Isnin, 31 Januari 2022 | 3:00pm
Raja Ilya pernah dimasukkan ke ICU sebuah hospital kerajaan disebabkan kesan suntikan ‘filler’ pada punggungnya. - Foto IG Raja Ilya
Raja Ilya pernah dimasukkan ke ICU sebuah hospital kerajaan disebabkan kesan suntikan ‘filler’ pada punggungnya. - Foto IG Raja Ilya

Kerana hendak cantik nyawa hampir melayang

KUALA LUMPUR: Nyawa pelakon, Raja Ilya, 36, hampir melayang selepas menjadi mangsa doktor estetik palsu.

Dedahnya, dia menerima suntikan berbahaya sekitar 2008 hingga 2009 ketika masih naif dan kurang ilmu.

Raja Ilya atau nama sebenarnya, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad berkata, dia kini terpaksa hidup dengan kesan sampingan terhadap rawatan dilakukan.

"Masa muda, saya tidak berfikir panjang. Ia berlaku apabila saya menghadiri uji bakat filem Tamil di India. Ketika bersembang, penerbit filem mengatakan saya perlu ada beberapa kriteria, terutama bentuk badan.

"Penerbit menyatakan saya tiada aset seperti punggung besar. Saya menangis kerana merasakan ia adalah diskriminasi.

"Saya berputus asa dan kemudian menyambung kerja sepenuh masa di Malaysia Airlines (MAS).

"Apabila saya berkongsi cerita ini dengan rakan jurusolek, dia menyarankan membuat punggung dan memperkenalkan kepada seorang doktor," katanya kepada BH Online.

Daripada situ, Raja Ilya berkata, mula mengumpul duit sehingga RM8,000 untuk membuat suntikan 'filler' pada punggung.

"Doktor palsu itu menyatakan suntikan 'filler' selamat dan tunjuk gambar artis yang pernah melakukan perkara sama. Selepas membayar pendahuluan, doktor palsu berkenaan minta saya ke rumahnya di Flat Seri Merdeka.

"Apabila diberikan suntikan 'filler', saya mula pening, kemudian dicucuk dengan beratus suntikan.

"Disebabkan terlalu pening, saya tak ingat apa-apa. Saya disuruh balik, kemudian datang beberapa hari untuk menyempurnakan proses rawatan.

"Saya pergi semula beberapa minggu kemudian dan baru sedar melakukan kesilapan besar. Saya kelihatan sangat buruk, macam tempayan," katanya.

Raja Ilya berkata, dia lebih terkejut apabila menerima khabar ada seorang wanita VIP meninggal dunia selepas membuat suntikan dengan doktor palsu berkenaan.

"Ketika itu, baru saya tahu dia bukan doktor, hanya menggunakan sijil palsu untuk menipu orang," katanya.

Ekoran suntikan itu, Raja Ilya berkata, dia menerima kesan sehingga sekarang.

Pelakon yang kini menetap di Australia itu berkata, dia mengalami kesan sampingan pada 2015 selepas dimasukkan ke hospital.

"Ketika itu, saya digigit kucing dan memutuskan ke klinik untuk mengambil vaksin. Ketika itulah, segalanya terbongkar dan saya hampir mati.

"Selepas tiga hari mengambil vaksin, saya sakit dan timbul ketulan seluruh badan. Saya tidak boleh berjalan dan bernafas.

"Saya dimasukkan ke hospital swasta dan tahap kesihatan merudum apabila tekanan darah menurun. Saya dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital kerajaan.

"Saya sedih doktor tidak tahu nak buat apa kerana ingatkan saya mempunyai penyakit pelik. Saya akhirnya dimasukkan ke wad pengasingan bakteria berbahaya selama berminggu-minggu," katanya.

Raja Ilya sedih terpaksa hidup dengan ketulan seluruh badan akibat kesan suntikan ‘filler’ pada punggung sejak 14 tahun lalu. - Foto IG Raja Ilya
Raja Ilya sedih terpaksa hidup dengan ketulan seluruh badan akibat kesan suntikan ‘filler’ pada punggung sejak 14 tahun lalu. - Foto IG Raja Ilya

Beliau berkata, doktor memberikannya dos 'morphine' yang tinggi siang dan malam sehingga membuatkannya tidur sepanjang masa.

"Selepas ujian ke atas ketulan itu dibuat, baru tahu ia adalah minyak silikon yang juga bahan terlarang," katanya.

Selepas dua tahun menyimpan rahsia, Raja Ilya diperkenalkan dengan seorang doktor pembedahan plastik. Doktor itulah yang membantunya membuang minyak silikon sebanyak mungkin.

"Sebab kebanyakan minyak silikon sudah melekat dengan otot, organ dan tulang belakang.

"Jika mahu membuangnya saya berdepan risiko lumpuh sebab ia berada sekeliling saraf tunjang.

"Jadi, doktor melakukan prosedur yang mana tidak semuanya boleh dikeluarkan. Semua ketulan kelihatan sama dapat dikeluarkan, manakala, ketulan dekat organ, tidak boleh.

"Memang sedih saya kena hidup dengan ketulan sana sini sehingga sekarang," katanya.

Ekoran itu, Raja Ilya berharap, sistem keadilan di Malaysia mengambil langkah serius menangani perkara ini.

"Banyak negara ada undang-undang khas untuk kes ini. Boleh dipenjarakan, jadi, ia bukan perkara main-main.

"Saya berkongsi ini bukan untuk dapat nama. Saya mahu kerajaan, Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Amalan Perubatan Estetik Kebangsaan buka mata," katanya.

Terdahulu, Raja Ilya berang kes kematian seorang lelaki susulan terima suntikan membesarkan otot punggung daripada pakar kecantikan tidak bertauliah ditutup dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut tanpa membabitkan unsur jenayah, baru-baru ini.

Menerusi laporan, mangsa berusia 31 tahun ditemui meninggal dunia dalam sebuah bilik hotel di Perak.

Susulan itu, Raja Ilya memohon keluarga mangsa menghubunginya menerusi Instagram (IG) bagi memperjuangkan dan menuntut keadilan terhadap mangsa.

"Saya minta keluarga mangsa hubungi saya. Saya tidak akan biarkan perkara ini terjadi pada orang lain, ini sangat teruk.

"Saya akan lawan bagi menuntut keadilan buat mangsa walaupun saya tidak mengenalinya. Malaysia bukan negara tidak bertamadun," katanya.

Berita Harian X