Khamis, 30 Disember 2021 | 6:30pm
Anna dan Dafi sedangkan membersihkan kotoran dan lumpur ketika misi bantuan banjir di Hulu Langat. - Foto IG Anna Jobling
Anna dan Dafi sedangkan membersihkan kotoran dan lumpur ketika misi bantuan banjir di Hulu Langat. - Foto IG Anna Jobling

Anna tak kisah 'comot', berlumpur

KUALA LUMPUR: Pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Anna Jobling tidak mempedulikan penampilan diri, sebaliknya sanggup meredah lumpur tebal bagi membantu penduduk sekitar Hulu Langat yang terjejas teruk akibat musibah banjir.

Berada di Kampung Jawa, Batu 18 bersama beberapa selebriti seperti Aman Aziz, Dafi, Amirul Asyhwad dan Datin Nina Juren, Anna berkongsi, tidak dapat melupakan pengalaman berharganya itu.

Pelakon drama Shah Alam 40000 itu melihat sendiri kemusnahan dan menyifatkan kawasan banjir yang dilihat depan mata lebih menyedihkan daripada perkongsian dalam media sosial.

"Hati sayu setiap kali melihat kejadian banjir dalam media sosial. Apabila berpeluang turun padang dan meninjau sendiri ke kawasan bencana hati tambah tersentuh lagi.

"Jujurnya, saya bertuah dapat mencurahkan tenaga dengan membantu mengagihkan bantuan makanan dan barang keperluan seperti tilam, tuala wanita dan banyak lagi kepada mangsa banjir.

"Selain itu, kami membantu membersihkan rumah mangsa yang ditenggelami banjir. Namun, tidak banyak yang dapat dilakukan.

"Ini kerana masa yang diperuntukkan dari pagi hingga petang sebenarnya tidak mencukupi. Tetapi, saya puas dapat melihat mangsa mengukir senyuman pada saat bantuan dihulurkan," katanya kepada BH Online.

Anna menyifatkan kawasan banjir yang dilihat depan mata lebih menyedihkan daripada perkongsian dalam media sosial. - Foto IG Anna Jobling
Anna menyifatkan kawasan banjir yang dilihat depan mata lebih menyedihkan daripada perkongsian dalam media sosial. - Foto IG Anna Jobling

Melihat mangsa banjir masih mampu tersenyum dan bersikap positif biarpun ditimpa musibah membuatkan Anna kagum dan terharu.

"Apabila ditanya apa yang membuatkan masih mampu mengukir senyuman, mereka jawab takkan selama-lamanya hendak bersedih. Lagipun, perkara sudah berlaku.

"Melihat semangat positif secara tidak langsung memberikan inspirasi buat saya," katanya.

Selain gembira dapat membantu mangsa banjir, Anna berkesempatan memberi makanan kepada kucing yang terselamat daripada musibah banjir.

Sebagai pencinta haiwan, Anna berkata, dia amat sedih melihat bulu kucing dipenuhi lumpur.

Mengulas adakah akan terus menyertai misi bantuan banjir dalam masa terdekat, Anna berkata, dia tidak dapat berbuat demikian kerana bakal sibuk dengan kerjaya lakonan.

"Untuk masa terdekat rasanya tidak dapat kerana saya akan kembali sibuk dengan penggambaran.

"Tetapi, jika ada masa, saya akan mengajak rakan-rakan lain untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir," katanya.

Berita Harian X