Selasa, 18 Januari 2022 | 3:00pm
Rosmin menjelaskan industri muzik tempatan menantikan penubuhan PIMM yang dapat menjaga kepentingan sektor kreatif itu terutama pada era ledakan teknologi digital. Foto Ihsan RIM
Rosmin menjelaskan industri muzik tempatan menantikan penubuhan PIMM yang dapat menjaga kepentingan sektor kreatif itu terutama pada era ledakan teknologi digital. Foto Ihsan RIM

'Tunggu Akta Muzik dibentang di Parlimen'

KUALA LUMPUR: Perubahan pimpinan kerajaan termasuk pertukaran Menteri Komunikasi dan Multimedia tidak menjejaskan cadangan penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) yang diluluskan Kabinet, Julai tahun lalu.

Jaminan itu diberi Ketua Setiausaha (KSU), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek pada pertemuan bersama Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim, baru-baru ini.

Rosmin berkata, industri muzik tempatan menantikan penubuhan PIMM yang dapat menjaga kepentingan sektor kreatif itu terutama pada era ledakan teknologi digital.

"RIM bertemu Mohammad Mentek untuk membincangkan kerjasama yang boleh dilakukan demi pembangunan industri muzik.

"Melalui pertemuan itu, maklum balas diterima adalah KKMM akan meneruskan apa yang sudah dipersetujui Kabinet sebelum ini.

"Buat masa ini, kami masih menanti Akta Muzik dibentangkan di Parlimen bagi mendapat kelulusan dan memperoleh peruntukan.

"Belum ada tarikh khusus pembentangan akan dibuat. Namun, kami yakin usaha itu dilakukan secepat mungkin.

"Ada banyak acara muzik memerlukan pembabitan dan sokongan kerajaan seperti Anugerah Industri Muzik (AIM) yang hendak dilaksanakan," katanya kepada BH Online.

Pada 19 Julai lalu, Kabinet meluluskan penubuhan PIMM sebagai badan bertanggungjawab menjaga kepentingan industri muzik, buat kali pertama dalam sejarah.

Ketika itu, Menteri, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan penubuhan PIMM yang bakal meletakkan ekosistem industri muzik kepada tiga bahagian utama iaitu penghasilan, persembahan dan pendidikan.

Bagaimanapun, status penubuhan PIMM umpama 'tergantung' selepas berlaku perubahan struktur pentadbiran KKMM apabila Saifuddin bertukar ke Kementerian Luar dan digantikan Tan Sri Annuar Musa.

Rosmin berkata, seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang memerlukan suntikan dana kerajaan dalam menjayakan aktiviti, PIMM mengharapkan peruntukan tahunan untuk memperkasakan industri muzik.

"FINAS misalnya berjaya menganjurkan Festival Filem Malaysia (FFM) dengan adanya bantuan kerajaan. Atas sokongan kerajaan, industri perfileman tempatan makin berkembang dan diperakui di persada antarabangsa.

"Jumlah kutipan pecah panggung makin meningkat. Daripada RM6 juta yang diperoleh filem Sembilu, sekarang ada filem yang berjaya membuat kutipan lebih RM30 juta," katanya.

Rosmin yakin dengan apa yang dicapai sekarang, industri muzik tempatan mampu merentas sempadan apabila ada antara penggiat seni semakin dikenali di luar negara seperti Indonesia, India, China dan Timur Tengah.

"Apa yang kami nampak, lagu nasyid kita juga ada potensi besar untuk tembusi pasaran dunia. Justeru, kami yakin, apabila PIMM ditubuhkan, ia akan menjadi pemangkin untuk industri muzik tanah air meluaskan pasaran.

"Misi RIM adalah memperbanyakkan lagi penguasaan artis tempatan di luar negara," katanya.

Mengulas lanjut penganjuran AIM ke-23, Rosmin berkata, acara itu akan dihidupkan selepas lima tahun tertangguh.

"Perancangan RIM tahun ini adalah mengembalikan AIM Ke-23 yang sudah lima tahun tertangguh. Kita sedia maklum AIM tidak dapat dianjurkan kerana tiada penaja.

"Untuk menganjurkan AIM memerlukan modal kira-kira RM2 juta. Kita mahu jaga kualiti dan jenama AIM yang menjadi tanda dagang sejak dahulu lagi.

"Kita tidak mahu AIM dianjurkan sekadar melepaskan batok di tangga kerana enggan menjatuhkan reputasi dibina AIM selama ini," katanya.

Sehubungan itu, Rosmin berkata, penganjuran AIM tidak akan berdepan masalah jika PIMM ditubuhkan.

"Kita memerlukan tempoh enam bulan untuk membuat persiapan termasuk dari segi mencari penaja dan promosi. Insya-Allah, kami sasar AIM dianjurkan pada suku ketiga tahun ini," katanya.

Antara objektif utama penubuhan PIMM adalah menjadi badan khusus merangka dan memastikan pembangunan industri muzik yang diselaraskan secara holistik dengan sinergi pelbagai pihak.

PIMM berfungsi sebagai pemudah cara dan memberi khidmat nasihat dalam membantu permasalahan, kebajikan dan

perlindungan hak pemain industri muzik agar ditangani secara kolektif dan harmoni.

Berita Harian X