Ahad, 6 March 2022 | 7:35pm
Raja Ilya mengesahkan dirinya hamil lima bulan melalui entri di Instagram (IG). Foto IG Raja Ilya
Raja Ilya mengesahkan dirinya hamil lima bulan melalui entri di Instagram (IG). Foto IG Raja Ilya

Raja Ilya hamil lima bulan

KUALA LUMPUR: Dalam rindu pulang ke tanah air, aktres jelita, Raja Ilya yang menetap di Perth, Australia bersama suami, berkongsi berita gembira dirinya hamil lima bulan.

Raja Ilya yang belum berpeluang kembali ke Malaysia sejak penularan pandemik COVID-19 akibat sekatan perjalanan dua tahun lalu, memaklumkan pengikut Instagram (IG) dirinya berbadan dua.

"Sebelum ini, saya pernah beri tempoh setahun untuk mendapatkan anak selepas berkahwin pada 23 Disember 2018. Tetapi, hasrat itu tidak datang dengan mudah. Saya kena tunggu lebih tiga tahun untuk detik ini.

"Pada fasa pandemik menuju endemik ini, akhirnya rezeki hamil datang. Macam tidak percaya nikmat itu datang akhirnya. Suami gembira bukan kepalang.

Raja Ilya meminta peminat berkongsi tip kehamilan dan melahirkan anak selepas mengumumkan dirinya berbadan dua. Foto IG Raja Ilya
Raja Ilya meminta peminat berkongsi tip kehamilan dan melahirkan anak selepas mengumumkan dirinya berbadan dua. Foto IG Raja Ilya

"Sebenarnya, tidak sabar berkongsi berita gembira ini. Akhirnya saya dan suami putuskan untuk beritahu semua orang hari ini," katanya kepada BH Online.

Isteri rakyat Australia, Trent Garret ini percaya ada hikmah di sebalik kesedihan tidak dapat pulang ke Malaysia.

"Semua lancar seperti ditentukan Yang Maha Esa. Saya dan suami gembira di sini, biarpun rindu hendak balik Malaysia terutama pulang ke Ipoh, Perak berjumpa keluarga.

Raja Ilya atau nama sebenar, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad turut meminta pengikut IG berkongsi tip kehamilan dan melahirkan anak.

"Disebabkan saya akan bersalin di Australia, harap bolehlah ramai-ramai kongsi tip. Selepas hamil lima bulan, susah rupa-rupanya hendak jadi ibu.

"Namun, saya bersyukur dan teruja. Terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan saya. Terima kasih untuk cinta dan sokongan anda selama ini," katanya.

Ditanya jantina anak dalam kandungan, Raja Ilya belum dapat berkongsi mengenainya.

"Saya belum tahu jantina anak. Akhir bulan ini baru kami tahu," katanya.

Berita Harian X