Rabu, 9 March 2022 | 11:00am
Anne Abdullah menyerahkan sumbangan wang tunai bantuan banjir kepada penyanyi Zur Eda yang baru sahaja diuji dengan musibah banjir. - NSTP/Aziah Azmee
Anne Abdullah menyerahkan sumbangan wang tunai bantuan banjir kepada penyanyi Zur Eda yang baru sahaja diuji dengan musibah banjir. - NSTP/Aziah Azmee

Jualan emas bantu penggiat seni era pandemik

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi impak kepada warga penggiat seni apabila ada antaranya hilang punca pendapatan disebabkan aktiviti seni lumpuh dan mengambil masa untuk pulih.

Prihatin penderitaan ditanggung ahli, Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) menjalinkan usaha sama dengan pengeluar emas, Le Rumani supaya ahli dapat menjana pendapatan menerusi jualan emas.

Presiden GTAS, Anne Abdullah, berkata 20 ahli GTAS yang merebut peluang berkenaan berjaya menjana pendapatan menerusi penjualan emas.

"Inisiatif ini diwujudkan agar golongan artis menjadi celik emas, sekali gus dapat memberikan manfaat kepada mereka.

"Jika tiada tawaran lakonan atau undangan nyanyian, warga penggiat seni masih ada pendapatan sokongan.

"Setakat ini, 20 artis yang mendaftar menjadi ahli bersama Lem Rumani berjaya meraih pendapatan menerusi penjualan emas," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara GTAS dan Lem Rumani, baru-baru ini.

Pada majlis yang berlangsung di Subang Perdana, Sabtu lalu, GTAS turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barang kemas kepada beberapa penerima yang layak.

Antaranya ialah Fauziah Nawi, Fredo, Norlie Tamam, Zur Eda, Zack Taipan, Rashidah Jaafar, Rozie Othman dan Rashid Jaafar.

Mengulas kriteria pemilihan, Anne berkata, penerima dipilih berdasarkan kepada keadaan yang benar-benar memerlukan.

"Ahli yang ingin bernaung di bawah GTAS perlu mempunyai perniagaan berdaftar. GTAS bukan sekadar persatuan, tetapi bertindak sebagai badan bukan kerajaan (NGO).

"Jadi, GTAS akan berusaha membantu mengikut kemampuan jika ada ahli uzur dan kesempitan hidup. Lagipun, kebanyakan golongan artis pada penghujung usia tidak dipedulikan lagi, sedangkan mereka pernah berjasa dalam industri seni.

"Oleh itu, GTAS tidak meminggirkan ahli yang memerlukan pada majlis hari ini. GTAS memilih Fredo kerana peluang pekerjaan semakin berkurangan sejak PKP.

"Zur Eda pula seperti semua sedia maklum, baru sahaja diuji apabila rumah didiami ditenggelami air akibat musibah banjir. Selagi ada ahli memerlukan, selagi itu GTAS akan berusaha untuk membantu," katanya.

Pemilik Lem Rumani, Wan Rasmah Wan Abdul Rahim (tengah) bersama barisan artis yang menerima
Pemilik Lem Rumani, Wan Rasmah Wan Abdul Rahim (tengah) bersama barisan artis yang menerima

Anne berkata, selain kerjasama dengan Lum Rumani, GTAS juga sentiasa mendapatkan ruang perniagaan kepada ahli dengan menyertai pelbagai karnival perniagaan agar dapat menjana pendapatan.

Katanya, GTAS pernah bekerjasama dengan Tekun Nasional dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"Terbaru, GTAS mewujudkan kelas perniagaan secara dalam talian bagi membantu ahli belajar menjana pendapatan menerusi perniagaan.

"Kebanyakan ahli GTAS tidak dapat menyertai karnival perniagaan. Justeru, alternatif menganjurkan kelas dalam talian ini membantu ahli yang lebih senior.

"GTAS akan sentiasa berusaha membantu ahli agar mendapat peluang berniaga. Sebelum ini, ahli GTAS banyak menyertai karnival usahawan dan dibayar penganjur apabila menyertai karnival.

"Namun, disebabkan banyak bazar yang tidak dapat dilaksanakan sejak PKP, jadi GTAS mengambil inisiatif menganjurkan kelas dalam talian agar ahli yang lebih senior celik mengenai perniagaan talian," katanya.

Sementara itu, vokalis kumpulan Flybaits, Fredo berterima kasih kepada GTAS atas sumbangan diberikan.

Fredo berkata, dia bersyukur GTAS banyak membantu perniagaan selepas percubaannya sering kali gagal.

"Kerjaya nyanyian saya benar-benar terkesan sejak lebih dua tahun lalu. Jika dahulu, satu projek kerja nyanyian pun sudah cukup, namun sekarang buat banyak pun belum tentu mencukupi.

"Dengan adanya persatuan seperti GTAS, sedikit sebanyak bantuan dihulurkan bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, tetapi bimbingan perniagaan banyak membantu memberikan kelegaan," katanya.

Bagi pelakon veteran Fauziah, dia menganggap sumbangan diberikan GTAS adalah rezeki untuk cucunya.

Fauziah berkata, bantuan dihulurkan adalah penghargaan atas usahanya membantu teman artis yang terkesan sepanjang pandemik.

Berita Harian X