Ahad, 6 Februari 2022 | 3:00pm
Naim tidak menyangka Joe tidak mengambil masa lama menyatakan persetujuan berkolaborasi dengannya menerusi single Habis Sini. - Foto Ihsan Ihsan WP Entertainment
Naim tidak menyangka Joe tidak mengambil masa lama menyatakan persetujuan berkolaborasi dengannya menerusi single Habis Sini. - Foto Ihsan Ihsan WP Entertainment

Impian jadi kenyataan

KUALA LUMPUR: Sentiasa mencari kelainan dalam setiap karya dihasilkan, penyanyi dan komposer muda, Naim Daniel tidak menyangka penyanyi rap terkemuka, Joe Flizzow sudi tampil dalam single terbarunya.

Naim, 24, berkata persetujuan bekas anggota kumpulan rap Too Phat itu ibarat mimpi jadi nyata.

Akuinya, dia tidak menyangka Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak tidak mengambil masa lama menyatakan persetujuan berkolaborasi dengannya menerusi single Habis Sini.

"Sebenarnya single Habis Sini sudah lama saya simpan. Cuma, saya terfikir bagaimana mahu menambahkan 'rasa' pada karya ini agar menjadi lebih menarik.

"Secara tiba-tiba, lahir idea mengundang Joe berkolaborasi bersama saya memandangkan single Habis Sini mengetengahkan muzik rap.

"Sebelum ini, saya pernah bekerjasama dengan Man Kidal dan nyata, strategi itu diterima peminat. Kebetulan, saya ingin mempelbagaikan genre muzik dan memilih lagu berentak rap, jadi, saya merasakan orang paling sesuai adalah Joe memandangkan seorang penyanyi rap prolifik.

Penampilan Joe dalam single Habis Sini menjadikan karya kedengaran lebih menarik lagi. - Foto Ihsan WP Entertainment
Penampilan Joe dalam single Habis Sini menjadikan karya kedengaran lebih menarik lagi. - Foto Ihsan WP Entertainment

"Apabila idea disuarakan kepada syarikat pengurusan, WP Entertainment, mereka bersetuju dan menghubungi pihak pengurusan Joe iaitu Def Jam Recordings Malaysia. Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan apabila Joe tidak mengambil masa yang lama menerima lamaran saya," katanya kepada BH Online.

Penyanyi yang diangkat Juara Lagu, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 menerusi lagu Sumpah itu berkata, Joe bukanlah seorang yang cerewet.

"Ketika memperdengarkan demo single Habis Sini, Joe tidak banyak membantah, malah, membantu melakukan penambahbaikkan pada karya ini untuk menjadikannya kedengaran lebih menarik.

"Selain itu, kami turut mendapatkan khidmat SonaOne selaku penerbit lagu.

"Tidak sukar bekerja dengan Joe, dia seorang yang ringkas, bersifat seperti abang dan sangat profesional.

"Joe beritahu ata kalau hendak buat lagu, jangan tangguh-tangguh," katanya.

Katanya, proses rakaman tidak mengambil masa yang lama.

"Selepas Joe menyatakan persetujuan, kami mencari tarikh yang sesuai untuk sesi rakaman. Namun, sebelum masuk studio, kami berbincang untuk menambah baik lagi karya ini.

"Apabila Joe terbabit dalam lagu, saya tidak boleh menafikan aura lain macam. Penampilan Joe dalam karya ini menjadikan single terbaru saya kedengaran lebih menarik lagi.

"Ini kali pertama saya membawakan lagu bergenre rap dan ia satu pengalaman ang cukup menarik kerana saya memang ingin mencuba pelbagai genre muzik untuk melihat sejauh mana kemampuan saya," katanya yang berharap penyanyi muda seangkatan dengannya dapat melebarkan sayap dalam bidang muzik.

Single Habis Sini mengisahkan kehidupan seharian yang bertemu dengan manusia yang leka menyebarkan aib orang lain, sedangkan dirinya sendiri masih penuh dengan cela.

Lagu berkenaan dilancarkan secara rasminya di semua platform penstriman iaitu Spotify, Apple Music, YouTube, Joox dan lain-lain, sejak 2 Februari lalu.

Manakala, video muzik pula boleh ditonton di saluran YouTube World Peace Entertainment.

Berita Harian X