Khamis, 30 Disember 2021 | 1:00pm
Zynakal dipilih sebagai penerima kategori Komposer Muda Berpotensi dalam Anugerah MACP 2021. - NSTP/Owee Ah Chun
Zynakal dipilih sebagai penerima kategori Komposer Muda Berpotensi dalam Anugerah MACP 2021. - NSTP/Owee Ah Chun

Platform digital jadi penyelamat industri muzik

KUALA LUMPUR: Penggunaan platform digital secara meluas dilihat menjadi penyelamat kepada industri muzik yang lumpuh akibat penularan pandemik COVID-19, sejak dua tahun lalu.

Bukan sahaja mengakibatkan banyak aktiviti muzik seperti konsert, persembahan terbuka, majlis korporat, perkahwinan termasuk pusat karaoke tidak dapat beroperasi, malah, turut menjejaskan kutipan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).

Pengerusi MACP, Datuk M Nasir berkata, ahli yang berdaftar dengan badan itu harus merebut peluang mengetengahkan karya menerusi platform digital seperti peluang digunakan komposer dan penyanyi rap kontroversi, Namewhee.

Katanya, biarpun lagunya tidak diputarkan di corong radio tempatan, namun, Namewhee menghasilkan karya hingga mampu dipilih sebagai penerima Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi dan Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi pada Anugerah MACP 2021.

"Memang lagu-lagunya tidak dimainkan di corong radio, tetapi karyanya kuat dalam media sosial. Begitu juga dengan lagu I Am Me ciptaan Edry Abdul Halim nyanyian Datuk Seri Vida.

"Kita tidak tahu apa strategi mereka dan berapa banyak yang dilaburkan untuk lagu dimainkan di platform digital, tetapi berdasarkan royalti dikutip, lagu I Am Me mendapat sambutan di pusat karaoke sehingga berjaya muncul Lagu Inggeris Dengan Dendangan Terbanyak.

"Walaupun keadaan ini boleh memberikan tekanan kepada pengkarya yang serius menghasilkan lagu, tetapi terpaksa akur kerana ini adalah cabaran dan peredaran dunia muzik semasa.

"Pendengar sekarang membeli budaya dan gaya hidup seperti aplikasi TikTok dan ia berlaku di seluruh dunia," katanya kepada BH Online.

M Nasir ditemui sejurus selesai Anugerah MACP 2021 yang berlangsung dalam norma baharu di ibu kota, kelmarin.

Oleh itu, kata M Nasir, penggiat muzik harus bersedia melakukan perubahan dan perlu menyesuaikan diri dengan budaya baharu industri muzik sekiranya tidak mahu ketinggalan.

Bagaimanapun, katanya, komposer lama sepertinya yang bergantung kepada kaedah konvensional sudah mula merasakan kesan apabila pendapatan tahunan royalti mula terjejas.

"Jika tanya, saya tiada jawapan sampai bila akan berada dalam keadaan ini. Mungkin perlu tunggu antara dua hingga tiga tahun lagi.

"Bukan karyawan Malaysia sahaja berdepan kesukaran, malah, komposer seluruh dunia turut merungut apabila album tidak boleh dijual sehingga ada yang terpaksa memberikan album percuma kepada peminat.

"Kalau melihat keadaan sekarang, imej penyanyi juga sudah berbeza. Dahulu, peminat suka lagu tanpa perlu melihat kepada siapa penyanyi. Namun, sekarang penyanyi perlu menjadi daya tarikan," katanya.

M Nasir akui komposer lama sepertinya sudah mula merasakan kesan apabila pendapatan tahunan royalti mula terjejas. - Foto IG MACP
M Nasir akui komposer lama sepertinya sudah mula merasakan kesan apabila pendapatan tahunan royalti mula terjejas. - Foto IG MACP

M Nasir berkata, keadaan mula berubah selepas video muzik diperkenalkan.

"Dahulu, pendengar suka sesebuah lagu kerana sedap didengar, tetapi sekarang, penerbit terpaksa menarik perhatian peminat dengan mengeluarkan video muzik berbajet tinggi.

"Sebab itu saya katakan penyanyi sekarang menjual imej dan personaliti," katanya.

Sementara itu, mengulas isu pengusaha produk yang berlumba-lumba ingin bergelar penyanyi, M Nasir berkata, ia juga sebahagian daripada peredaran zaman.

Bagaimanapun, katanya, sedikit sebanyak ia tetap memberi kesan kepada industri muzik terutama kepada karyawan yang serius menghasilkan lagu. Tambahan pula, industri muzik tempatan tidak sebesar mana.

Namun, komposer dan penyanyi jolokan Sifu itu lega dengan kelahiran komposer generasi muda bergelar Budak Baru Nak Up (BBNU) kerana banyak membantu menggerakkan industri muzik mengikut arus semasa.

"Saya gembira apabila melihat komposer muda yang konsisten menghasilkan lagu seperti Ezra Kong, Zynakal dan beberapa nama lagi. Mereka berjaya mewujudkan satu komuniti menggerakkan industri muzik tempatan.

"Namun, saya berharap mereka konsisten dan jangan tanam minat hanya sementara," katanya.

Terdahulu, Anugerah MACP berlangsung dalam norma baharu dalam skala kecil, kelmarin.

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan termasuklah lagu yang dijulang sebagai Juara Lagu, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, Sumpah dendangan dan ciptaan Naim Daniel bersama Omar K menang kategori Persembahan Lagu Melayu Terbanyak.

Luncai Emas Sdn Bhd terus mengekalkan kedudukan sebagai Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak, manakala Universal Music Publishing Sdn Bhd pula menang kategori Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi.

Sementara itu, Zynakal dipilih sebagai penerima kategori Komposer Muda Berpotensi.

Kategori lain turut dipertandingkan ialah Lagu Cina Dendangan Terbanyak yang dimenangi lagu Drama Queen ciptaan Quasimofo dan lirik oleh Ka Xi.

Bagi kategori Lagu Luar Negara Dendangan Terbanyak menjadi milik lagu Wei Da De Miao Xiao nyanyian dan ciptaan Lin Jun Jie dan lirik ditulis oleh Xiao Han.

Lagu Tamil Dendangan Terbanyak pula dimenangi lagu Pogiren ciptaan Prashan dan lirik oleh Mugen Rao.

Berita Harian X