Rabu, 12 Januari 2022 | 1:00pm
Rosyam bersama dua pekerja kedai alat pancuran air yang menaja misi bantuan banjir digerakkan.
Rosyam bersama dua pekerja kedai alat pancuran air yang menaja misi bantuan banjir digerakkan.

Impak watak King

KUALA LUMPUR: Penangan watak King, iaitu ketua sindiket pemerdagangan manusia yang dilakonkan dalam filem Hong Kong, G Storm, Datuk Rosyam Nor mendapat habuan 19 alat pancutan air atau 'water jet' yang diberi percuma untuk digunakan dalam misi membantu membersihkan kediaman mangsa banjir.

Menceritakan kejadian itu, Rosyam, 54, berkata, dia bertemu pembekal alat pancutan air yang bertanya apakah benar dirinya menjadi salah seorang pelakon filem G Storm arahan David Lam.

"Peniaga itu beritahu dia pernah membaca berita mengenai filem G Storm yang menampilkan saya sebagai satu-satunya pelakon dari Malaysia.

"Saya pada mulanya pergi ke kedainya untuk membeli 'water jet'. Selepas dia sedar saya berlakon dalam G Storm bersama Louis Koo, peniaga terbabit terus menawarkan saya 19 alat pancutan air secara percuma.

"Sebelum ini, sebaik muncul dalam filem India, Kabali bersama 'superstar', Rajinikanth, saya mula dikenali dalam kalangan peminat India.

"Apabila diberi kesempatan membintangi filem Hong Kong, saya dapati kaum Cina pula mula mengenali saya," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, berita kemunculan Rosyam sebagai satu-satunya pelakon dari Malaysia dalam filem Hong Kong, G Storm mendapat liputan meluas media tempatan, termasuk portal bukan bahasa melayu.

Rosyam bersama sukarelawan yang membantu mangsa banjir di Bukit Changgang.
Rosyam bersama sukarelawan yang membantu mangsa banjir di Bukit Changgang.

Berkongsi lanjut mengenai misi bantuan banjir yang dijayakan baru-baru ini, Rosyam berkata, dia menggerakkan 40 ahli melakukan kerja pembersihan di rumah mangsa banjir selepas sebak mendengar kisah mereka.

"Sebelum ini, apabila berlaku banjir di Pantai Timur seperti di Kelantan, saya tidak sempat pergi ke sana. Jadi, apabila berlaku bah di Kuala Lumpur dan Selangor, saya cuba bantu.

"Saya dapat tolong serba sedikit, saya rasa gembira. Sungguh menyayat hati terutama melawat lokasi bencana di Hulu Langat, Selangor.

"Saya dapati selepas banjir, ada kediaman diselaputi sisa kumbahan dan longkang. Rumah seorang mak cik yang kami kerap gunakan untuk penggambaran drama dan telefilem juga hanyut.

"Mak cik itu akur, Allah sudah ambil segala-galanya, betapa mak cik itu reda," katanya.

Rosyam berkata, musibah banjir membuktikan bahawa rakyat sanggup berganding bahu membantu satu sama lain tanpa memilih kaum atau sebagainya.

"Semua rakyat Malaysia prihatin dengan bencana banjir. Itu kekuatan kita. Jika negara luar ada masalah pun, rakyat negara ini membantu misalnya kepada rakyat Palestin dan Syria," katanya.

Misi membantu mangsa banjir yang digerakkan Rosyam di Taman Sri Muda dan Bukit Changgang disertai rakan artis seperti Datin Seri Nina Juren, Datuk Fizz Fairuz dan Betty Banafe.

Usaha amal itu turut disokong St Rosyam Mart dan pertubuhan Ikhlas.com.

Berita Harian X