Sabtu, 1 Januari 2022 | 1:10pm
Heliza sah menjadi isteri Mahadi dengan sekali lafaz pada majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, jam 11.11 pagi ini. - Foto Ihsan Aqo Imran
Heliza sah menjadi isteri Mahadi dengan sekali lafaz pada majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, jam 11.11 pagi ini. - Foto Ihsan Aqo Imran

Heliza sah isteri jutawan

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang juga aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi, 36, kini bergelar isteri ahli perniagaan dipercayai jutawan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman pada majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, jam 11.11 pagi ini.

Heliza sah menjadi isteri Mahadi dengan sekali lafaz menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin dan senaskhah al-Quran.

Berita perkahwinan Heliza dan Mahadi dikongsi oleh perunding perkahwinan, Fizz dari BenSignatures Event Wedding Planner.

"Butiran selanjutnya belum diperoleh kerana pasangan pengantin masih diraikan atas pelamin.

"Heliza ada memaklumkan akan berkongsi berita perkahwinannya ini," kata Fizz ketika dihubungi BH Online.

Usai nikah, pasangan pengantin diraikan bersama ahli keluarga dan kenalan terdekat di Lanai Asmara, Putrajaya.

Malam esok, Heliza dan suaminya akan diraikan di sebuah hotel terkemuka.

Heliza mengakui berdebar-debar sebelum acara akad nikah dijalankan. - Foto Ihsan Aqo Imran
Heliza mengakui berdebar-debar sebelum acara akad nikah dijalankan. - Foto Ihsan Aqo Imran

Menerusi hantaran video menerusi Instagram Story, jurufoto Aqo Imran, Heliza mengakui berdebar sebelum acara akad nikah dijalankan.

"Berdebar-debar. Perasaannya nak semua orang doakan yang terbaik," katanya ringkas.

Difahamkan, suami Heliza adala pengasas dan Presiden AUF MBZ Concortium iaitu syarikat yang menawarkan perkhidmatan pelaburan kewangan.

Terdahulu, Heliza atau nama sebenarnya, Nur Heliza Helmi mengakui, tidak pernah tertekan saat disoal mengenai jodoh.

"Keutamaan saya kepada keluarga dan misi kemanusiaan yang dilakukan.

"Saya bersyukur ibu bapa tidak memberi sebarang tekanan mengenai soal jodoh," katanya.

Berita Harian X