Jumaat, 25 Februari 2022 | 3:00pm
Raja Ilya menghantar e-mel kepada KKM dan beberapa kementerian dengan harapan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pakar kecantikan atau estetik tidak bertauliah. - Foto IG Raja Ilya
Raja Ilya menghantar e-mel kepada KKM dan beberapa kementerian dengan harapan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pakar kecantikan atau estetik tidak bertauliah. - Foto IG Raja Ilya

Pantau pengamal estetik palsu

KUALA LUMPUR: Insiden seorang lelaki yang dilaporkan ditemukan mati dalam bilik sebuah hotel di Teluk Intan, Perak, bulan lalu, selepas mendapatkan perkhidmatan membesarkan otot punggung daripada individu yang menjalankan perniagaan kecantikan tanpa lesen, mendorong Raja Ilya melayangkan e-mel mengenai kegiatan pengamal estetik palsu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pelakon drama Dia Bidadariku itu tidak teragak-agak menyuarakan pandangan agar tindakan segera diambil berikutan pernah hampir kehilangan nyawa selepas menjadi mangsa penipuan perunding kecantikan tidak bertauliah.

Raja Ilya atau nama sebenar, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 36, mengaku terkesan dengan laporan kematian lelaki terbabit dan mahu pemantauan dibuat terhadap kegiatan pengamal estetik tidak bertauliah.

"Dalam kes di Teluk Intan, individu yang menawarkan perkhidmatan itu melanggar undang-undang kerajaan .

"Saya menghantar e-mel panjang lebar kepada KKM dan beberapa kementerian lain dengan harapan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pakar kecantikan atau estetik tidak bertauliah ini," katanya kepada BH Online.

Raja Ilya mengutus e-mel berkenaan, Jumaat lalu dan sudah menerima maklum balas daripada Sekretariat Amalan Perubatan Estetik Bahagian Amalan Perubatan, KKM.

Akhir bulan lalu, BH melaporkan lelaki ditemukan mati dalam bilik sebuah hotel di Teluk Intan pada 24 Januari lalu, dikesan mendapatkan perkhidmatan membesarkan otot punggung daripada individu yang menjalankan perniagaan kecantikan tanpa lesen KKM.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa berusia 31 tahun disedari tidak bernafas dalam keadaan terbaring di katil oleh rakannya.

Terdahulu, lelaki terbabit dilaporkan mengambil suntikan bagi tujuan membesarkan punggung itu daripada seorang wanita yang juga peniaga kosmetik pada jam 10 pagi, hari sama.

Difahamkan, kandungan bahan digunakan adalah Hyaluronic acid HA Filter (Dermalax).

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata dilaporkan perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Cawangan Penguatkuasa Farmasi Perak untuk tindakan lanjut.

Dilaporkan, polis sudah mengambil keterangan daripada beberapa individu termasuk peniaga kosmetik terbabit. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 13 (a) dan (b) Akta Racun 1952 oleh Bahagian Penguatkuasa Farmasi Perak.

Raja Ilya berharap pihak berwajib mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dipercayai membeli dan mengendalikan perkhidmatan rawatan kecantikan secara haram atau tidak bertauliah. 

"Dipercayai lebih 20,000 individu dalam bidang kecantikan atau estetik tidak bertauliah bebas menawarkan khidmat rawatan di Malaysia.

"Ini mampu mendedahkan pengguna kepada pelbagai komplikasi kesihatan termasuk kanser dan membawa maut," dakwanya.

Akhir bulan lalu, Raja Ilya mendakwa nyawa hampir melayang selepas menerima suntikan kecantikan berbahaya akibat naif dan kurang ilmu pada 2008 dan 2009. - Foto IG Raja Ilya
Akhir bulan lalu, Raja Ilya mendakwa nyawa hampir melayang selepas menerima suntikan kecantikan berbahaya akibat naif dan kurang ilmu pada 2008 dan 2009. - Foto IG Raja Ilya

Aktres jelita yang kini menetap di Australia itu menambah, mengikut Akta Kemudahan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1984, KKM hanya mengawal perkhidmatan estetik atau kosmetik yang dikendalikan pengamal perubatan berdaftar.

"Namun, apa tindakan atau akta baharu KKM terutama untuk mengawal dan menghindar situasi begini daripada terus berleluasa?

"Adakah KKM akan melaksanakan tanggungjawab mengikut visi dan misi dijanjikan?" katanya.

Sehubungan itu, Raja Ilya merayu pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya agar tiada lagi pihak lain menjadi mangsa pengamal estetik tidak bertauliah.

"Jika pihak berkuasa lepas tangan, siapa lagi yang boleh tegakkan keadilan? Dengan rendah diri saya minta tolong KKM agar tidak ambil mudah isu perunding kecantikan palsu ini," katanya.

Raja Ilya turut mendapatkan nasihat daripada salah sebuah badan kerajaan di Australia mengenai penyelesaian yang ditawarkan kepada mangsa kes seumpama itu.

"Saya agak terkejut melihat tindak balas mereka. Di Australia ada beberapa badan khusus mengendalikan kes membabitkan pengamal estetik palsu secara aktif dan berkesan.

"Saya cadangkan pihak berwajib kaji undang-undang di luar negara bagi mendapat input dan idea. Secara langsung, negara kita terus maju dan dilindungi," katanya.

Akhir bulan lalu, Raja Ilya mendakwa nyawa hampir melayang selepas menerima suntikan kecantikan berbahaya akibat naif dan kurang ilmu sekitar 2008 dan 2009.

Mendakwa terpaksa hidup dengan kesan sampingan kesan daripada prosedur kecantikan dilakukan.

Berita Harian X