Sabtu, 26 March 2022 | 8:30am
Enggan menoleh ke belakang, Azlee mahu membina hidup baharu bersama Dhiya dan anak sulung mereka yang berusia enam bulan. Foto Ihsan Azlee Khairi
Enggan menoleh ke belakang, Azlee mahu membina hidup baharu bersama Dhiya dan anak sulung mereka yang berusia enam bulan. Foto Ihsan Azlee Khairi

Buang kisah lalu, Azlee mahu bina hidup baharu

KUALA LUMPUR: Mengotakan janji, pelakon Azlee Khairi dan isteri, Nurul Hidayah atau Dhiya menganjurkan majlis resepsi selepas setahun bernikah di sebuah premis acara di sini, pada 18 Mac lalu.

Azlee yang kembali diperkatakan peminat selepas muncul dalam drama Seadanya Aku dan Rahimah Tanpa Rahim, sebelum ini membuat kejutan dengan mengesahkan mereka sudah bernikah, awal tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan anak lelaki yang kini berusia enam bulan. Ini adalah perkahwinan kedua buat Azlee dan Dhiya.

Dalam perkahwinan lalu, Dhiya dikurniakan dua cahaya mata.

Enggan menoleh ke belakang, Azlee mahu membina hidup baharu bersama Dhiya.

"Perkara lepas biarlah berlalu. Kami tidak mahu ungkit atau bercerita lagi. Kami hendak pandang ke depan membina kebahagiaan baharu.

Azlee dan Dhiya menganjurkan majlis resepsi selepas setahun bernikah di sebuah premis acara di ibu negara, pada 18 Mac lalu. Foto Ihsan Azlee Khairi
Azlee dan Dhiya menganjurkan majlis resepsi selepas setahun bernikah di sebuah premis acara di ibu negara, pada 18 Mac lalu. Foto Ihsan Azlee Khairi

"Syukur kepada Allah. Buat kali pertama, kami berkumpul semula bersama keluarga dalam majlis resepsi ini... Doa yang terbaik untuk kami," katanya kepada BH Online.

Azlee atau nama penuh, Azlee Khairi Zulah Hainee bersyukur dikurniakan isteri yang sangat memahami.

"Dia sentiasa menjadi tulang belakang dan pembakar semangat saya untuk bekerja.

"Dhiya sangat memahami dan boleh terima jenis kerja saya. Biasalah kerja seni, kadang-kadang berlanjutan hingga lewat malam. Mereka yang tidak memahami, mungkin akan jadi isu.

"Kadang-kadang waktu bekerja lebih banyak berbanding masa bersama keluarga. Sebab itulah, apabila ada masa terluang, saya akan habiskan masa berkualiti dengan isteri dan anak," katanya.

Mengulas keperibadian isteri, Azlee menyifatkan Dhiya ibu yang bertanggungjawab.

"Selama mengenali isteri, dia ada ciri wanita yang bagi saya antara terbaik. 

"Dhiya ibu yang baik dan boleh menjaga rumah tangga dan keselesaan kami. Malah, kami serasi persis ada kuasa telepati.

"Sebagai contoh, kalau ada perkara Dhiya fikir, saya pun terlintas perkara sama. Kadang-kadang apabila kami bercakap terpacul ayat sama," katanya.

Berita Harian X