Rabu, 26 Januari 2022 | 9:30am
Perjanjian usaha niaga antara MPA dan OOGA X memberi fokus memastikan perniagaan dapat manfaat dan mengembangkan stesen radio MPA, sekali gus menawarkan pelbagai pilihan terbaik. - NSTP/Asyraf Hamzah
Perjanjian usaha niaga antara MPA dan OOGA X memberi fokus memastikan perniagaan dapat manfaat dan mengembangkan stesen radio MPA, sekali gus menawarkan pelbagai pilihan terbaik. - NSTP/Asyraf Hamzah

MPA, OOGA X jalin kerjasama

KUALA LUMPUR: Media Prima Audio (MPA) dan platform komunikasi lengkap serta holistik, OOGA X menandatangani perjanjian usaha niaga eksklusif dan kerjasama kandungan bagi stesen penyiaran radio berkenaan.

Melalui kerjasama itu, MPA yang menjadi antara penyiar terbesar audio di Malaysia merangkumi stesen radio Hot FM, Buletin FM, Molek FM, Fly FM, 8FM dan Audio+, bakal memanfaatkan aset OOGA X.

Kerjasama itu turut membabitkan stesen radio Kupikupifm dan CITYPlus sebagai sebahagian daripada tawaran jualan kepada pelanggan dan rakan kongsi.

Perjanjian dimeterai memberi fokus dalam memastikan perniagaan dapat memanfaat dan mengembangkan stesen radio MPA yang bakal menawarkan pilihan demografi serta psikografi untuk memastikan pengiklan memperoleh pulangan pelaburan (ROI) dan capaian yang lebih baik.

Kolaborasi itu akan menjadi anjakan paradigma baharu dalam penyiaran radio tempatan kerana ia adalah kali pertama pengendali radio bekerja secara sinergi untuk faedah simbiotik.

Perjanjian eksklusif itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Audio, Nazri Noran serta CEO dan Pengarah OOGA X, Rita Sim, di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur, semalam.

Majlis menandatangani perjanjian disaksikan Pengerusi Kumpulan Media Prima (MPB) Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Penasihat OOGA X, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Nazri Noran (kiri) bertukar cenderahati bersama Rita Sim (kanan) pada majlis menandatangani perjanjian eksklusif MPA dan OOGA X di Balai Berita, Bangsar, semalam. - NSTP/Asyraf Hamzah
Nazri Noran (kiri) bertukar cenderahati bersama Rita Sim (kanan) pada majlis menandatangani perjanjian eksklusif MPA dan OOGA X di Balai Berita, Bangsar, semalam. - NSTP/Asyraf Hamzah

Nazri berkata, perjanjian dimeterai adalah suatu bentuk komitmen bersama dalam memanfaatkan tugas dan fungsi masing-masing dalam perspektif pakej jualan komersial, terutama dalam siaran radio dan digital.

"Ini adalah masa yang menarik bagi industri audio dan radio serta peluang yang baik buat MPA untuk berhubung dengan pendengar kami yang berada di Sabah dan Sarawak untuk lebih dekat dengan rakan kongsi kami dari OOGA X," katanya.

Sementara itu, Rita berkata, pihaknya optimis dengan pengaruh MPA.

"Dengan pengalaman dan pengetahuan mereka di wilayah berkenaan, kami akan bersama untuk mengembangkan Kupikupifm dan CITYPlus lebih kuat dari sebelumnya.

"Kerjasama yang menarik dengan MPA ini tepat pada masanya bagi kedua-dua syarikat kami terutamanya di Sabah dan Sarawak yang terletak di kepulauan Borneo," katanya.

Tambah Rita, pertumbuhan dinamik turut dipacu pembangunan projek Lebuhraya Pan Borneo.

"Dengan pengumuman Nusantara sebagai ibu negara Indonesia, baru-baru ini, ia akan meningkatkan lagi aktiviti ekonomi dan perniagaan bagi seluruh rantau ini.

"Kupikupifm dan CITYPlus bersama MPA, berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang yang semakin meningkat terutama di Sabah dan Sarawak," katanya.

Berita Harian X