Isnin, 28 March 2022 | 2:36pm
Penerbit Philippe Rousselet (kiri), Fabrice Gianfermi (kanan) dan Patrick Wachsberger (tengah) bersama trofi kemenangan selepas CODA meraih trofi Filem Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), hari ini. Foto AFP
Penerbit Philippe Rousselet (kiri), Fabrice Gianfermi (kanan) dan Patrick Wachsberger (tengah) bersama trofi kemenangan selepas CODA meraih trofi Filem Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), hari ini. Foto AFP

CODA Filem Terbaik Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94

LOS ANGELES: Filem CODA arahan Sian Heder diangkat Filem Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94 yang disiarkan secara langsung dari Dolby Theatre, di sini, hari ini.

Selain kategori utama, filem yang menyingkap sisi kehidupan insan dikategorikan CODA yang membawa maksud 'child of deaf adults' atau anak kepada insan cacat pendengaran membawa pulang dua trofi lain iaitu Adaptasi Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Ketika menerima trofi, Heder yang ditemani penterjemah bahasa isyarat antara lain berkongsi proses pembikinan filem berkenaan.

"Ini filem 'indie' dan hakikatnya sukar untuk direalisasikan. Justeru, untuk kemenangan pertama ini, saya mahu berterima kasih kepada kru, pelakon, penerbit dan pasukan kerja kerana percayai diri ini.

"Keterujaan saya mahu membikin filem ini menjadi kenyataan. Tidak dilupakan komuniti pekak dan CODA kerana mereka menjadi inspirasi," katanya yang mengadaptasi CODA daripada filem Perancis berjudul La famille Belie hasil nukilan Victoria Bedos.

Heder yang kali pertama dicalonkan pada anugerah berprestij itu tidak lupa merakamkan penghargaan kepada Festival Filem Sundance 2021 yang membuka pintu kepadanya.

"Saya mahu berterima kasih kepada Sundance kerana memulakan kembara perjalanan filem ini. Terima kasih juga kepada Apple TV+ kerana turut bersama dalam perjalanan ini.

"Menulis dan membikin filem ini menjadi perubahan paling besar dalam hidup saya sebagai orang seni dan insan," katanya.

Heder yang turut bertindak sebagai penulis skrip melakukan plot 'twist' dengan menyingkap kisah hidupnya sendiri yang pernah mahu menjadi penyanyi.

Itu yang digambarkan dalam watak Ruby Rossi lakonan Emilia Jones yang mempunyai minat dalam bidang nyanyian.

"Filem ini lebih kepada metafora. Saya ada perasaan dan fikir keluarga sendiri tidak pernah 'mendengar' apa isi hati.

"Saya fikir mahu jadi berbeza dalam kalangan keluarga. Sebab itu, saya berfikir, kalau memilih untuk menjadi penyanyi, keluarga akan mendengar saya.

"Begitu juga seperti watak Ruby yang ada masalah pendengaran dan terhimpit antara tanggungjawab keluarga serta minat menyanyi," katanya yang mengaku filem arahannya itu sangat peribadi buatnya.

Trofi kemenangan Heder disampaikan Lady Gaga dan Liza.

Berita Harian X