Ahad, 20 Februari 2022 | 9:43am
Zulin dan Farhan belum memberi kata putus mengenai destinasi berbulan madu termasuk cadangan awal bercuti di Turki berikutan penularan Omicron. Foto Ihsan CST Production
Zulin dan Farhan belum memberi kata putus mengenai destinasi berbulan madu termasuk cadangan awal bercuti di Turki berikutan penularan Omicron. Foto Ihsan CST Production

Zulin, Farhan sah suami isteri

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, Zulin Aziz, 33, sah bergelar isteri kepada rakan kongsi perniagaan, Farhan Norzaini, 35, di Masjid Negara di sini, pada jam 9.20 pagi tadi.

Majlis akad nikah berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (JAWI).

Pasangan mempelai diijabkabul berwalikan abang pengantin perempuan, Shah Rezza Abdul Aziz. Mereka dinikahkan Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd Hosni.

Pada majlis akad nikah, Zulin atau nama sebenar, Farah Azleenda Abdul Aziz menerima wang hantaran RM30,000.

Pengantin lelaki turut menyerahkan mas kahwin RM80 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pihak pengantin perempuan.

Bekas penyampai radio Suria FM itu berharap kehidupan bersama suami dipermudahkan.

"Saya sering digambarkan dengan cinta sejati selama ini. Begitu juga fantasi dunia kartun Disney yang membahagiakan antara dua karakter kartun.

"Namun, sebelum dua karakter kartun itu bersatu, pelbagai dugaan ditempuhi. Di alam realiti, saya melalui pahit getir dalam mencari cinta sejati.

"Kehadiran suami dua tahun lalu bagai magis yang mengubah persepsi bahawa kemarau panas berpanjangan itu berakhir dengan kehadiran pelangi selepas hujan.

Pasangan mempelai diijabkabul berwalikan abang pengantin perempuan, Shah Rezza dan dinikahkan Ustaz Ehsan di Masjid Negara di Kuala Lumpur, pagi tadi. Foto Ihsan Zulin Aziz
Pasangan mempelai diijabkabul berwalikan abang pengantin perempuan, Shah Rezza dan dinikahkan Ustaz Ehsan di Masjid Negara di Kuala Lumpur, pagi tadi. Foto Ihsan Zulin Aziz

"Akhir tahun lalu ketika mengerjakan umrah, dia melamar saya di Madinah," kata Zulin usai majlis nikah.

Zulin menyifatkan kesungguhan dan keluhuran hati Farhan membuatkan dirinya tertawan.

"Dia bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarga. Dia juga pendengar setia. Saya selesa bersamanya dan boleh meluahkan apa sahaja.

"Tiada rahsia antara kami. Dia menerima saya seadanya sejak zaman saya berisi dan berjaya menurunkan berat badan.

"Saya percaya dialah yang akan membimbing diri ini ke jalan diredai dan menjadi bapa kepada bakal anak kami kelak... Insya-Allah," katanya

Mengenai zuriat dan perancangan bulan madu, Zulin berkata, dia dan suami belum dapat memberi kata putus dan terbuka menerima apa saja rezeki mendatang.

"Soal cahaya mata, baik saya dan suami terima saja rezeki yang Tuhan beri. Saya pun lagi tujuh tahun nak menginjak usia 40 tahun.

"Saya dan suami beruntung kerja dalam bidang sama iaitu perniagaan Sambal Tujuh. Jadi. sambil bekerja, selitlah mana sempat untuk berbulan madu.

"Rancangannya macam hendak pergi Turki, tetapi situasi semasa pandemik COVID-19 membimbangkan... Belum ada kata putus," katanya.

Sementara itu, Farhan atau nama penuh, Mohd Farhan Norzaini melihat Zulin sebagai wanita berhati tulus dan ikhlas serta pandai mengambil hati keluarga.

"Alhamdulillah, bersyukur Allah satukan kami selepas dua tahun kenal bermula sebagai kawan seterusnya bercinta dan kini jadi suami isteri.

"Perasaan bercampur baur sebab ini antara hajat dan doa daripada arwah ibu, rakan dan semua yang mengenali kami.

"Kami pernah melalui fasa dikecewakan, turun naik kehidupan serta perhubungan. Dia bersama saya di saat mengharungi detik paling hitam dalam hidup iaitu ketika kehilangan arwah ibu, Oktober tahun lalu.

"Sejak itu, saya tahu wanita inilah yang saya mahu sehidup semati. Malah arwah ibu pernah berpesan jika mahu memilih calon isteri, pilihlah wanita yang boleh menjaga saya seperti mana arwah.

"Zulin ada ciri-ciri lengkap itu," katanya.

Malam ini, pasangan sama padan sama cantik itu akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi di premis acara, Magica Grand Hall, Shah Alam.

Zulin dan Farhan bertunang pada 28 Januari lalu.

Berita Harian X