Rabu, 9 March 2022 | 1:00pm
Tabby kini lega pengajian selama tiga tahun sudah selesai, justeru membolehkannya memberi fokus terhadap perjalanan kerjaya seni. - Foto IG Tabby
Tabby kini lega pengajian selama tiga tahun sudah selesai, justeru membolehkannya memberi fokus terhadap perjalanan kerjaya seni. - Foto IG Tabby

Tabby Dolla genggam ijazah perniagaan

KUALA LUMPUR: Kesibukan kerjaya nyanyian tidak mengehadkan langkah penyanyi Tabby, 22, berjaya dalam pelajaran.

Ia terbukti apabila seorang daripada anggota kumpulan Dolla menamatkan pengajian Sarjana Muda Kepujian Perniagaan dari Universiti Taylor selepas tiga tahun belajar.

Tabby atau nama sebenarnya, Tabitha Ariel Lam berkata, dia berterima kasih kepada Dolla, syarikat rakaman dan universiti yang banyak memberi sokongan.

"Kerjasama pasukan Universal Music Malaysia dan universiti membuatkan impian saya menjadi realistik. Sekiranya ada peperiksaan atau sebagainya, pasukan akan mengosongkan jadual untuk saya.

"Jadi, saya boleh menyeimbangkan pelajaran dan kerjaya saya. Disebabkan sokongan itulah saya berjaya.

"Bagi saya, pendidikan sangat penting, walaupun ada impian atau cita-cita menjadi artis. Pendidikan adalah perancangan jangka panjang.

"Apabila mempunyai pendidikan, ia membolehkan saya melakukan sesuatu sekiranya perjalanan dalam industri tidak berpanjangan," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Tabby menerusi Instagram berkongsi berjaya menggenggam segulung ijazah, pertengahan bulan lalu, manakala majlis konvokesyen hanya akan diadakan pada Disember depan ekoran situasi semasa COVID-19.

Tabby tidak meletakkan tekanan menghabiskan pengajian berikutan menerima tajaan biasiswa khas daripada Universiti Taylor. - Foto IG Tabby
Tabby tidak meletakkan tekanan menghabiskan pengajian berikutan menerima tajaan biasiswa khas daripada Universiti Taylor. - Foto IG Tabby

Pengajiannya itu menerima tajaan biasiswa khas daripada Universiti Taylor.

Tabby berkata, dia tidak meletakkan tekanan untuk menghabiskan pengajian ekoran biasiswa diterima.

"Dari permulaan pengajian, saya berazam mahu menghabiskannya. Jadi, saya meletakkan tekanan ke atas diri untuk berjaya.

"Namun, universiti memberi ruang dan tidak membuat syarat atau peraturan ketat yang perlu diikuti.

"Selagi saya menghadiri kelas dan mengekalkan gred baik, saya boleh terus melakukan apa yang saya mahukan," katanya.

Kini, Tabby lega pengajiannya sudah selesai, justeru membolehkannya memberi fokus terhadap perjalanan kerjaya seni.

Ekoran itu, katanya, buat masa ini, dia tidak mempunyai perancangan menyambung pengajiannya.

Namun, katanya, dia mempunyai hasrat mempunyai perniagaan sendiri pada masa hadapan.

"Buat masa ini, saya tidak mempunyai perancangan menyambung pelajaran. Sebab saya mahu meletakkan fokus sepenuhnya pada Dolla dan kerjaya muzik.

"Saya mempunyai perniagaan tersendiri pada masa hadapan. Jadi, sekarang saya mengambil peluang sebanyak mungkin ketika dalam industri seni," katanya yang meminati perniagaan berkaitan flora.

Berita Harian X