Jumaat, 7 Januari 2022 | 8:30am
Ahmad Idham masih menunggu MyDocs membentangkan kandungan karya terbaik yang dihasilkan penggiat seni tempatan sebelum menganjurkan festival di 107 pejabat kedutaan luar negara. - Foto IG Ahmad Idham Ahmad Nadzri
Ahmad Idham masih menunggu MyDocs membentangkan kandungan karya terbaik yang dihasilkan penggiat seni tempatan sebelum menganjurkan festival di 107 pejabat kedutaan luar negara. - Foto IG Ahmad Idham Ahmad Nadzri

Tayang dokumentari, filem pendek di 107 kedutaan luar negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri dalam perancangan menganjurkan festival dokumentari dan filem pendek di 107 pejabat kedutaan di luar negara sebagai usaha memperbaiki hubungan dua hala, di samping memperkasakan karya, muzik dan budaya tempatan ke peringkat global.

Seperti Jepun, Korea Selatan, Perancis dan banyak negara lain, Malaysia mahu mengikut jejak langkah sama untuk mempertontonkan dokumentari dan filem pendek terbaik yang pernah dihasilkan penggiat seni tempatan.

Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar Negeri, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata penganjuran festival itu disasarkan pada separuh masa pertama, tahun ini.

Katanya, pejabat kedutaan di luar negara adalah platform paling mudah dan cepat dalam memperkasakan dan mempromosikan karya, muzik dan budaya tempatan.

"Kita mempunyai 107 pejabat kedutaan di luar negara, jadi rugi sekiranya tidak dimanfaatkan sebaiknya. Inilah masanya menggunakan kedutaan bagi mempromosikan produk terbaik yang pernah kita hasilkan untuk tonton orang luar.

"Jika melihat pejabat kedutaan di Jepun, Korea Selatan, Perancis dan sebagainya yang berada di Malaysia, mereka kerap menganjurkan festival dokumentari atau filem pendek.

"Mereka sering mengundang kita menyertai acara ini. Sebenarnya, itu adalah usaha memperkenalkan budaya mereka kepada kita. Ia secara tidak langsung memberikan idea kepada saya melakukan perkara sama. Bagi saya, sia-sia jika tidak menggunakan peluang yang ada kerana kita sudah memiliki platform.

"Jadi, kenapa tidak digunakan platform yang ada dengan sebaiknya. Sebelum ini, memang tiada inisiatif seperti ini diambil," katanya kepada BH Online.

Ahmad Idham percaya, pejabat kedutaan di luar negara adalah platform paling mudah dan cepat dalam memperkasakan dan mempromosikan karya, muzik serta budaya tempatan. - Foto IG Ahmad Idham Ahmad Nadzri
Ahmad Idham percaya, pejabat kedutaan di luar negara adalah platform paling mudah dan cepat dalam memperkasakan dan mempromosikan karya, muzik serta budaya tempatan. - Foto IG Ahmad Idham Ahmad Nadzri

Bakal terbang ke China, Turki dan Korea untuk tujuan berkenaan, Ahmad Idham berkata, Kementerian Luar Negeri bersedia bergerak dan tidak mahu menangguhkan lagi hasrat itu.

Mengulas lanjut mengenai festival dokumentari dan filem pendek, katanya, pihaknya masih menunggu pembentangan kandungan daripada dua persatuan, Persatuan Dokumentari Malaysia (MyDocs) dan Pertubuhan Kandungan Kreatif Digital Malaysia (DCAM).

"Kami sedang menantikan MyDocs dan DCAM membentangkan karya yang ada. Kita akan kumpul antara 10 hingga 20 karya, kemudiannya barulah segala perancangan untuk festival boleh dilaksanakan.

"Kita memilih dokumentari dan filem pendek kerana bahan-bahannya sudah sedia ada. Jika mahu menunggu filem dihasilkan melalui dana kenegaraan, kita tidak tahu bila filem dapat siap.

"Jadi, cara paling cepat dengan menggunakan bahan sedia ada, lagipun ia belum pernah ditayangkan di luar negara.

Bagaimanapun, karya yang dihasilkan perlu mencapai standard luar negara, jadi bolehlah kedutaan memainkan peranan mempromosikan kepada penduduk setempat," katanya.

Sebelum ini, kata Ahmad Idham, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pernah mengambil inisiatif menganjurkan Festival Filem Malaysia (FFM) di luar negara seperti London dan Australia, namun ia hanya dihadiri rakyat Malaysia yang tinggal di sana.

"Dahulu, FINAS memang ada inisiatif menganjurkan FFM di luar negara, tetapi yang hadir hanyalah orang Malaysia. Namun, inisiatif kali ini yang dicetuskan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah agak berbeza kerana kita akan bekerjasama dengan pejabat kedutaan di luar negara.

"Ia adalah salah satu usaha terbaik dalam memperkukuhkan hubungan dua hala dengan cara mempromosikan budaya Malaysia," katanya.

Ahmad Idham melakukan perbincangan bersama wakil DCAM untuk melaksanakan festival dokumentari dan filem pendek. - Foto IG Ahmad Idham Ahmad Nadzri
Ahmad Idham melakukan perbincangan bersama wakil DCAM untuk melaksanakan festival dokumentari dan filem pendek. - Foto IG Ahmad Idham Ahmad Nadzri

Ahmad Idham berkata, dia melihat perkara seumpama ini tidak berlaku dalam Kementerian Luar Negeri ketika masih bersama FINAS.

"Jadi, sementara masih dipertanggungjawabkan sebagai Setiausaha Kebudayaan, saya merasakan ia sesuatu yang tidak patut disia-sia jika tidak menggunakan peluang ini. Lagipun, MyDocs dan DCAM juga tahu agenda saya ketika bertugas di FINAS, jadi mereka datang dan melahirkan hasrat menjalinkan kerjasama ini.

"Selepas ini, kami akan bantu FINAS untuk mempromosikan filem cereka di luar negara dengan menggunakan bajet yang ada," katanya.

Berita Harian X