud saya, kita kena melihat dari skop luas. Biarlah mencampurkan bahasa apa pun, bahasa Jawa atau Jerman sekalipun, pastikan penggunaan bahasa yang betul dan bermakna serta membantu menghidupkan lagu itu.

"Kombinasi dua bahasa dalam lagu bukan suatu yang baharu. Lagu Jepun pun ada yang bercampur bahasa dan sampai ke persada antarabangsa. Misalnya, lagu berjudul Sukiyaki," katanya yang banyak menghasilkan lirik puitis untuk penyanyi terkenal tanah air.

Justeru, Habsah menegaskan penggunaan kombinasi bahasa perlulah memberi nilai tambah kepada lagu dan menyumbang kepada kreativiti karya terbabit.

Berita Harian X