Rabu, 5 Januari 2022 | 1:00pm
Ops BAHIS disertai Annuar dalam fokus membersihkan rumah, selain agih sumbangan kepada mangsa banjir sekitar Kampung Bukit Changgang, Hulu Langat. - Foto Ihsan FINAS
Ops BAHIS disertai Annuar dalam fokus membersihkan rumah, selain agih sumbangan kepada mangsa banjir sekitar Kampung Bukit Changgang, Hulu Langat. - Foto Ihsan FINAS

Ops BAHIS bantu mangsa banjir di Kuala Langat

KUALA LUMPUR: Musibah banjir yang melanda daerah Hulu Langat, Selangor bukan sahaja memberi kesan emosi kepada mangsa, malah, meninggalkan kekotoran seperti sampah sarap dan lumpur tebal di setiap kediaman sehingga mengambil masa yang lama untuk dibersihkan.

Hati menjadi runtun tatkala melihat situasi persekitaran tidak ubah seperti dilanda tsunami dan keadaan rumah mangsa tidak terurus seperti dalam paparan media.

Justeru, dengan niat membantu meringankan beban dan mahu mangsa bencana kembali menjalani kehidupan normal, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengadakan Ops Bantu Hingga Selesai (Ops BAHIS) pasca banjir selama lima hari bermula Rabu lalu.

Berkongsi pengalaman dan bantuan diberikan menerusi Ops BAHIS, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, berkata pihaknya memfokuskan usaha membersihkan rumah mangsa, selain memberi sokongan dari aspek mental.

"Ops BAHIS dicetuskan oleh Menteri KKMM, Tan Sri Annuar Musa yang bertujuan membantu mangsa banjir yang terkesan teruk akibat musibah banjir. Selain FINAS, ada beberapa agensi lain di bawah KKMM turut menyertai Ops BAHIS bermula 29 Disember lalu.

"Lokasi tumpuan di Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat. Bersesuaian dengan nama Ops BAHIS, FINAS dan sukarelawan membersihkan kediaman mangsa banjir hingga keadaannya sama seperti sebelum dilanda banjir.

"Ops BAHIS bukan sahaja membantu kerja pembersihan, tetapi memberi semangat, sokongan moral dan penawar terhadap tekanan dialami ekoran musibah ini," katanya kepada BH Online.

Turut serta turun padang menjayakan Ops BAHIS adalah Annuar dan Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Selain KKMM, Md Nasir berkata, lokasi berkenaan turut menjadi 'kawasan angkat' kepada tiga lagi kementerian iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Md Nasir turun padang melakukan kerja pembersihan kediaman mangsa banjir di Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat. - Foto Ihsan FINAS
Md Nasir turun padang melakukan kerja pembersihan kediaman mangsa banjir di Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat. - Foto Ihsan FINAS

Saat menjejakkan kaki ke perkampungan itu, Md Nasir mengakui, nalurinya tersentuh melihat wajah sugul penduduk kampung yang masih trauma dengan tragedi itu.

"Ketika kami sampai di penempatan berkenaan, rata-rata penduduk masih bersedih apabila kediaman musnah dalam sekelip mata.

"Ada rumah tiada satu barang dapat diselamatkan, semuanya musnah. Lebih memilukan, mesin dialisis milik salah penduduk rosak akibat banjir.

"Sebaik sahaja nampak pasukan kami datang menziarah, mereka terharu dan bersyukur masih ada pihak yang peduli nasib menimpa mereka," ujarnya.

Memahami kesukaran perlu dihadapi mangsa akibat tragedi itu, Md Nasir memaklumkan, bantuan dari aspek fizikal turut disalurkan bagi meringankan penderitaan mereka.

"Setiap agensi di bawah KKMM mengeluarkan peruntukan menjayakan misi amal ini. Malah, FINAS turut mengambil inisiatif mencari penaja sebagai usaha membantu mangsa banjir yang tidak bernasib baik ini.

"Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada penaja membantu dari segi wang ringgit dan sudi menghulurkan barangan keperluan harian serta peralatan elektrik bagi menggantikan barangan yang sudah rosak.

"Antara barangan diberikan termasuklah bantal, tilam, kipas, periuk nasi elektrik dan wang tunai. Dengan bantuan ini, FINAS berharap beban terpikul di bahu mangsa menjadi lebih ringan dan dapat kembali menjalani hidup normal seperti sebelum ini," ungkapnya.

Mengulas adakah FINAS mempunyai perancangan meluaskan program Ops BAHIS ke lokasi ataupun negeri lain seperti Pahang, Johor dan Kelantan yang turut dilanda banjir, Md Nasir berkata, perkara itu masih belum diputuskan lagi.

"Buat masa ini, Ops BAHIS sudah selesai. Bagaimanapun, kami tetap bersedia jika ada keperluan membawa misi amal ini ke lokasi lain di Selangor. Kalau negeri lain, kena tengok dahulu bagaimana situasi," kata Md Nasir.

Ops BAHIS menyasarkan 300 rumah sepanjang program lima hari. Operasi membabitkan seramai 680 sukarelawan, iaitu 550 kakitangan KKMM, manakala selebihnya sukarelawan rakan strategik seperti Rumah Prihatin, YTL dan Celcom.

Berita Harian X