Ahad, 6 March 2022 | 8:30am
Kehadiran Baby Musa melengkapkan rumah tangga Noh dan Mizz Niza seperti yang diluahkan aktivis kemanusiaan ini di Instagram. Foto IG Mizz Nina
Kehadiran Baby Musa melengkapkan rumah tangga Noh dan Mizz Niza seperti yang diluahkan aktivis kemanusiaan ini di Instagram. Foto IG Mizz Nina

Baby Musa lengkapi Mizz Nina, Noh

KUALA LUMPUR: Selepas 11 tahun berkahwin dan tidak putus asa mendapatkan zuriat, rumah tangga Mizz Nina dan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh akhirnya lengkap dengan kehadiran bayi lelaki diberi nama, Musa.

Mizz Nina atau nama sebenar, Shazrina Azman berkongsi berita gembira melalui Instagram (IG) diiringi foto menampakkan Noh dan dirinya yang mendukung seorang bayi, dari belakang.

Kapsyen tertera '2 tambah 1 menghasilkan jumlah angka 3' ditulis Mizz Nina yang juga aktivis kemanusiaan, jelas merumuskan fasa bahagia mereka sekarang.

Mizz Nina memberitahu, Baby Musa sudah tiga bulan diasuh dan menjadi penyeri kehidupannya bersama Noh.

"Kami bersyukur ke hadrat Ilahi untuk rahmat terindah dan tentunya doa jadi kenyataan. Saya boleh katakan Musa kini mahram saya.

"Namun, sebelum sampai ke fasa ini, saya dan suami melalui perjalanan panjang. Kami berusaha pelbagai cara untuk mendapatkan zuriat.

"Ini termasuklah proses in-vitro fertilization (IVF), intrauterine insemination (IUI) dan pelbagai kaedah lagi.

"Namun, rezeki kami dengan cara ini (ambil anak angkat). Ini semua ketentuan Tuhan dan tiada siapa yang dapat menghalangnya.

"Hanya Tuhan tahu waktu tepat bagi segala-galanya tersusun cantik sebegini. Setiap ujian dan pergelutan adalah untuk kebaikan mendatang," luahannya dalam coretan di IG.

Mizz Nina dan Noh mendirikan rumah tangga pada 1 Julai 2011. Foto IG Mizz Nina
Mizz Nina dan Noh mendirikan rumah tangga pada 1 Julai 2011. Foto IG Mizz Nina

Tambah Mizz Nina lagi, bukan mudah untuk nekad dan membuka hati dengan keputusan dibuat.

"Saya fikir lebih setahun untuk saya terbuka dan bersedia dengan keputusan ini. Noh yang mengambil inisiatif terhadap idea mendapatkan anak angkat.

"Malah, saya sedar dalam agama Islam, nama angkat ini harus dibinkan Abdullah, bukannya nama bapa angkat. Namun, disebabkan Noh sudah mencetuskan laluan itu, saya mula teruja mengetahuinya dengan lanjut.

"Misi kemanusiaan dijayakan saya dan Noh mendorong kami dalam membulatkan keputusan.

"Melihat kanak-kanak dan bayi di luar sana tanpa ibu bapa atau dijaga salah seorang daripada mereka membuatkan hati saya lebih terbuka dengan keputusan ini," katanya.

Tambah Mizz Nina lagi, proses membuka hati untuk membiasakan fasa bergelar 'ibu segera' juga memberi dimensi berbeza.

"Saya tidak pernah putus berdoa untuk Allah buka hati ini dan tepis rasa tidak yakin. Pada akhirnya, saya letak keteguhan dan kepercayaan diri serta iman kepada-Nya.

"Ini semua perancangan dan laluan dibentangkan-Nya. Dengan kehadiran Baby Musa, hati, jiwa, minda dan tubuh ini sudah bersedia dalam segala segi," katanya.

Mizz Nina menganggap kehadiran Musa sebagai utusan dan hadiah istimewa kurniaan Tuhan.

"Setakat ini, kehadirannya menjadi nilai tambah kepada kehidupan saya dan Noh. Ia seperti sebuah kembara 'roller coaster' yang mencabar dan apa-apapun kami sangat menghargai momen ini.

"Semoga Baby Musa menjadi cahaya Ummah. Semoga Tuhan melindungi keluarga kecil kami dalam kehidupan ini serta seterusnya," katanya.

Mizz Nina dan Noh mendirikan rumah tangga pada 1 Julai 2011.

Berita Harian X