Isnin, 28 Februari 2022 | 3:00pm
Faktor yang menyebabkan Fauziah bersungguh-sungguh meneruskan pengajian kerana janji yang pernah dilafazkan kepada arwah bapanya, sebelum ini. - Foto Fauziah Nawi
Faktor yang menyebabkan Fauziah bersungguh-sungguh meneruskan pengajian kerana janji yang pernah dilafazkan kepada arwah bapanya, sebelum ini. - Foto Fauziah Nawi

Usia bukan penghalang Fauziah timba ilmu

KUALA LUMPUR: Tiada apa lebih menggembirakan buat pelakon veteran, Fauziah Nawi, 69, apabila pengorbanan dan penat lelah bergelut dengan buku selama tiga tahun berbayar apabila dikurniakan Anugerah Pencapaian Industri Kreatif Diploma Kemahiran Malaysia Koordinasi Pengarahan Filem pada Majlis Istiadat Konvokesyen MEATECH 2022, baru-baru ini.

Meskipun pernah terdetik rasa menyesal dan hampir sahaja menamatkan pengajian separuh jalan, namun Fauziah berkata, dia gagahkan juga menghadapi cabaran demi masa depan.

"Saya tidak pernah melanjutkan pelajaran, sebelum ini. Saya terus bekerja selepas tamat persekolahan Tingkatan 5. Bayangkan bagaimana situasi apabila pada usia 60-an masih sambung belajar.

"Sejujurnya, memang sukar kerana saya perlu menyiapkan banyak kertas kerja dan pembentangan, iaitu satu perkara yang cukup asing buat saya.

"Nyata, pengalaman sahaja tidak memadai kerana saya perlu menghasilkan kertas kerja bertaraf akademik. Selagi tidak menepati piawaian ditetapkan, saya kena memperbaikinya sehingga panel penilai berpuas hati.

"Keadaan ini membuatkan saya hampir putus asa. Namun, atas nasihat anak dan adik-beradik yang menyedari betapa penting kelayakan akademik, saya teruskan juga perjuangan ini," katanya kepada BH Online.

Fauziah menerima anugerah pada Majlis Istiadat Konvokesyen MEATECH 2022 Ke-12 di Dewan Besar Kampo, Pusat Belia Antarabangsa Cheras di ibu negara, kelmarin.

Ia disampaikan Timbalan Ketua Pengarah (Produksi dan Teknikal), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Syirfan Indra Mitra Surya Hussin.

Syirfan Indra (kiri) menyampaikan Anugerah Pencapaian Industri Kreatif Diploma Kemahiran Malaysia Koordinasi Pengarahan Filem kepada Fauziah pada Majlis Istiadat Konvokesyen MEATECH 2022 Ke-12, kelmarin. - Foto Fauziah Nawi
Syirfan Indra (kiri) menyampaikan Anugerah Pencapaian Industri Kreatif Diploma Kemahiran Malaysia Koordinasi Pengarahan Filem kepada Fauziah pada Majlis Istiadat Konvokesyen MEATECH 2022 Ke-12, kelmarin. - Foto Fauziah Nawi

Bintang yang terkenal dengan watak air mata itu berkata, faktor lain yang menyebabkannya bersungguh-sungguh meneruskan pengajian kerana janji yang pernah dilafazkan kepada arwah bapanya, sebelum ini.

"Tujuan saya melanjutkan pengajian kerana saya mahu memberi nilai tambah kepada portfolio saya sejajar dengan kriteria yang diperlukan dalam Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP).

"Ini kerana program MyCAP memerlukan kelayakan akademik untuk peningkatan gred seseorang penggiat seni yang boleh mempengaruhi dari segi bayaran diterima.

"Keputusan menyambung pengajian juga dibuat kerana saya pernah berjanji dengan arwah bapa yang memang teringin mahu melihat saya memasuki universiti.

"Walaupun agak lewat, saya bersyukur dapat melunaskan impian arwah melihat saya menggenggam segulung diploma," luah Fauziah yang juga penerima trofi Karyawan Sepanjang Zaman pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31, Oktober lalu.

Berikutan kejayaan yang dicapai dan berpegang pada prinsip tiada tarikh luput dalam menimba ilmu, pelakon drama Pondok Buruk itu menyimpan hasrat menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi.

"Bila kembali belajar, barulah saya dapat rasakan betapa cetek ilmu pengarahan yang saya ada walaupun memiliki pengalaman berpuluh tahun dalam bidang seni.

"Ilmu pengarahan sentiasa berkembang. Jadi, untuk berjaya saya tidak seharusnya bersikap jumud dan perlu sentiasa terbuka mempelajari perkara baharu.

"Insya-Allah, saya bercadang melanjutkan pengajian dalam bidang pengarahan ke peringkat ijazah dan doktor falsafah.

"Soal masa, walau sesibuk manapun, saya akan cuba membahagikan masa. Saya sudah biasa terkejar-kejar sejak zaman muda lagi. Jadi, ia bukan masalah untuk berbuat demikian demi menuntut ilmu," ungkapnya yang juga graduan Ijazah Sarjana Industri Kreatif (Lakonan) dari Open University pada 2018.

Selain Fauziah, rakan lain turut menerima diploma pada majlis konvokesyen termasuklah pengarah, Datuk Zulkifli M Osman, Ebby Saiful dan Rina Khan.

Berita Harian X