Khamis, 30 Disember 2021 | 11:00am
Azhan sebak melihat keadaan rumah warga emas yang hampir musnah disebabkan ditenggelami air paras bumbung. - Foto IG Azhan Rani
Azhan sebak melihat keadaan rumah warga emas yang hampir musnah disebabkan ditenggelami air paras bumbung. - Foto IG Azhan Rani

Wanita berkaki ayam terpa Azhan minta bantuan

KUALA LUMPUR: Insiden wanita warga emas berlari-lari sambil berkaki ayam dalam lumpur menerpa ke arah pelakon, Azhan Rani dan pasukan sukarelawan ketika menjayakan misi bantuan banjir di Mentakab, Pahang mengundang sebak di kalangan warga netizen.

Malah, video dan gambar yang dimuat naik Azhan dalam laman Instagram (IG) menjadi tular, sejak kelmarin.

Bukan hanya mengundang sebak warga netizen, malah, Azhan sendiri tersentuh hati melihat kelibat wanita warga emas itu ketika misi bantuan banjir di Kampung Batu Kapor Bawah 6, Mentakab, baru-baru ini.

Bagi aktor yang sinonim dengan watak Ustaz Hamadi menerusi drama rantaian, Nur itu, momen yang berlaku di Kampung Batu Kapor Bawah 6 tidak mampu dilupakan.

"Saya dan sukarelawan baru sahaja sampai ke kawasan perkampungan ini. Kedudukannya agak jauh ke dalam berbanding rumah lain yang dijejaki. Musibah banjir menyebabkan rumah tenggelam hingga paras bumbung.

"Saya terpaku melihat makcik yang mengenakan tudung biru berlari sambil berkaki ayam ke arah kami tanpa mempedulikan apa yang dipijak. Saya risau jika terpijak kaca atau objek tajam.

"Rupa-rupanya, makcik ini nak minta bantuan daripada kami. Sangkanya, kami nak berlalu pergi meninggalkan kawasan ini memandangkan saya baru nak mengalihkan kereta mencari kawasan parkir yang sesuai.

"Tindakan saya membuatkan makcik ini rasa kami nak bergerak ke tempat lain. Ini kerana rumah makcik ini jauh ke belakang dan jalan menuju ke rumahnya pun tak nampak," katanya kepada BH Online.

Katanya, dia sempat menumpangkan wanita itu menaiki kereta pacuan empat roda bagi menunjuk arah jalan ke rumahnya.

Video dan gambar warga emas berkaki ayam yang dimuat naik Azhan dalam laman Instagram (IG) menjadi tular sejak kelmarin. - Foto IG Azhan Rani
Video dan gambar warga emas berkaki ayam yang dimuat naik Azhan dalam laman Instagram (IG) menjadi tular sejak kelmarin. - Foto IG Azhan Rani

Aktor yang diangkat Antagonis Pilihan, Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur pada 2019 itu berkata, dia tidak mampu menahan sebak apabila mendengar kisah wanita berkenaan.

"Makcik ini beritahu, tiada bantuan yang diberikan sebelum kami tiba, semalam (kelmarin). Rumahnya yang diperbuat daripada kayu roboh dan musnah disebabkan banjir.

"Memang kedudukannya rumahnya terletak berhampiran sungai. Hanya tinggal bahagian hadapan rumah sahaja yang masih tegak berdiri.

"Makcik ini terpaksa redah air paras paras dada untuk menyelamatkan diri ketika banjir. Tiada harta benda yang sempat diselamatkan.

"Daripada perbualan dengannya, makcik ini mempunyai seorang anak perempuan dan menantu. Anaknya baru berkahwin, minggu lalu.

"Malah, masih ada kesan runtuhan khemah yang dipacak ketika kami tiba," katanya sebak.

Kata Azhan lagi, wanita itu sempat berlindung ke kawasan sekolah, namun, kedudukannya agak jauh dari rumahnya.

"Jadi, ketika kami tiba, makcik ini sedang tengok apa lagi sisa yang tinggal dalam rumahnya.

"Jika makcik ini tidak menerpa ke arah kami memang tidak akan perasaan ada sebuah rumah di belakang," katanya.

Azhan menumpangkan warga emas menaiki kereta pacuan empat roda bagi menunjuk arah jalan ke rumahnya yang jauh ke dalam. - Foto IG Azhan Rani
Azhan menumpangkan warga emas menaiki kereta pacuan empat roda bagi menunjuk arah jalan ke rumahnya yang jauh ke dalam. - Foto IG Azhan Rani

Azhan berkata, dia terlintas apa nasib wanita berkenaan sepanjang dilanda musibah dan menanti bantuan.

"Apabila terfikir bagaimana keadaan makcik ini, apa yang dimakan, bagaimana tidurnya pada saat diuji buat saya termenung panjang.

"Betapa jijik kita jika nak merungut mengenai erti susah. Hakikatnya, ada yang lebih teruk daripada kita.

"Bayangkan, jika makcik ini adalah ibu kita yang berlari-lari demi menagih bantuan. Apa kita rasa?," katanya.

Azhan berkata, misi bantuan banjir itu dibuat secara sukarela antara 19 hingga 28 Disember lalu membabitkan beberapa kawasan dan negeri yang terpalit dengan musibah banjir.

Dalam tempoh itu, katanya, dana sebanyak RM80,279.52 berjaya dikumpul dan diagihkan. Bagaimanapun, sejumlah RM78,820.39 digunakan daripada jumlah keseluruhan diterima untuk mangsa banjir.

Kata Azhan, baki berjumlah RM1459.13 disalurkan kepada Surau Ar Rahman, Kampung Asahan, Selangor bagi menampung kos menggantikan permaidani yang rosak akibat banjir.

"Jika ikutkan tak banyak saya dan pasukan sukarelawan mampu bantu. Tetapi, hari ini dan seterusnya saya harap ada sumbangan untuk mereka yang terkesan.

"Jadi, saya nak masuk ke lorong kampung kerana ada antaranya yang tiada kemampuan nak keluar cari pusat bantuan di bandar. Mereka juga tiada masa dan pening kepala memikirkan prosedur demi menagih bantuan," katanya.

Berita Harian X