Selasa, 28 Disember 2021 | 4:20pm
Ang bersama pasangan pengantin ketika menghadiri majlis resepsi di sebuah villa di Genting Highlands. - Foto Michael Ang
Ang bersama pasangan pengantin ketika menghadiri majlis resepsi di sebuah villa di Genting Highlands. - Foto Michael Ang

Ang sedia beri kerjasama

KUALA LUMPUR: Pengarah, Michael Ang sedia memberi kerjasama kepada polis apabila menjadi salah seorang tetamu menghadiri majlis resepsi pasangan selebriti popular, Kamal Adli dan Uqasha Senrose di sebuah villa di Genting Highlands, Pahang pada 15 Disember lalu yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Majlis resepsi Kamal dan Uqasha disiasat polis berikutan satu video berdurasi 41 saat yang tular selepas dimuat naik dalam laman Facebook yang didakwa melanggar SOP Fasa 4, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ang percaya, ia membabitkan rakaman ketika pasangan pengantin membaling bunga kepada tetamu jika diamati dalam video yang tular itu.

"Bagaimanapun, saya pulang lebih awal dan tidak menunggu majlis selesai. Saya tidak menyaksikan babak pengantin membalingkan bunga itu.

"Namun, saya akan memberi kerjasama sekiranya dipanggil untuk siasatan," katanya kepada BH Online.

Pengarah mualaf itu menegaskan, setiap tetamu yang masuk ke premis acara persendirian itu melalui proses biasa seperti mengimbas kod MySejahtera.

Malah, tegas Ang lagi, penganjur turut meminta melakukan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sebelum masuk ke premis berkenaan.

"Setakat ini, tiada tetamu dimaklumkan positif COVID-19.

"Setahu saya, setiap tetamu perlu melakukan ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu. Ia norma baharu yang perlu dibiasakan dan menjadi tanggungjawab bersama.

"Tambahan pula, ujian boleh dilakukan sendiri dengan mengguna kit ujian kendiri COVID-19," katanya.

Majlis resepsi Kamal dan Uqasha disiasat polis berikutan satu video berdurasi 41 saat yang tular selepas dimuat naik dalam Facebook yang didakwa melanggar SOP Fasa 4, PPN.
Majlis resepsi Kamal dan Uqasha disiasat polis berikutan satu video berdurasi 41 saat yang tular selepas dimuat naik dalam Facebook yang didakwa melanggar SOP Fasa 4, PPN.

Ang berkata, majlis berinai diadakan sehari sebelum majlis resepsi di lokasi yang sama.

"Selepas tiga minggu berlalu majlis resepsi, semuanya masih terkawal. Malah, Kamal dan Uqasha kini berada di Tanah Suci Makkah mengerjakan umrah," katanya.

Pengarah drama The Hotel itu berkata, dia berasakan sebaiknya perhatian diberikan kepada musibah banjir dan isu lain yang lebih utama.

"Saya tidak melihat majlis resepsi Kamal dan Uqasha mewujudkan kluster baharu.

"Jadi, lebih baik tumpuan diberikan kepada isu semasa seperti banjir yang menyingkap pelbagai sisi cerita," katanya.

Terdahulu, majlis perkahwinan Kamal dan Uqasha kini disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong kerana melanggar SOP Fasa 4, PPN.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu, dengan satu video berdurasi 41 saat yang tular dimuat naik menerusi sesawang Facebook memaparkan majlis pasangan selebriti terkenal itu yang diadakan di sebuah villa di tanah tinggi itu.

Katanya, siasatan polis mendapati majlis resepsi berlangsung kira-kira jam 8.30 malam pada 15 Disember lalu.

"Berdasarkan video terbabit, didapati ada tetamu yang hadir tidak memakai pelitup muka, selain tidak mengamalkan penjarakan sosial," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berita Harian X