Jumaat, 4 March 2022 | 11:00am
Music Malaysia bertindak awal membentuk entiti sebagai menyuarakan kehendak, syor dan harapan penggiat industri muzik dalam memperkasa dan memartabatkan dunia seni. - Gambar Hiasan
Music Malaysia bertindak awal membentuk entiti sebagai menyuarakan kehendak, syor dan harapan penggiat industri muzik dalam memperkasa dan memartabatkan dunia seni. - Gambar Hiasan

15 persatuan muzik bergabung

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 persatuan yang terbabit secara langsung dalam pembangunan dan ekosistem industri muzik tempatan mengambil langkah strategik membentuk Gabungan Persatuan Industri Muzik Malaysia (Music Malaysia) demi kepentingan penggiat seni.

Enggan berdiam diri dan menunggu kerajaan merealisasikan penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) seperti yang diumumkan tahun lalu, Music Malaysia bertindak awal membentuk entiti sebagai menyuarakan kehendak, syor dan harapan penggiat industri muzik dalam memperkasa dan memartabatkan dunia seni.

Gabungan itu secara rasminya dibentuk pada 24 September lalu. Antara 15 persatuan yang bergabung dalam Music Malaysia adalah Konsortium Industri Muzik Malaysia (IRAMA); Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan); Persatuan Seni, Festival Langsung dan Acara (AiLIFE); Persatuan Artis Cina (AMCA) dan Persatuan Penyanyi dan Pelakon India (MISAA).

Turut bergabung Persatuan Armada Seni Sarawak (ARAS); Persatuan Komposer dan Penerbit Video Sabah (SCORE), Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia (MAME); Persatuan Pub dan Pemilik Restoran (MPRA); Persatuan Artis Pulau Pinang dan Persatuan Pemuzik Kedah (KMAC).

Dijangka lebih banyak persatuan mewakili industri muzik akan menyertai Music Malaysia.

Timbalan Presiden Music Malaysia, Ayob Abd Majid, berkata penubuhan Music Malaysia membuktikan penggiat industri muzik serius memperjuangkan kepentingan penggiat muzik tempatan.

"Sebelum Tan Sri Annuar Musa mengambil alih jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia, perwakilan persatuan muzik ada menghebahkan cadangan penubuhan PIMM.

"Dengarnya, cadangan penubuhan PIMM sudah dibawa ke Parlimen dan diluluskan. Namun, sehingga hari ini, kami masih tidak lagi nampak kelibat penubuhan PIMM.

"Lalu, kami ambil kesempatan menggabungkan persatuan muzik tanah air yang selama ini dikatakan agak bercelaru, untuk berpayung di bawah satu bumbung.

"Sebelum ini, ramai mendakwa persatuan muzik kita tidak sehaluan. Jadi, dengan penubuhan Music Malaysia, kami buktikan persatuan muzik tanah air sudah bersatu," katanya kepada BH Online.

Januari lalu, BH melaporkan perubahan pimpinan kerajaan, termasuk pertukaran Menteri Komunikasi dan Multimedia tidak menjejaskan cadangan penubuhan PIMM yang diluluskan Kabinet, Julai tahun lalu.

Jaminan itu diberi Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek pada pertemuan bersama Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim, baru-baru ini.

Rosmin dilaporkan berkata, industri muzik tempatan menantikan penubuhan PIMM yang dapat menjaga kepentingan sektor kreatif itu, terutama pada era ledakan teknologi digital.

Pada 19 Julai lalu, Kabinet meluluskan penubuhan PIMM sebagai badan bertanggungjawab menjaga kepentingan industri muzik, buat kali pertama dalam sejarah.

Ayob menegaskan, penubuhan Music Malaysia membuktikan penggiat industri muzik serius memperjuangkan kepentingan penggiat muzik tempatan.
Ayob menegaskan, penubuhan Music Malaysia membuktikan penggiat industri muzik serius memperjuangkan kepentingan penggiat muzik tempatan.

Ayob yang juga Presiden IRAMA berkata, Music Malaysia ditubuhkan bukanlah untuk bersaing atau menggantikan PIMM, sebaliknya, mahu sama berpimpin tangan membawa industri muzik tempatan ke peringkat lebih tinggi.

"Kami bukanlah mahu bersaing dengan PIMM, sebaliknya, kami mahu menyatukan semua persatuan muzik.

"Apabila kita sudah bersatu dan penubuhan PIMM direalisasikan, kita boleh berjalan seiring memperjuangkan isu industri muzik kita.

"Jadi, tiadalah lagi isu yang mendakwa pemain industri muzik tidak bersatu, banyak pergaduhan, persatuan terlalu banyak dan sebagainya," katanya.

Mengulas lanjut perjuangan Music Malaysia, terutama pada era pandemik COVID-19, Ayob berkata, pihaknya menganggap masanya sudah tiba untuk kerajaan memperkenalkan garis panduan membuat persembahan secara langsung di premis hiburan.

Tambahnya, cadangan itu disuarakan selepas melihat cabaran dan kesulitan dihadapi penggiat industri muzik selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencari premis persembahan.

"Apa yang kita nampak sekarang, garis panduan yang ada tidak sealiran antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ada tempat yang boleh bermain muzik dan ada tempat sebaliknya. Jadi, kami mahukan garis panduan selari.

"Sudah dua tahun pemuzik kita tidak boleh cari makan kerana mereka perlu tunggu kelulusan membuat persembahan, contohnya, di kelab malam.

"Jadi, kami memohon MKN mengeluarkan garis panduan baharu yang boleh diterima semua pihak. Ini bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan agensi penguatkuasaan, terutama PBT," katanya.

Ayob berkata, setakat ini, tidak banyak persembahan secara langsung dibenarkan di premis hiburan.

Tambahnya, secara tidak langsung, situasi itu mengehadkan peluang pekerjaan untuk pemuzik Malaysia. Malah, pemilik premis hiburan terus menanggung rugi.

"Kami berharap MKN dapat semak semula garis panduan ini agar lebih banyak persembahan secara langsung dapat dianjurkan di premis hiburan.

"Garis panduan itu dapat memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan penghibur, penganjur dan pengunjung.

"Ini bukan sahaja akan membolehkan pemuzik Malaysia mendapatkan lebih banyak peluang mencari rezeki, pada masa sama, membantu premis hiburan untuk menarik lebih ramai pelanggan dan bangkit semula," katanya.

Tahun lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan penubuhan PIMM yang bakal meletakkan ekosistem industri muzik kepada tiga bahagian utama iaitu penghasilan, persembahan dan pendidikan.

Bagaimanapun, status penubuhan PIMM umpama 'tergantung' selepas berlaku perubahan struktur pentadbiran KKMM apabila Saifuddin bertukar ke Kementerian Luar dan digantikan Annuar.

Berita Harian X