Ahad, 2 Januari 2022 | 1:00pm
Sharul terpikat dengan sikap Raihan yang sangat istimewa dan mampu menambat hatinya tanpa tergesa-gesa. - Foto Sharul Kamal
Sharul terpikat dengan sikap Raihan yang sangat istimewa dan mampu menambat hatinya tanpa tergesa-gesa. - Foto Sharul Kamal

Sharul pilih PR Rusa Music sebagai isteri

KUALA LUMPUR: Penyanyi Sharul Kamal, 26, kini sah bergelar suami kepada pegawai perhubungan awam Rusa Music, Raihan Amilin, 26, apabila melangsungkan perkahwinan, semalam.

Dengan sekali lafaz, bekas finalis Akademi Fantasia 2015 itu melangsungkan majlis pernikahan di Masjid Kota Raja, Klang, Selangor, kira-kira jam jam 3.30 petang, sebelum mengadakan majlis resepsi di Klang, sebelah malam.

Sharul atau nama sebenarnya, Muhammad Sharul Amin Kamarozaman menyerahkan mas kahwin sebanyak RM1122 sebagai simbolik tarikh 1 Januari 2022 dan membalas dulang hantaran dengan jumlah sama iaitu 11. Bagaimanapun wang hantaran dirahsiakan.

"Banyak pertemuan berlaku secara kebetulan sepanjang perkenalan saya dan isteri. Kali pertama, kami bertentang mata ketika stesen radio Hot FM menganjurkan Hot FM Jam di Pulau Pinang pada Disember 2019.

"Isteri masa baru bekerja sebagai pegawai perhubungan awam. Ketika itu, Raihan perlu mengurus dan menjaga kumpulan Drama Band, saya pula menjadi kru kumpulan itu.

"Ia bermula apabila vokalis Drama Band, Aepul Roza meminta saya menjemput Raihan, kami bergerak ke Pulau Pinang dalam satu kereta.

"Dalam perjalanan itulah saya berpeluang berkenalan dengannya. Masa itu, hanya saya, Raihan dan Aepul sahaja dalam kereta, manakala anggota lain bergerak berasingan," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, pada awal perkenalan, penyanyi di bawah pengurusan, Rhythm and Rhyme Entertainment (RNR) milik Akim Ahmad dan Stacy itu mengakui, dia tidak terlintas membawa hubungan lebih serius.

Namun, katanya, dia berasakan Raihan sangat istimewa dan mampu menambat hatinya tanpa tergesa-gesa.

"Saya berkesempatan menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah dan kembali ke tanah air sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada tahun lalu.

"Doa saya barangkali dimakbulkan kerana saya minta jika dia (Raihan) jodoh, maka permudahkanlah.

"Selepas pertemuan di Pulau Pinang, kami kemudian bertemu semula pada 2020 dalam sebuah program. Ketika itu, saya menjadi kru untuk Akim, Raihan pula menguruskan Ariff Bahran.

"Kemuncak perkenalan pada Jun 2020 ketika saya menyertai satu pertandingan di Astro. Isteri pula menjaga kumpulan Floor 88. Kami berkesempatan berbual lama selepas program, di situlah perasaan cinta mekar secara semula jadi dan mula serius," katanya.

Pertemuan pertama Sharul dan Raihan apabila vokalis Drama Band, Aepul Roza memintanya menjemput isterinya itu untuk bergerak bersama menaiki satu kereta ke Pulau Pinang. - Foto Sharul Kamal
Pertemuan pertama Sharul dan Raihan apabila vokalis Drama Band, Aepul Roza memintanya menjemput isterinya itu untuk bergerak bersama menaiki satu kereta ke Pulau Pinang. - Foto Sharul Kamal

Tahun lalu, menjadi detik indah bagi penyanyi lagu Maaf apabila membawa hubungan mereka ke arah lebih istimewa.

"Ia bermula majlis merisik pada 27 April, tahun lalu. Seterusnya, kami bertunang pada 3 Disember lalu dan memilih 1 Januari sebagai hari bersejarah.

"Asalnya, kami mahu mengadakan majlis secara kecil-kecilan sahaja. Saya pun tidak berharta, tetapi keluarga isteri mahu mengadakan majlis resepsi.

"Lokasi majlis nikah dan resepsi memang diadakan di Klang kerana keluarga isteri tinggal di sana," katanya.

Kata Sharul lagi, dia jatuh hati dengan sikap teratur dimiliki isterinya.

"Lagipun, isteri bekerja dalam bidang sama yang membabitkan artis, jadi amat memahami.

"Kami belum merancang mahu berbulan madu. Setakat ini, bulan madu kami di rumah kerana sibuk berpindah ke Puchong. Jadi, kami sibuk mengemas rumah," katanya.

Berita Harian X