Selasa, 8 March 2022 | 1:00pm
Amen bercadang menelaah skrip peninggalan arwah bapanya dan berhasrat mengembangkannya menjadi filem dengan cara tersendiri.
Amen bercadang menelaah skrip peninggalan arwah bapanya dan berhasrat mengembangkannya menjadi filem dengan cara tersendiri.

'Terngiang-ngiang suara arwah di lokasi'

KUALA LUMPUR: Barangkali, jika bukan disebabkan semangat ibu tersayang, Hasmah Hassan kemunculan filem Kampong Pisang Berbuah Dua kali tidak mampu direalisasikan.

Anak keempat Allahyarham Mamat Khalid, Mohamad Khalid Amen Mohamad, 26, yang menggantikan tempat arwah bapanya selaku pengarah mengakui, jiwa dan semangat hilang selepas pemergian arwah pada 24 Oktober, tahun lalu.

"Saya hampir tidak mahu meneruskan filem ini kerana 'down' sejak ketiadaan arwah. Jiwa saya seakan berbelah bahagi sama ada untuk meneruskan atau tidak.

"Namun, selepas mama memberikan semangat, baru saya dapat semula kekuatan. Semangat saya mulai pulih selepas tiga minggu pemergian arwah.

"Jika tidak kerana mama, mungkin saya tidak mendapat kekuatan. Walaupun hanya menemani pada hari pertama

penggambaran, mama berjaya meminjamkan kekuatannya kepada saya," katanya kepada BH Online.

Amen ditemui pada sidang media filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali secara virtual, baru-baru ini.

Pada sidang media, Amen tidak dapat mengawal emosi apabila terkenang arwah bapanya.

Amen berkata, emosinya terganggu sepanjang mengambil alih tanggungjawab arwah yang tidak sempat mengarahkan karya terakhirnya itu.

Malah, katanya, dia bagai mendengar suara arwah yang sering berada di belakang ketika menyiapkan kerja suntingan.

"Ada masanya saya gagal mengawal air mata ketika di lokasi penggambaran. Saya terdengar-dengar suara arwah.

"Namun, saya kuatkan diri dan sentiasa mengingati pesanan arwah supaya serius dan bertanggungjawab dengan kerja.

"Arwah pernah beri nasihat, lakukan terbaik dan harungi dugaan walau apapun terjadi," katanya.

Mengulas sudahkah bersedia berdepan komen yang pasti membuat perbandingan, Amen berkata, dia sudah bersedia, namun, sentiasa menegaskan tiada siapa mampu menggantikan tempat mahupun menandingi kehebatan arwah bapanya.

"Mamat Khalid hanya ada satu dalam dunia. Saya tidak mungkin menggantikan tempat arwah atau sentuhan sama sepertinya.

"Namun, saya mengharapkan sokongan demi karya terakhir arwah. Saya tidak kisah jika ada yang membuat perbandingan kerana saya memerlukan teguran untuk memperbaiki diri," katanya.

Antara babak lucu yang membabitkan barisan pelakon filem Kampong Pisang Berbuah Dua kali.
Antara babak lucu yang membabitkan barisan pelakon filem Kampong Pisang Berbuah Dua kali.

Berkongsi pengalamannya mengarahkan filem sekuel itu, Amen berkata, mulanya timbul rasa segan apabila terpaksa mengarahkan pelakon 'otai'.

Biarpun hubungan akrab memandangkan sudah lama mengenali mereka kerana sering mengikuti arwah ke lokasi, perasaan bertemu dan bekerja adalah berbeza.

"Mereka melayan saya dengan baik. Mereka banyak memberikan sokongan dan semangat sepanjang penggambaran.

"Mungkin tahu saya segan, jadi mereka melayan saya seperti seorang bapa terhadap anak," katanya yang berjinak-jinak dalam bidang perfileman sejak usia 15 tahun.

Ditanya mengenai perancangannya, Amen berkata, dia bercadang menelaah skrip peninggalan arwah dan berhasrat mengembangkannya menjadi filem.

"Banyak juga koleksi skrip arwah. Ada sudah siap dan ada juga belum sempurna.

"Mungkin, saya akan siapkan dan buat cara saya. Insya-Allah, saya akan teruskan francais Kampong Pisang, namun saya tidak mahu dilihat terlalu bergantung kepada jenama arwah.

"Saya akan cuba menghasilkan filem sendiri juga," katanya.

Filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali menampilkan Kazar Saisi selaku Pak Din, Bell Ngasri (Barkoba), Aziz M Osman (Pak Jabit), Mat London (Pak Karim), Dewa Sapri (Cik Purnama), Ahmad Yassin (Yassin), Rasydan Zakaria (Adan), Nizam Mok Ram (MA Mok), Joey Daud (Daud M), Yeop Hitler (Manap Sengau), Rashid Othman (Faguha Jabar) dan Anis Nisham (Yati).

Lebih istimewa, kehadiran Datin Paduka Eina Azman sebagai watak Cik Mek.

Filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali mula ditayangkan di Astro First saluran 480 sejak 3 Mac lalu.

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, Perak pada 24 Oktober tahun lalu.

Arwah meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima cahaya mata, Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa, Sara dan Nurhassanah.

Berita Harian X