Khamis, 3 March 2022 | 8:01pm
Luca berkongsi, mengenali isteri ketika berada di Kota Kinabalu atas urusan kerja, setahun lalu. - Foto Ihsan Luca Sickta
Luca berkongsi, mengenali isteri ketika berada di Kota Kinabalu atas urusan kerja, setahun lalu. - Foto Ihsan Luca Sickta

Pertemuan singkat bawa ke jenjang pelamin

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap, Luca Sickta, 33, sah bergelar suami kepada produser Era FM Sabah, Nur Robecca Ruth Robert Abdullah, 30, dengan sekali lafaz, jam 10 pagi tadi.

Pasangan itu dinikahkan Iman Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah, Hassan Sapar.

Luca Sickta atau nama sebenarnya, Shameer Ashraf Shahruddin bersyukur majlis akad nikah bersama pasangannya berjalan dengan lancar.

"Sepatutnya majlis akad nikah diketuai bapa saudara Robecca, namun, malangnya disahkan positif COVID-19. Jadi, terpaksa digantikan imam masjid.

"Walaupun berdepan cabaran, tetapi saya bersyukur majlis akad nikah berjalan lancar. Lagipun, majlis pernikahan diadakan secara sederhana memandangkan kes COVID-19 masih tinggi.

"Ini adalah fasa baharu dalam kehidupan. Saya kini memegang satu tanggungjawab besar sebagai suami dan perlu mendidik isteri mendalami Islam memandangkan Robecca baru memeluk agama Islam sejak setahun lalu," katanya kepada BH Online.

Pada majlis berkenaan, Luca menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300, namun, tiada pertukaran dulang hantaran.

Walaupun berdepan cabaran, Luca bersyukur majlis akad nikahnya berjalan lancar. - Foto Ihsan Luca Sickta
Walaupun berdepan cabaran, Luca bersyukur majlis akad nikahnya berjalan lancar. - Foto Ihsan Luca Sickta

Pasangan mempelai turut merahsiakan jumlah wang hantaran atas permintaan keluarga.

Mengulas bibit perkenalan, Luca mendedahkan mengenali isteri ketika berada di Kota Kinabalu atas urusan kerja, setahun lalu.

"Perkenalan berlaku secara singkat, tetapi saya selesa berkawan dengannya. Ini kerana kami memiliki pemikiran dan hala tuju yang sama.

"Kami tidak mahu 'main-main' dalam perhubungan kerana umur sudah mencecah 30 tahun. Jadi, fokus lebih kepada masa depan dan merancang kehidupan bersama," katanya.

Selain itu, Lucka mengakui bersyukur hubungan mendapat restu ibu bapa mentuanya.

"Hubungan kami mendapat restu ibu bapa Robecca. Bapa mentua memberi galakkan kepada Robecca memeluk agama Islam.

"Kini menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan Robecca mendalami Islam secara perlahan-lahan. Saya tidak mahu terlalu tegas dalam mendidiknya, tetapi saya akan memastikan isteri tahu hal yang wajib," katanya.

Berita Harian X