Isnin, 3 Januari 2022 | 3:00pm
12 lagu dipertandingkan memiliki keunikan melodi tersendiri, namun, lagu paling menyerlah dari sudut melodi, lirik dan cantuman vokal penyanyi menjadi penentu layak ke pentas AJL36. - Foto Ihsan TV3
12 lagu dipertandingkan memiliki keunikan melodi tersendiri, namun, lagu paling menyerlah dari sudut melodi, lirik dan cantuman vokal penyanyi menjadi penentu layak ke pentas AJL36. - Foto Ihsan TV3

Populariti penyanyi, lagu tak pengaruhi markah

KUALA LUMPUR: Dominasi 17 lagu bergenre balada daripada 30 lagu dipertandingkan pada peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 36 (SFMM36) menyebabkan juri terpaksa membuat penilaian teliti bagi menentukan lagu yang layak mara ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36.

Sebanyak 12 lagu bakal berentap ke pentas AJL36 diumumkan dari Studio 1, Glenmarie, Shah Alam, Selangor, kelmarin.

Ketua Juri, Datuk Mokhzani Ismail, berkata 30 lagu dipertandingkan memiliki keunikan melodi tersendiri. Namun, lagu paling menyerlah dari sudut melodi, lirik dan cantuman vokal penyanyi menjadi penentu siapa layak ke pentas AJL36.

Katanya, populariti penyanyi dan lagu tidak mempengaruhi markah diberikan juri profesional.

Sebaliknya, juri yang terdiri daripada Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Helen Yap, LY, Chaan dan Altimet membuat penilaian berdasarkan kupasan struktur melodi, lirik dan penilaian vokal penyanyi daripada album serta persembahan live mereka.

"Sebelum ini, AJL mempunyai kategori bagi setiap genre, tetapi kini semua lagu dicantumkan tanpa sebarang kategori. Jadi, agak berat buat juri buat pilihan.

"Tambahan, daripada 30 lagu bertanding, 17 daripadanya adalah lagu berentak balada.

"Oleh itu, kami perlu membuat penilaian lebih teliti bagi memastikan lagu yang layak mendapat peluang. Kami mahu memberikan peluang kepada semua genre lagu agar berlaku keadilan," katanya.

Apa yang lebih penting, katanya, lagu dipilih perlu berkualiti dan mempunyai impak dalam industri muzik Malaysia.

"Bagaimanapun, bukan bermakna lagu yang tidak terpilih kurang bagus, tetapi terpaksa diakui ada lagu lebih bagus dan menyerlah.

"Keputusan juri tidak dipengaruhi populariti lagu. Kita tahu lagu yang menjadi runut bunyi filem dan drama sering mendapat tontonan tinggi di YouTube, tetapi ia tidak akan mempengaruhi keputusan juri," katanya pada sidang media secara virtual yang diadakan sejurus episod dua SFMM36 selesai.

Mokhzani turut mengulas populariti penyanyi tidak menjamin kemenangan sesebuah lagu, seperti Tanpa Rela dendangan dan ciptaan Misha Omar bersama Sze Wan.

Beliau tidak menolak Tanpa Rela memang sedap didengar, namun mendengar, mengulas dan menganalisis adalah perkara berbeza.

"Lagu Tanpa Rela sedap didengar kerana suara Misha dan artis terkenal. Bagaimanapun, struktur lagu berkenaan kedengaran sama dengan lagu balada lain.

"Berbeza Cinta dendangan Marsha Milan Londoh, lagu ini memiliki kelainan. Barisan juri kagum mendengar keunikan lagu ciptaan Bunga Cantik dan Hang Nadim, manakala lirik Hang Nadim itu.

"Oleh kerana terlalu banyak lagu balada dipertandingkan, juri tidak boleh memberikan ruang kepada semua.

"Tanpa Rela masih belum mampu bersaing dengan lagu yang dirasakan boleh diangkat sebagai Juara Lagu AJL36. Ini adalah percubaan pertama Misha, tetapi tidak nafikan, dia berbakat sebagai komposer dan mempunyai peluang lebih luas pada masa hadapan," kata Mokhzani.

Mokhzani menyifatkan populariti penyanyi dan lagu tidak mempengaruhi markah, sebaliknya, penilaian dibuat berdasarkan kupasan struktur melodi, lirik dan penilaian vokal penyanyi daripada album serta persembahan live. - Foto Ihsan TV3
Mokhzani menyifatkan populariti penyanyi dan lagu tidak mempengaruhi markah, sebaliknya, penilaian dibuat berdasarkan kupasan struktur melodi, lirik dan penilaian vokal penyanyi daripada album serta persembahan live. - Foto Ihsan TV3

Sementara itu, Mokhzani turut mengulas pemilihan Nafas Cinta nyanyian Aina Abdul bersama Khai Bahar dan Mimpi nyanyian Haqiem Rusli.

Katanya, pencipta dua-dua lagu itu bijak mengupas melodi yang turut mencantumkan unsur harmoni menjadikannya berkualiti dan menarik.

"Sekiranya Mimpi dan Nafas Cinta berjalan dalam keadaan biasa, tentu kita tidak merasakan perbezaan dengan lagu lain. Tetapi, pencipta pandai mengupas lagu balada dengan persembahan harmoni yang menjadikan kedua-duanya istimewa.

"Selain itu, pemilihan dibuat berdasarkan 'trend', tetapi masih mengekalkan kualiti sesebuah lagu Salahku nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Yonnyboii.

"Mungkin ada mempersoalkan di manakah melodi lagu ini? Jika lagu ini tiada melodi, tentu pemain saksofon tidak boleh memainkan lagu berkenaan," katanya.

Mokhzani tidak menafikan kemampuan Kugiran Masdo dan Floor 88, mereka antara kumpulan disukai ramai.

"Menyentuh soalan pertandingan, kami melihat kelebihan kumpulan SOG kerana berjaya memberikan persembahan menarik dengan gabungan penyanyi solo.

"Yonnyboii dan SOG adalah trend yang diangkat untuk lagu moden, tetapi berkualiti.

"Kami menilai lagu Chikadun dan Hutang lebih kurang perjalanannya, namun kita faham itu adalah 'trademark' Floor 88, tetapi harus memilih lagu menyerlah," katanya.

Diminta mengulas pemilihan lagu Intan Payung dendangan Noraniza Idris dan Bunga Isme ciptaan Luca Sickta, Bunga & Amzar Razqa, manakala lirik oleh Bunga dan Siqma yang mungkin mengalami nasib sama seperti 7 Nasihat nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta yang tewas pada AJL35 kerana dikatakan mencedok lagu rakyat.

Mokhzani menjelaskan, lagu Intan Payung tiada cacat cela. Bagaimanapun, lagu 7 Nasihat tidak terpilih kerana ada lagu dirasakan lebih baik, bukan disebabkan meniru lagu rakyat.

"Mereka tidak meniru, hanya mengambil inspirasi dan struktur lagu sahaja. Saya yakin setiap komposer ada inspirasi tersendiri. Bagi saya, apa yang dilakukan komposer Intan Payung membawa lagu rakyat ke peringkat lebih tinggi dengan memasukkan unsur hip hop adalah terbaik dan berjaya memikat juri," katanya.

Berita Harian X