Selasa, 1 March 2022 | 1:00pm
Rosmin menegaskan PPM akan terus mewakili kepentingan ahli dan industri muzik dengan integriti tertinggi. Foto Ihsan PPM
Rosmin menegaskan PPM akan terus mewakili kepentingan ahli dan industri muzik dengan integriti tertinggi. Foto Ihsan PPM

SPRM serah semula dokumen

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengembalikan dokumen diambil dari premis Public Performance Malaysia Berhad (PPM) sebaik siasatan terhadap dakwaan berlakunya penyelewengan dalam kutipan royalti penggiat seni, selesai.

Pengerusi PPM, Rosmin Hashim, berkata dokumen yang diambil pada 25 November 2020 dipulangkan selepas lebih setahun, iaitu pada 17 Disember lalu, tanpa apa-apa tindakan lanjut diperlukan SPRM daripada PPM.

"Sebagai badan pelesenan profesional, telus dan bertanggungjawab, PPM akan sentiasa memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam apa juga perkara yang memerlukan perhatian mereka.

"Kami sentiasa dan akan terus mematuhi semua undang-undang berkaitan operasi badan pelesenan.

"Kami akan terus mewakili kepentingan ahli dan industri muzik dengan integriti tertinggi," katanya dalam kenyataan, semalam.

Rosmin berkata, ahli lembaga pengarah PPM mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai SPRM yang terbabit dalam siasatan kes berkenaan kerana berhemah dan profesional ketika bertugas.

"Dengan pemulangan dokumen berkaitan, kami percaya isu ini sudah berakhir. Kami boleh bergerak ke hadapan untuk terus mewakili kepentingan ahli secara terbaik," katanya.

Sebelum ini, pegawai SPRM dilaporkan mengunjungi premis PPM dan mengambil dokumen tertentu bagi membantu siasatan dakwaan berlakunya penyelewengan dalam agihan royalti penggiat seni.

Selain itu, pelbagai kenyataan lisan daripada pengurusan PPM turut dirakamkan pegawai SPRM.

Siasatan dibuat susulan kenyataan dikeluarkan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mendakwa royalti bernilai kira-kira RM30 juta belum dibayar kepada artis rakaman.

Beberapa artikel berkaitan perkara sama turut dilaporkan pada Oktober 2020.

Susulan itu, SPRM memulakan siasatan terhadap PPM walaupun tiada sebarang aduan dibuat oleh ahli mereka.

Isu agihan royalti hangat diperkatakan apabila Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dilaporkan mendakwa apa yang dikatakan kepincangan badan pelesenan pemungut royalti hingga membuat aduan kepada SPRM.

Freddie juga mendakwa Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM), Datuk Sheila Majid gagal menjalankan tugas dalam mengagihkan royalti ahli RPM.

Kontroversi agihan royalti memuncak apabila SPRM campur tangan dengan menyiasat tiga badan kutipan royalti iaitu PPM, Music Authors Copyright Protection (MACP) Berhad dan RPM.

Operasi dibuat berdasarkan laporan dikemukakan Freddie yang juga Ahli Panel Penasihat SPRM dalam perjumpaan bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, awal November 2020.

Berita Harian X