Jumaat, 7 Januari 2022 | 11:36pm
Shuib enggan mempedulikan apa yang orang akan bercakap mengenainya atau mempertikaikan tindakannya yang terlalu cepat ‘move on’, sedangkan kubur arwah isteri masih merah. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Shuib enggan mempedulikan apa yang orang akan bercakap mengenainya atau mempertikaikan tindakannya yang terlalu cepat ‘move on’, sedangkan kubur arwah isteri masih merah. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Shuib sedang mengenali seseorang

KUALA LUMPUR: Pelawak popular, Shuib Sepahtu, 37, mengakui sedang mengenali seseorang, namun, hubungan belum tahap serius.

Baginya, soal jodoh diserahkan kepada urusan Allah. Namun, enggan membuang masa, memandangkan usia bukan muda lagi.

Bagaimanapun, Shuib berkata, dia bimbang orang luar meletakkan jangkaan tinggi terhadap wanita yang bakal menjadi calon isterinya, selain membandingkan dengan arwah isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

"Saya takut wujud perbandingan yang sepatutnya tidak berlaku kerana arwah duduk dalam kelas yang tersendiri dan teratas. Orang baharu pula adalah buku baharu yang tidak boleh dibuat sebagai perbandingan.

"Jujurnya, saya sedang mengenali seseorang, namun, setakat kawan-kawan sahaja, hubungan tidak serius. Kali ini, perhubungan berbeza kerana saya bukan orang bujang yang tidak perlu fikir banyak perkara.

"Saya kini berstatus duda anak empat, jadi saya tidak mahu membuang masa. Saya lebih suka bersikap 'straight to the point' jika kalau jumpa calon sesuai.

"Tetapi, jika tidak sesuai, kena cepat-cepat cari yang sesuai. Banyak benda besar berlaku dalam hidup membuatkan saya semakin matang. Sekiranya wanita ini ingin mengenali saya, saya terpaksa gerak dahulu kerana tidak mahu membuang masa," katanya kepada BH Online.

Shuib ditemui pada majlis pelancaran tudung Loveta X Anzalna di ibu kota, hari ini.

Mengakui ibunya sudah memberikan lampu hijau, Shuib berkata, ibunya turut menyarankan agar mula membuka hatinya untuk mengenali mana-mana wanita.

"Bagaimanapun, masa saya banyak dihabiskan dengan anak-anak, jadi, agar sukar berbuat demikian.

"Mungkin ibu faham keadaan anak-anak saya yang biasa ada ibu dan berkasih sayang, jadi, menyarankan saya membuka pintu hati mencari pengganti.

"Tetapi, saya terfikir adakah wanita sudi terima saya yang ada empat cahaya mata?

"Apa pun, restu ibu, mentua, keluarga dan anak-anak menjadi keutamaan saya. Jika saya sahaja okay, tetapi keluarga tidak bersetuju, saya tidak akan teruskan," katanya.

Shuib terfikir adakah ada wanita yang sudi menerimanya, lebih lagi, statusnya duda kepada empat cahaya mata yang masih kecil. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Shuib terfikir adakah ada wanita yang sudi menerimanya, lebih lagi, statusnya duda kepada empat cahaya mata yang masih kecil. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Sementara itu, Shuib berkata, dia tidak akan mempedulikan apa yang orang akan bercakap mengenai dirinya atau mempertikaikan tindakannya yang terlalu cepat 'move on', sedangkan kubur arwah isteri masih merah.

Katanya, dia tidak perlu memikirkan cakap-cakap orang kerana hanya dia dan keluarga tahu penderitaan terpaksa dilalui sepanjang lima bulan pemergian arwah isterinya.

"Saya sebenarnya sudah tidak mahu memikirkan apa yang orang cakap mengenai saya. Soal kecaman lantaklah, asalkan saya tidak kacau hidup orang.

"Saya yang menanggungnya, jadi saya tidak perlu pun mendengar pendapat orang. Saya tahu jika saya sibuk mencari jodoh, mesti orang akan kata dulu beriya-beriya sangat sedih, tetapi baru lima bulan arwah isteri pergi sudah sibuk hendak mencari pengganti.

"Tetapi, ada pula yang berpandangan berbeza. Ada yang kata apa saya hendak buat seorang diri?

"Jika saya mengalami kemurungan siapa yang hendak tanggung? Cukuplah, saya hanya perlu dengar kata ibu, ibu bapa mentua dan keluarga kerana mereka sentiasa ada di sisi saya.

"Jika saya menangis dan tertonggeng sendirian di rumah, bukannya orang luar ambil tahu dan bertanya keadaan saya okay atau tidak," katanya.

Shuib kehilangan arwah Siti Sarah pada 9 Ogos lalu akibat COVID-19 selepas melahirkan anak keempat, Ayash Affan.

Hasil perkahwinan bersama arwah Siti Sarah, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini berusia lima bulan.

Berita Harian X