Selasa, 15 Februari 2022 | 11:00am
Hattan menyelar sikap stesen penyiaran yang lebih rela melihat maruah industri muzik tempatan diperkotak-katikkan demi mengejar rating. - Foto IG Hattan
Hattan menyelar sikap stesen penyiaran yang lebih rela melihat maruah industri muzik tempatan diperkotak-katikkan demi mengejar rating. - Foto IG Hattan

'Kelapa komeng' mudarat pentas seni

KUALA LUMPUR: Isu program realiti didakwa lebih mengutamakan 'rating' berbanding mencari penyanyi berbakat yang boleh dibanggakan dan menjadi pelapis kepada penyanyi hebat bukanlah baharu.

Malah, setiap kali program seumpamanya diterbitkan, pasti ada peserta yang dikatakan spesies 'kelapa komeng' atau yang tidak bagus disenaraikan atas faktor berpotensi tular dan menjadi perdebatan dalam media sosial.

Berbanding program pencarian bakat yang pernah dihasilkan sebelum ini di mana objektifnya ingin mencari penyanyi pelapis, namun pada era media sosial, misi menganjurkan pertandingan seperti itu sudah berubah apabila bakat bukanlah segala-galanya.

Selain faktor rupa, elemen 'drama' juga perlu ada dalam kalangan peserta untuk dijadikan umpan mendapatkan jumlah tontonan tinggi.

Mual dengan sikap stesen penyiar yang didakwa tidak peka dan cuba menjahanamkan industri muzik, Presiden Konsortium Persatuan Industri Muzik Malaysia (IRAMA) menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) supaya menilai kembali penerbitan program realiti yang disifatkan sebagai tidak memberi manfaat itu.

Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid, berkata pihaknya mewakili semua penggiat seni tanah air berharap KMMM segera menghentikan sebuah program yang sedang disiarkan di sebuah stesen televisyen (TV).

"Pendirian ini diambil mengambil kira sikap stesen TV terbabit yang semakin galak menerbitkan program hiburan memalukan," katanya dalam kenyataan.

Mual sikap stesen penyiar didakwa tidak peka dan cuba menjahanamkan industri muzik, Ayob menggesa KKMM menilai semula penerbitan program realiti yang disifatkan tidak memberi manfaat. - Foto Ayob Abd Majid
Mual sikap stesen penyiar didakwa tidak peka dan cuba menjahanamkan industri muzik, Ayob menggesa KKMM menilai semula penerbitan program realiti yang disifatkan tidak memberi manfaat. - Foto Ayob Abd Majid

Ayob berkata, IRAMA kesal stesen penyiar terbabit didakwa tidak menjalankan tugas sebagai platform mencari penyanyi berbakat seperti yang sepatutnya dibuat.

"Seharusnya bidang seni tempatan dibantu media elektronik seperti stesen TV dalam memartabat dan menaikkan nama industri seni.

"Apakah stesen TV ini terdesak memiliki 'rating' tinggi hingga sanggup menerbitkan program yang sangat memualkan. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini menjadikan program yang dimaksudkan bukan meraih publisiti, sebaliknya, suatu tindakan yang sangat bodoh dan memalukan negara.

"Pentas yang sepatutnya menjadi medan beradu bakat untuk mencari yang terbaik daripada yang terbaik bertukar menjadi pentas sampah," dakwa Ayob.

Turut meluahkan rasa kecewa dengan situasi yang berlaku adalah rocker terkenal, Datuk Hattan.

Zamani berpendapat, suka ataupun tidak, faktor viral dan populariti antara elemen yang perlu ada dalam penerbitan program realiti. - NSTP/Rohanis Shukri
Zamani berpendapat, suka ataupun tidak, faktor viral dan populariti antara elemen yang perlu ada dalam penerbitan program realiti. - NSTP/Rohanis Shukri

Menerusi video yang dimuat naik di Instagram (IG), penyanyi Memburu Rindu itu menyelar sikap stesen penyiaran yang lebih rela melihat maruah industri muzik tempatan diperkotak-katikkan demi mengejar rating.

"Stesen penyiaran perlu ada sifat bertanggungjawab membantu membangunkan industri muzik tanah air dan meletakkannya di tempat lebih tinggi.

"Kita kena ada jati diri, ada maruah. Nyanyi, nyanyi juga, maruah sangat penting. Kepada pihak produksi, fikirlah secara waras sebelum buat keputusan.

"Apabila panggil penyanyi yang tidak berbakat, ini memalukan negara kerana secara tidak langsung kita menunjukkan kepada orang luar yang standard penyanyi Malaysia adalah seperti itu," katanya.

Sementara itu, berkongsi pengalaman sebagai bekas peserta program realiti, Zamani berkata, sama ada suka ataupun tidak, faktor viral dan populariti adalah antara elemen yang perlu ada dalam penerbitan program seumpama itu.

"Pada saya, kualiti dan juga rating, kedua-duanya adalah penting kerana ini adalah dunia 'showbiz'. Malah, situasi serupa dapat dilihat dalam program luar negara.

"Bagaimanapun, memandangkan ini adalah program pertandingan nyanyian, kita kena cari juara yang terbaik. Jadi, kita tidak boleh hendak kompromi dari segi kualiti," kata vokalis kumpulan Slam ini.

Berita Harian X