Selasa, 15 Februari 2022 | 8:30am
Pasukan produksi baharu, Durioo menyasarkan Little Ammar dan Mina Mila dapat menyampaikan animasi hebat berunsur Islamik. - Foto Ihsan TV9
Pasukan produksi baharu, Durioo menyasarkan Little Ammar dan Mina Mila dapat menyampaikan animasi hebat berunsur Islamik. - Foto Ihsan TV9

Little Ammar, Mina Mila temui penonton TV9

KUALA LUMPUR: Selari pembaharuan wajah TV9 September lalu, stesen televisyen (TV) itu membawa kelainan dengan melanjutkan slot program kanak-kanak, Jaguh Kartun dari jam 5 petang hingga 7 malam.

Pendekatan ini sesuai dengan stesen TV9 yang sinonim sebagai saluran program kartun atau animasi terbaik sejak dahulu lagi.

Pelbagai animasi tempatan berkualiti disusun istimewa buat penonton cilik seperti Knowsy Nina, Supertots, Supersquad, Cingkus Blues, Soccer Bugs, Boboiboy, Ejen Ali dan terbaharu, Little Ammar dan Mina Mila yang bakal menyusul, tidak lama lagi.

Pengurus Besar, Program dan Kandungan Siaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman, berkata TV9 menerima banyak maklum balas penonton setia terutama melalui media sosial mengenai usaha mengembalikan zaman kegemilangan kartun di saluran TV keluarga itu.

"Jadi, ini adalah salah satu inisiatif memberi yang terbaik sesuai dengan kehendak penonton setia TV9.

"Kami akan cuba menayangkan kartun yang menjadi kegemaran kanak-kanak yang sesuai ditonton dari jam 5 petang hingga jam 7 malam. TV9 sentiasa cuba menayangkan program animasi terbaik sesuai dengan peredaran zaman.

"Sesuai dengan inisiatif Jaguh Kartun, kami berbesar hati bekerjasama dengan salah satu jaguh animasi iaitu Durioo untuk menayangkan Little Ammar dan Mina Mila di stesen TV ini," katanya.

Khairunnisa ditemui pada sidang media Little Ammar dan Mina Mila secara virtual, baru-baru ini.

Khairunnisa berkongsi, TV9 menerima banyak maklum balas penonton setia menerusi media sosial mengenai usaha mengembalikan zaman kegemilangan kartun di saluran TV keluarga itu. - Foto Ihsan TV9
Khairunnisa berkongsi, TV9 menerima banyak maklum balas penonton setia menerusi media sosial mengenai usaha mengembalikan zaman kegemilangan kartun di saluran TV keluarga itu. - Foto Ihsan TV9

Yang turut hadir, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Durioo, Sinan Ismail; Pengarah Animasi Little Ammar, Nelli Nellisa dan Pengarah Animasi Mina Mila, Nabil Baharum.

Sementara itu, Sinan berkata, sebagai syarikat baharu, pihaknya sangat bersyukur dan gembira kerana Little Ammar dan Mina Mila disiarkan di TV9, sekali gus memberi kepuasan melihat karya ditayangkan.

"Mungkin ramai tidak kenal Durioo kerana kami adalah syarikat yang baru ditubuhkan pada Ogos tahun lalu. Sebenarnya, pasukan dalam Durioo adalah individu yang menghasilkan Didi & Friends dan Omar & Hana.

"Sebagai syarikat baharu, kami menyasarkan Little Ammar dan Mina Mila dapat menyampaikan animasi hebat berunsur Islamik.

"Seperti kartun lain yang menghiburkan, Little Ammar dan Mina Mila mahu menyampaikan nilai murni Islam. Ini menjadi faktor mengapa kami menubuhkan Durioo. Dalam media barat, kita boleh lihat tidak semua sesuai dengan budaya dan agama kita," katanya.

Sinan berkata, Durioo akan menampilkan lebih banyak watak animasi untuk penonton dengan lebih 11 karakter sedang dalam proses pembikinan.

Sinan bersyukur Little Ammar dan Mina Mila disiarkan di TV9, sekali gus memberi kepuasan melihat karya ditayangkan. - Foto Ihsan TV9
Sinan bersyukur Little Ammar dan Mina Mila disiarkan di TV9, sekali gus memberi kepuasan melihat karya ditayangkan. - Foto Ihsan TV9

Sehubungan itu, Sinan berharap Little Ammar dan Mina Mila dapat memberi nilai pengajaran Islam kepada anak-anak di Malaysia dan seluruh dunia.

"Semoga mesej yang kami sampaikan dalam dua animasi ini dapat memberi impak yang positif kepada penonton TV9.

"Kita juga berharap siri animasi ini dapat menghasilkan generasi yang mempunyai asas Islam yang kuat. Program animasi ini bukan sahaja sesuai ditonton kanak-kanak, malah ibu bapa dan pelajar dewasa," katanya.

Mula disiarkan 2 Februari lalu, Little Ammar menemui penonton setiap Rabu dan Khamis pada jam 6.30 petang, selama tiga minit.

Little Ammar menampilkan seorang kanak-kanak lelaki comel bersama arnab kesayangannya, Rapbit. Little Ammar berkongsi dengan penonton cilik lagu kanak-kanak, zikir dan video pembelajaran yang mudah difahami.

Mina Mila pula bakal disiarkan setiap Isnin dan Selasa pada jam 6.30 petang, mulai 28 Mac depan, selama tujuh minit.

Mina dan Mila adalah kakak kembar seiras kepada Ammar dan mempunyai personaliti berbeza.

Animasi ini menyasarkan penonton berusia antara lima hingga sembilan tahun dan keletah seharian mereka cukup melucukan dan pastinya membuat penonton terhibur.

Ketika ini, Little Ammar dan Mina Mila boleh ditonton di TV9 dan aplikasi Over The Top (OTT) yang diwujudkan Durioo iaitu Durioo Plus yang boleh distrim di seluruh dunia.

Berita Harian X