Ahad, 13 March 2022 | 6:00pm
Kolaborasi Margosa dan Aepul dilihat satu percaturan terbaik menggabungkan vokal wanita serta lelaki. - Foto Margosa
Kolaborasi Margosa dan Aepul dilihat satu percaturan terbaik menggabungkan vokal wanita serta lelaki. - Foto Margosa

Karya emosi identiti Margosa

KUALA LUMPUR: Kumpulan Margosa dalam misi menambat hati penggemar muzik arus perdana selepas empat tahun bergerak sebagai band indie.

Dianggotai, Resya Rahman selaku vokalis, Raja Nazrin Shah (vokalis dan gitar) dan Pjay (bes), Margosa kini mempertaruhkan single baharu, Cinta Pasti Bersatu.

Single Cinta Pasti Bersatu ciptaan Raja Nazrin Shah itu menampilkan kolaborasi bersama vokalis Drama Band, Aepul Roza.

Resya menyifatkan, single Cinta Pasti Bersatu dikeluarkan tepat dengan situasi pandemik.

"Ia mengisahkan dua jiwa yang terpisah secara terpaksa. Karya ini agak santai dan mesra pendengaran.

"Secara keseluruhan, liriknya menceritakan perpisahan tidak diduga pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan," katanya kepada BH Online.

Resya berkata, single Cinta Pasti Bersatu dilihat satu percaturan terbaik menggabungkan vokal wanita dan lelaki.

"Tidak sukar menggabungkan keserasian vokal saya dan Aepul. Awalnya, demo single ini agak berbeza berbanding sekarang.

"Namun, melodinya diperbetulkan dengan bantuan komposer, Afif untuk kedengaran lebih indah.

"Bekerja dengan Aepul, dia seorang yang fleksibel, profesional dan memberi input yang membantu.

"Aepul menjadikan karya ini bertambah baik, sekali gus memudahkan proses rakaman vokal," katanya yang memilih genre balada menerusi lagu Cinta Pasti Bersatu.

Bagaimanapun, Resya berkata, dia tidak meletakkan satu genre terhadap hala tuju muzik, sebaliknya ingin dikenali dengan corak karya menyentuh emosi.

"Single Cinta Pasti Bersatu menggambarkan hala tuju muzik dan identiti Margosa. Kami suka menitikberatkan elemen emosi dalam karya.

"Namun, kami bukannya band yang memperjuangkan satu genre sebagai hala tuju. Cuma, disebabkan single Cinta Pasti Bersatu berpaksi sedih, kami menyalurkan mesej dalam genre balada.

"Jika mendengar album terdahulu, ada lagu bukan berentak balada, namun mesejnya masih mendalam," kata Resya.

Single Cinta Pasti Bersatu menggambarkan hala tuju muzik dan identiti Margosa yang suka menitikberatkan elemen emosi dalam karya. - Foto Margosa
Single Cinta Pasti Bersatu menggambarkan hala tuju muzik dan identiti Margosa yang suka menitikberatkan elemen emosi dalam karya. - Foto Margosa

Sementara itu, Raja Nazrin Shah yang juga vokalis Sekumpulan Orang Gila berkata, mereka memang sentiasa mempelbagaikan rentak lagu dihasilkan.

"Tunjang utama setiap lagu dihasilkan adalah terus mengekalkan identiti Margosa.

"Sebelum ini, kami banyak bermain pelbagai genre muzik. Bagaimanapun, kami akan menerokai emosi muzik lebih variasi pada masa akan datang.

"Sekarang, pendengar lebih suka layan muzik menyentuh emosi," kata Raja Nazrin Shah.

Berkongsi lanjut, Raja Nazrin Shah berkata, single Cinta Pasti Bersatu sudah dihasilkan sejak 2010.

"Mulanya, ia dihasilkan untuk penyanyi wanita. Namun, diputuskan sebagai lagu duet," katanya,

Meskipun baru menapak dalam arus perdana, Margosa memiliki pencapaian cukup membanggakan termasuk menjuarai Anugerah Lagu Indie 2020 menerusi lagu berjudul Penawar.

Tahun lalu, Margosa melancarkan album pertama The Phase.

Sebelum ini, Margosa juga dipilih menjadi band pengiring untuk siri jelajah kumpulan Tiny Moving Parts pada 2020 dan pernah mengadakan persembahan di Singapura, Thailand dan Vietnam.

Berita Harian X