Selasa, 15 March 2022 | 5:00pm
Kumpulan 6ixth Sense menggunakan Bahasa Inggeris dalam single terbaharu berjudul Tremendous. Foto Ihsan 6ixth Sense
Kumpulan 6ixth Sense menggunakan Bahasa Inggeris dalam single terbaharu berjudul Tremendous. Foto Ihsan 6ixth Sense

6ixth Sense keluar dari pertapaan

KUALA LUMPUR: Dua tahun menyepi tanpa produk, band popular, 6ixth Sense tampil dengan semangat baharu.

Vokalisnya, Adi Priyo berkata, bulan ini adalah detik permulaan yang sangat dinanti-nantikan kumpulannya selepas lama mencari waktu tepat untuk keluar dari 'pertapaan'.

 

Mempertaruhkan single terbaharu bertajuk Tremendous, 6ixth Sense sengaja menggunakan Bahasa Inggeris dalam lagu yang mengangkat kisah persahabatan yang cukup akrab hingga sanggup berkorban.

"Tremendous berkait rapat dengan perjalanan 6ixth Sense dan persahabatan kami selama 17 tahun iaitu dengan segala liku-liku yang kami lalui.

 

"Semua itu adalah faktor kami melancarkan single Tremendous ini. Lagu ini adalah cerminan kepada persahabatan kami selama ini.

"Single ini juga menjadi lagu semangat bagi semua pencinta muzik dan peminat setia," katanya kepada BH Online.

Single Tremendous berkait dengan perjalanan 6ixth Sense dan persahabatan yang terjalin sejak 17 tahun lalu. Foto Ihsan 6ixth Sense
Single Tremendous berkait dengan perjalanan 6ixth Sense dan persahabatan yang terjalin sejak 17 tahun lalu. Foto Ihsan 6ixth Sense

Tremendous dihasilkan sendiri Adi bersama Nawfas, Yoya, Athan dan anggota baharu, Harry. Harry menyertai 6ixth Sense selepas Gjie mengundurkan diri pada September 2020.

Berkongsi lanjut mengenai hala tuju muzik 6ixth Sense yang sudah berubah, Adi menjelaskan, apa yang dilakukan bukanlah eksperimen.

"Tetapi sebagai maksud kumpulan ini sudah dewasa. Kami sudah lama bergelumang dengan genre ini sejak Sebait Hati yang dihasilkan pada 2019.

 

"Dengan kedewasaan kami dalam bermuzik kali ini, kami ingin menyajikan kelainan ketika menyampaikan lagu yang penuh dengan semangat muda, persahabatan dan pengorbanan," katanya.

 

Dengan kemunculan Tremendous, Adi berharap single itu mampu memeriahkan industri muzik tempatan yang terganggu ekoran pandemik COVID-19.

 

Tambah pemain dram, Wan, pemuzik diharap tidak berputus asa menghasilkan karya hebat walaupun melalui banyak cabaran.

"Apa yang saya harapkan pada masa akan datang, kami anak seni mengambil peluang untuk sama-sama memeriahkan industri muzik yang agak suram selepas pandemik COVID-19.

"Saya berharap artis lain terus bersemangat tanpa putus asa untuk menghasilkan karya hebat... insya-Allah," katanya.

 

Tremendous boleh dimuat naik di platform penstriman seperti Spotify, Apple Music dan JOOX mulai Khamis ini. Video muziknya boleh disaksikan menerusi YouTube 6ixthsenseTV.

Berita Harian X