Khamis, 10 Februari 2022 | 1:00pm
Terlalu banyak impian ingin dikecapi Nana selepas mendapat peluang kedua sejurus diangkat juara GV2, enam tahun lalu. - Foto IG Siti Nordiana
Terlalu banyak impian ingin dikecapi Nana selepas mendapat peluang kedua sejurus diangkat juara GV2, enam tahun lalu. - Foto IG Siti Nordiana

'13 tahun solo tanpa lelaki'

KUALA LUMPUR: Hampir 13 tahun menjalani hidup sendirian tanpa kehadiran sosok lelaki bergelar suami, hati empunya nama Siti Nordiana Alias, 38, masih belum terisi sehingga kini.

Bukan trauma atas kegagalan episod perkahwinan lalu, sebaliknya kesibukan pada kerjaya nyanyian membuatkan wanita berasal dari tanah adat, Negeri Sembilan itu 'terpaksa' mengenepikan soal hati buat seketika.

Mustahil sepanjang tempoh bersendirian, tiada langsung jejaka yang cuba mendekati, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana hanya membalas soalan diajukan dengan ketawa kecil.

Sudah lali persoalan jodoh, Nana yang bakal melangkah ke usia 40-an dalam tempoh dua tahun lagi mengakui, dia tidak pernah meletakkan sasaran bila akan menamatkan zaman solo.

"Saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran perlu menamatkan zaman solo pada umur tertentu. Insya-Allah, seandainya sudah tiba jodoh, saya sendiri akan berkongsi.

"Bagaimanapun, buat masa ini, saya masih belum terfikir mahu mencari pasangan hidup. Andai tiba jodoh, saya tidak akan merahsiakannya.

"Sebaliknya, saya akan berkongsi perkahwinan perlu diuar-uarkan bagi mengelakkan fitnah," ujar penyanyi yang pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Allahyarham Mohd Faizal Yusup pada 2006.

Namun, bahtera rumah tangga dilayari Nana bersama Faizal tidak bertahan lama apabila mereka akhirnya berpisah selepas tiga tahun berkongsi hidup.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Cinta Hanya Sandaran itu berkata, terlalu banyak perkara ingin dikecapi selepas mendapat 'peluang kedua' dalam kerjaya sejurus diangkat sebagai juara program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim kedua.

Sejak itu, ujar Nana, dia enggan menoleh ke belakang, sebaliknya, mahu terus fokus lantaran enggan mensia-siakan peluang yang terbentang depan mata.

Nana terus hidup sendiri, tak letak sasaran kembali berumah tangga. - Foto IG Siti Nordiana
Nana terus hidup sendiri, tak letak sasaran kembali berumah tangga. - Foto IG Siti Nordiana

Apatah lagi, katanya, dialah ibu dan ayah kepada satu-satunya zuriat, Muhammad Rayyan Nakhaie, 14.

"Selepas kemenangan dalam GV hampir enam tahun lalu, saya akui rezeki dalam bidang nyanyian kembali menyerlah. Jadi, saya perlukan masa untuk menyesuaikan dengan keadaan ini.

"Banyak yang mahu saya kejar selepas diberikan peluang kedua. Lagipun, saya membesarkan Rayyan sendirian, saya juga menanggung keluarga dan memiliki pekerja yang perlu dijaga kebajikan.

"Buat masa ini, saya hanya ingin fokus kepada kerjaya terlebih dahulu. Kumpul aset dan capai apa yang tidak pernah dikecapi, selama ini, sebelum membuat keputusan berkahwin," kata Nana.

Mengulas kemungkinan perasaan anak turut mempengaruhi keputusan Nana memilih pasangan hidup. Barangkali, Rayyan belum bersedia menerima 'bapa baharu' dalam hidup, memandangkan sudah terbiasa hidup berdua bersama ibunya sejak kecil.

Pelakon drama Dia Semanis Honey dan Satukan Rasa itu mengakui, keselesaan dan perasaan anak kesayangannya itu tetap menjadi keutamaan.

Bagaimanapun, katanya, Rayyan tidak kisah dengan kehidupan peribadi ibunya.

"Sudah tentu sebagai ibu, perasaan anak menjadi keutamaan. Saya amat mementingkan anak dalam segala hal, termasuklah

keselesaannya.

"Rayyan tidak kisah sekiranya saya mahu kembali berumahtangga. Cuma, saya perlukan masa untuk 'settle down', bukan disebabkan Rayyan, trauma atau sebagainya.

"Insya-Allah, saya tidak akan berahsia, saya juga bukanlah orang yang begitu jika betul-betul sudah yakin," katanya.

Keselesaan, perasaan anak tunggal tetap menjadi keutamaan, namun, Rayyan tidak ambil kisah dengan kehidupan peribadi ibunya. - Foto IG Siti Nordiana
Keselesaan, perasaan anak tunggal tetap menjadi keutamaan, namun, Rayyan tidak ambil kisah dengan kehidupan peribadi ibunya. - Foto IG Siti Nordiana

Berkongsi debaran berjaya melangkah ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 menerusi lagu Angkara ciptaan Sharon Paul, manakala lirik sentuhan Nana bersama Fedtri Yahya, Nana akui hatinya cukup berdebar.

Apatah lagi, ini kali pertama penyanyi yang diangkat Penyanyi Wanita Popular dan Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu membuat persembahan secara solo di pentas AJL 36.

Tidak mahu mensia-siakan peluang yang tidak selalu hadir, Nana berkata, dia gigih mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas vokal bersama Cikgu Syafi dan kelas lakonan bagi penghayatan lagu.

"Sesiapa sahaja yang berada di tempat saya tentunya berdebar, lebih lagi, ini kali pertama bertanding atas tiket solo.

"Saya sempat meminta tips daripada Dayang Nurfaizah, jadi, sedikit sebanyak rasa lega atas perkongsiannya itu.

"Dayang memberitahu lebih mudah bertanding secara solo kerana bebas melakukan perkara sendiri. Jadi, sebagai persiapan, saya mengikut kelas bersama Cikgu Syafi dan turut mengikuti kelas lakonan bagi penghayatan lagu.

"Walaupun sudah hampir 22 tahun dalam industri muzik, tetapi, masih banyak perlu dipelajari. Soal kalah atau menang, tipulah jika saya tiada angan-angan untuk menang.

"Namun, saya lebih fokus untuk memberikan persembahan terbaik kerana tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi di pentas berprestij," katanya.

Berita Harian X