Isnin, 14 March 2022 | 11:00am
AC Mizal bangkit dengan perancangan baru dengan membentuk SUKE TV.
AC Mizal bangkit dengan perancangan baru dengan membentuk SUKE TV.

SUKE TV meriahkan ekosistem industri seni

KUALA LUMPUR: Gagal sekali bukan bererti tamat perjuangan untuk selama-lamanya. Itulah prinsip dipegang pelakon dan pengacara popular, Datuk AC Mizal apabila berdepan kegagalan stesen radio visual, Peace Yall FM, tiga tahun lalu.

Pengalaman perit dilalui tidak sesekali mematahkan semangat AC, malah, bangkit semula dengan perancangan baru dengan membentuk stesen SUKE TV yang dilancarkan, baru-baru ini.

Enggan mempersia-siakan pengalaman dan kepakaran hampir tiga dekad sebagai anak seni, AC yakin peningkatan penggunaan televisyen (TV) dan jumlah penonton membawa peralihan dan peningkatan pendapatan hiburan menerusi pendigitalan dan platform dalam talian.

Jadi, tercetuslah idea mewujudkan SUKE TV yang menggabungkan e-dagang dan hiburan, selain mencipta platform berkembar untuk pengguna di mana sahaja dan sepanjang masa.

Nyata, AC bertuah apabila usaha dilakukannya mendapat sokongan banyak pihak, termasuk pembiayaan Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV).

AC berkata, matlamat SUKE TV bukan sahaja satu rangkaian siaran, malah sebahagian ekosistem industri.

"MDV sangat komited memacu pertumbuhan dan menyokong pembangunan ekosistem sektor teknologi di Malaysia melalui pembiayaan jangka panjang atau pusingan.

"Banyak bisnes baharu mencapai kejayaan dalam beberapa bidang di bawah sektor teknologi, termasuk Teknologi Hijau, Bioteknologi dan Teknologi Baru menerusi MDV.

"Dalam 20 tahun beroperasi, MDV membiayai pelbagai jenama teknologi tempatan, termasuk SUKE TV," katanya kepada BH Online.

Dari kiri, Datin Emylia Rosnaida, AC Mizal, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI Nexus, Dzuleira Abu Bakar dan Ketua MRANTI Nexus, Muhamad Husni Md Zain pada majlis menandatangani perjanjian kolaborasi pembuatan antara SUKE TV dan MRANTI Nexus.
Dari kiri, Datin Emylia Rosnaida, AC Mizal, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI Nexus, Dzuleira Abu Bakar dan Ketua MRANTI Nexus, Muhamad Husni Md Zain pada majlis menandatangani perjanjian kolaborasi pembuatan antara SUKE TV dan MRANTI Nexus.

AC yang juga pengasas dan pengerusi SUKE TV berkata, banyak sektor perniagaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah pembiayaan MDV sedang berkembang dengan pesat, sekali gus mengharumkan nama negara dalam bidang inovasi.

"Saya berterima kasih atas sokongan diterima MDV. Ia terutamanya pada waktu sangat penting dalam pembangunan stesen TV baharu ini.

"Kami berharap MDV akan sentiasa menjadi sebahagian kejayaan SUKE TV pada masa akan datang, seperti membantu mencorak kecemerlangan banyak syarikat berteraskan teknologi di Malaysia," katanya.

Baru-baru ini, SUKE TV mengorak langkah memperkasakan bidang perniagaan tempatan dengan menandatangani memorandum perjanjian bersama Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) Nexus.

"Kerjasama ini akan menyaksikan kedua-dua pihak berganding bahu dan bekerjasama menyokong usahawan tempatan bagi mempercepatkan kemasukan inovasi ke pasaran.

"Sebagai syarikat yang sentiasa menyokong kualiti produk dan buatan Malaysia dan kebolehan usahawan tempatan, SUKE TV mengambil inisiatif mencipta platform agar usahawan tempatan dapat mempelopori inovasi dan memperkasakan ekonomi.

"Inisiatif ini akan meningkatkan kesedaran jenama tempatan dan membantu mengekalkan pelanggan melalui kepelbagaian ditawarkan oleh SUKE TV," katanya.

Idea unik SUKE TV membawa pengalaman membeli-belah terus ke rumah menerusi saluran hiburan TV diyakini akan menyumbang kepada peningkatan penonton, jualan dan pemasaran produk buatan Malaysia.

Melalui visi dan usaha ini, usahawan tempatan kini memiliki akses lebih mudah untuk pengiklanan dan pemasaran produk di kaca TV mahupun digital.

"Ini adalah satu permulaan bagi pertumbuhan ekonomi bagi usahawan dan produk tempatan.

"Dengan kehadiran MRANTI Nexus, tiada halangan merealisasikan visi untuk terus mengukuhkan idea usahawan tempatan, bukan sahaja dalam Malaysia, malah seluruh dunia," kata penerima 100 Top Young CEO 2021 Lifetime Achievement Icon dalam industri hiburan dan perniagaan itu.

SUKE TV berhasrat menghubungkan lebih 30 juta rakyat Malaysia menerusi perspektif hiburan unik.

Berita Harian X