Rabu, 16 March 2022 | 11:00am
Amen ditemani ibunya, Hasmah pada hari pertama penggambaran telefilem peninggalan arwah Mamat, Kampung Pisang Berbuah Dua Kali. Foto Ihsan Amen Khalid
Amen ditemani ibunya, Hasmah pada hari pertama penggambaran telefilem peninggalan arwah Mamat, Kampung Pisang Berbuah Dua Kali. Foto Ihsan Amen Khalid

'Filem papa laris, Amen dapat semangat'

KUALA LUMPUR: Selepas enam hari ditayangkan, filem terakhir sentuhan sutradara Allahyarham Mamat Khalid, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali yang disempurnakan anaknya Amen Khalid, meraih kutipan lebih RM1 juta.

Ditayangkan di saluran Astro First sejak 3 Mac lalu, jumlah kutipan dijangka meningkat berikutan impak filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali hangat diperkatakan peminat.

Amen atau nama sebenar, Mohamad Khalid Amen Mohamad, 26, berkata kejayaan naskhah terakhir bapanya itu menyuntik semangat untuknya terus berkarya.

Akuinya, dia dan keluarga amat bersyukur dan gembira kerana jenama Kampong Pisang masih terus mendapat sambutan peminat setia pengarah prolifik itu yang meninggal dunia pada 24 Oktober lalu akibat serangan jantung.

"Saya dan keluarga sangat terharu atas sambutan menggalakkan daripada penggemar karya Papa.

Ditayangkan di saluran Astro First sejak 3 Mac lalu, jumlah kutipan dijangka meningkat berikutan impak filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali hangat diperkatakan peminat. Foto IG Astro First
Ditayangkan di saluran Astro First sejak 3 Mac lalu, jumlah kutipan dijangka meningkat berikutan impak filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali hangat diperkatakan peminat. Foto IG Astro First

"Kejayaan itu menyuntik semangat untuk saya terus menghasilkan lebih banyak filem khusus buat peminat papa dan mereka yang meminati jenama Kampong Pisang," katanya kepada BH Online.

Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, dia tidak menyangka filem yang membariskan Aziz M Osman, Bell Ngasri, Kaza, Ahmad Ibrahim dan Datin Paduka Eina Azman itu mendapat maklum balas positif penonton.

Tambahnya, ada menyatakan sentuhan Amen setanding hasil kerja bapanya.

Malah, dikhabarkan mereka yang sudah menonton filem berkenaan meminta agar Amen terus berkarya.

Mengaku segan dengan pujian yang disifatkan terlalu tinggi untuk pengkarya baharu sepertinya, Amen yang sering mengikut arwah ke lokasi penggambaran dan melakukan kerja suntingan sejak berusia 15 tahun, memberitahu, dia belum mampu menandingi kehebatan bapanya.

"Memang tidak dinafikan ada yang mengatakan hasil sentuhan saya hampir menandingi papa. Tetapi secara jujur, saya belum sampai ke tahap papa.

"Papa lagi 'power'. Bagi saya, tiada siapa mampu menjadi seperti Mamat Khalid.

"Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada mereka yang sudah menonton dan peminat papa serta karya Kampong Pisang.

"Insya Allah, selepas ini saya buat lebih baik lagi untuk jenama Kampong Pisang dan filem akan datang," katanya.

Filem komedi seram Kampong Pisang Berbuah Dua Kali terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Enjit Enjit Semut Production itu menjalani penggambaran selama 10 hari bermula 15 November lalu.

Memilih lokasi di Perak seperti Teluk Senangin dan Kuala Kangsar, filem berkenaan mengisahkan Kampong Pisang yang dilanda misteri dengan kemunculan Cik Mek lakonan Eina.

Sejak kemunculan Cik Mek, pelbagai perkara aneh terjadi di kampung itu sehingga mengganggu penduduk kampung.

Kejadian misteri turut berlaku kepada Gerhana lakonan Azman Mantra sehingga menarik perhatian seluruh kampung.

Allahyarham Mamat atau nama sebenar, Mohamad Mohamad Khalid meninggal dunia pada usia 58 tahun ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak, Oktober lalu.

Mamat meninggalkan balu, Hasmah Hassan dan lima anak. Selain Amen, arwah dan isteri dikurniakan empat anak lain iaitu Mohd Khalid Zaffa, Nor Sara, Mohd Khalid Adam dan Nur Hassanah.

Berita Harian X