Jumaat, 4 Februari 2022 | 3:36pm
Usop dan Nur Fatihah berkenalan sejak dua tahun lalu dan mengikat pertunangan pada 4 November, tahun lalu. Foto Ihsan @kakiklikphotography
Usop dan Nur Fatihah berkenalan sejak dua tahun lalu dan mengikat pertunangan pada 4 November, tahun lalu. Foto Ihsan @kakiklikphotography

Usop pilih usahawan kosmetik

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, penyanyi Usop selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihan hatinya, Nur Fatihah Md Hashim, 25, pada majlis tertutup di Kompleks Darul Hidayah, Penaga, Pulau Pinang, pagi tadi.

Majlis pernikahan pasangan itu disempurnakan Penolong Pendaftar Nikah Butterworth, Ustaz Harun Idris berwalikan bapa pengantin perempuan, Md Hashim Nordin.

Berkongsi keterujaan pada hari bahagianya itu, Usop atau nama sebenar, Muhamad Saiful Naim Mohd Noor, 24, berharap mahligai cinta dibina itu kekal hingga akhir hayat.

"Harapan saya semoga peminat serta mereka yang mengenali dapat mendoakan kebahagiaan kami hingga anak cucu.

Usop dan Nur Fatihah menyerahkan soal zuriat kepada rezeki. Foto Ihsan @kakiklikphotography
Usop dan Nur Fatihah menyerahkan soal zuriat kepada rezeki. Foto Ihsan @kakiklikphotography

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta mereka yang terbabit dalam menjayakan majlis ini," katanya kepada BH Online.

Usop yang muncul naib juara program realiti, Mentor Milenia 2017 dan Big Stage 2020 menganggap usia bukan penghalang untuk memikul tanggungjawab sebagai suami.

"Walaupun usia saya boleh dikatakan masih muda, tapi saya harap dapat membimbing dan memegang tanggungjawab ini sebaik mungkin.

"Saya mahu menjadi suami terbaik buat Nur Fatihah. Ini adalah janji saya kepada keluarga bagi memastikan ikatan ini terus berkekalan," katanya.

Mengenai zuriat, mereka lebih selesa menyerahkan perkara itu kepada rezeki.

"Soal zuriat saya dan isteri tidak terburu-buru. Saya serahkan kepada rezeki. Saya percaya masa tepat akan tiba.

"Buat masa ini, fokus kami adalah untuk membina kehidupan suami isteri terlebih dahulu. Saya ingin melihat Fatihah bahagia bersama saya," katanya.

Pada majlis pernikahan itu, Usop menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang dari pihak perempuan.

Turut disertakan adalah mas kahwin RM3,000 serta seutas gelang tangan sebagai acara batal air sembahyang. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran tidak dinyatakan.

Pasangan mempelai ini bakal diraikan pada majlis resepsi malam ini disusuli majlis sambut menantu di sebelah keluarga Usop di Kulim, Kedah pada 13 Februari ini.

Usop dan Nur Fatihah yang juga seorang kakitangan sebuah syarikat swasta dan usahawan kosmetik, berkenalan sejak dua tahun lalu. Mereka bertunang pada 4 November tahun lalu.

Berita Harian X