Selasa, 22 Februari 2022 | 7:09pm
Ernie dan Syamel berkongsi berita gembira menerusi IG dengan memuat naik gambar sama menampakkan badan dan tangan cahaya mata pertama mereka. - Foto IG Ernie Zakri
Ernie dan Syamel berkongsi berita gembira menerusi IG dengan memuat naik gambar sama menampakkan badan dan tangan cahaya mata pertama mereka. - Foto IG Ernie Zakri

Ernie, Syamel timang anak perempuan

KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu Boneka, Ernie Zakri selamat melahirkan bayi perempuan secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di ibu kota, jam 10.14 pagi ini.

Ernie dan suaminya, Syamel berkongsi berita gembira menerusi Instagram (IG) dengan memuat naik gambar sama menampakkan badan dan tangan bayi sulung mereka.

"Satu momen indah, inilah kali pertama saya merasai. Cukup manis dan membahagiakan.

"Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan. Saya dan bayi dalam keadaan baik.

"Tarikh lahir cantik, senang ingat ulang tahun kelahiran anak," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, sebelum melahirkan anak sulung dan menjalani fasa berpantang, Ernie menghadiahkan single Korban buat peminatnya.

Lebih istimewa, single Korban yang dilancarkan sejak 18 Februari lalu diabadikan buat suaminya.

Ernie berkata, lagu ciptaan sepenuhnya itu dirakamkan ketika usia kandungannya berusia tujuh bulan.

"Ini adalah projek terakhir sebelum saya melahirkan anak dan cuti berpantang selama 60 hari.

"Single Korban didedikasi khas buat orang tersayang dalam hidup, terutama suami.

"Konsep karya ini kena dengan keadaan saya sedang hamil. Banyak pengorbanan Syamel lakukan sebagai suami dan bakal bapa," katanya.

Sebelum melahirkan anak sulung dan menjalani fasa berpantang, Ernie menghadiahkan single Korban buat peminatnya. - Foto IG Ernie Zakri
Sebelum melahirkan anak sulung dan menjalani fasa berpantang, Ernie menghadiahkan single Korban buat peminatnya. - Foto IG Ernie Zakri

Sepanjang bergelar anak seni, Ernie berkata, banyak menyimpan kisah suka duka yang diterjemahkannya dalam karya berkenaan.

"Korban mempunyai maksud yang sangat istimewa. Saya cipta karya ini bagi menghargai segala pengorbanan yang dilakukan Syamel. Banyak yang ditempuhinya sepanjang saya mengandung.

"Bayangkan perasaannya dengan keadaan arwah ibunya yang sedang tenat di hospital, manakala saya pula hamil. Sukar diungkapkan.

"Maksud single Korban ini besar makna dari segi sudut pengorbanan pasangan suami isteri dalam menjaga perhubungan ketika susah dan senang, walaupun keadaan amat rapuh," katanya.

Masih mengetengahkan genre balada pop, Ernie berkata, unsur dramatik diselitkan sesuai dengan 'jiwa' lagu terbitan Rocketfuel Entertainment itu.

"Jika pendengar menghayati melodinya agak melankolik seperti single Gundah. Namun, ia bukanlah rasa sedih, tetapi lebih kepada perasaan terharu terhadap pengorbanan diberikan.

"Saya hanya mengambil masa selama sejam untuk merakamkan single Korban kerana lebih mudah apabila lirik, melodi dan komposisinya ciptaan sendiri.

"Namun, pengalaman paling menarik sudah tentunya merakamkan single ketika berbadan dua di Studio Kharisma di Petaling Jaya. Syukur, saya berjaya melunaskan tugas dengan mudah," jelasnya.

Ernie berkata, dia juga berdebar apabila lagu Boneka bolos pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-36 pada 6 Mac depan.

"Walaupun tidak berentap, namun, saya tentunya teruja menantikan penyanyi pengganti yang bakal memberi roh untuk karya sentuhan Omar K, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh itu," katanya.

Berita Harian X