Sabtu, 26 March 2022 | 3:00pm
Mira akan berpantang di rumah ibunya selepas bersalin, awal Mei depan. Foto IG Mira Filzah
Mira akan berpantang di rumah ibunya selepas bersalin, awal Mei depan. Foto IG Mira Filzah

Mira menghitung hari

KUALA LUMPUR: Dijangka melahirkan cahaya mata sulung, awal Mei ini, Mira Filzah sebolehnya mahu melalui sendiri pengalaman bersalin secara normal.

Namun, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 ini akur andai keadaan menuntut dia dibedah.

"Saya berhasrat melahirkan anak secara normal. Tetapi, iyalah, semuanya bergantung kepada keadaan. Kita tengok pilihan mana yang okay nanti.

"Jika diikutkan, saya akan lengkap trimester ketiga kehamilan pada pertengahan bulan depan. Namun, ikut jangkaan, saya akan bersalin pada awal Mei.

"Jadi, apa-apa pun, saya kena bersedia termasuk dalam aspek persiapan mental dan fizikal sepanjang fasa akhir kehamilan dan melahirkan anak.

"Saya banyak bertanya dengan teman-teman yang ada pengalaman. Diharapkan segala-galanya dipermudahkan," katanya yang kini sarat lapan bulan.

Pelakon yang popular melalui drama Bidadari Kiriman Tuhan dan Sweet Dreams ini mengaku masih terikat dengan komitmen seni dan promosi beberapa jenama produk.

"Sejak Februari lalu, saya masih aktif dan sibuk menjalani penggambaran beberapa jenama termasuk kempen Aidilfitri.

Hamil lapan bulan, Mira masih terikat dengan komitmen bersama beberapa jenama sehingga pertengahan bulan depan. Foto IG Mira Filzah
Hamil lapan bulan, Mira masih terikat dengan komitmen bersama beberapa jenama sehingga pertengahan bulan depan. Foto IG Mira Filzah

"Komitmen terakhir saya untuk menjalani fotografi kempen raya adalah pada 5 April depan. Insya-Allah, memasuki minggu kedua bulan itu, saya sudah ada banyak waktu lapang," katanya kepada BH Online.

Isteri kepada Wan Emir Astar ini berkata, kerja fotografi dan penggambaran kebanyakannya dilakukan dalam studio atau rumah.

"Kalau membabitkan sudut terbuka pun, di laman rumah. Syarikat produksi faham keadaan saya dan boleh berkompromi. Kalau tiba-tiba lenguh kaki contohnya, saya ambil sedikit masa untuk duduk dan berehat.

"Tidak dinafikan pada peringkat kehamilan sekarang, saya mudah penat. Sampai terasa sakit pada bahagian belakang badan dan kaki membengkak.

"Tetapi apa boleh buat, kerja kena dilunaskan. Kesakitan dan pergelutan masih boleh saya hadapi," katanya.

Mira berkata, berikutan kekangan masa, persiapan untuk si kecil kebanyakannya dibeli atas talian.

"Semua barangan dibeli saya hantar ke rumah emak. Saya akan berpantang di rumah emak.

"Bagaimanapun, saya tidak merancang tempoh rehat selepas bersalin. Semuanya bergantung kepada keadaan diri dan anak. Kalau semua terkawal, saya boleh kembali bekerja.

"Lagipun, saya tiada komitmen kerja yang dipersetujui selepas bersalin dan berpantang. Kebanyakan syarikat produksi nyatakan andai saya sudah boleh bekerja, jangan lupa beritahu mereka," katanya.

Mengenai nama untuk si comel, Mira berkata, beberapa nama sudah dibincangkan dengan suami.

"Cuma belum diputuskan nama yang akan dipilih. Insya-Allah, nama dan jantina anak akan dimaklumkan selepas saya bersalin.

"Majlis mengalu-alukan kehadirannya seperti 'baby shower' pun tidak dibuat secara khusus. Lebih kepada sesi makan dan santai bersama kawan-kawan dan keluarga," katanya yang ditemui pada majlis Women Of Excellence Award 2021/2022 di iu negara, malam kelmarin.

Majlis anjuran FM Media Communications dan sidang redaksi majalah The CEO itu meraikan pencapaian wanita dalam pelbagai bidang.

Mira diumumkan sebagai penerima anugerah dalam kategori seni bagi mengiktiraf pencapaian kecemerlangannya sebagai aktres dan pengacara.

Berita Harian X