Ahad, 26 Disember 2021 | 1:00pm
Oktovia bersama Aprena dan anaknya pada hari pernikahan. Selasa lalu. Foto Ihsan Oktovia Manrose
Oktovia bersama Aprena dan anaknya pada hari pernikahan. Selasa lalu. Foto Ihsan Oktovia Manrose

Oktovia, Togo sedia timang anak

KUALA LUMPUR: Selepas lapan tahun bergelar ibu tunggal, pelakon, Oktovia Manrose, 30, yang menikahi bekas pemain bola sepak, Mohamad Khairul Efsan Md Isa, 32, Selasa lalu, sedia hamil lagi.

Oktovia atau nama sebenar, Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman dan suami bagaimanapun menyerahkan soal zuriat kepada Tuhan.

"Pasangan berkahwin pasti mengimpikan rumah tangga dilengkapi cahaya mata. Saya dan suami tidak terkecuali.

"Cuma, kami tidak terlalu terburu-buru dalam hal ini. Kalau diberi rezeki cepat untuk hamil, saya terbuka... Begitulah sebaliknya.

Oktovia dan Togo berkenalan sejak enam tahun lalu, namun, rapat sejak enam bulan lalu. Foto Ihsan Oktovia Manrose
Oktovia dan Togo berkenalan sejak enam tahun lalu, namun, rapat sejak enam bulan lalu. Foto Ihsan Oktovia Manrose

"Andai dapat rezeki anak perempuan menarik juga. Perkahwinan pertama dahulu saya dikurniakan anak lelaki yang kini berusia 10 tahun, Muhammad Rayyan Zaffarel," katanya kepada BH Online.

Kakak kepada Aprena Manrose ini berkata lagi, keinginan suami yang pernah bermain untuk pasukan Melaka United dalam memperbaiki pelbagai aspek kehidupan menjadi antara sebab dia tertarik dengan Mohamad Khairul Efsan atau Togo.

"Ramai tahu saya berhijab sejak Aidilfitri lalu. Saya segan hendak bercerita soal penghijrahan. Ada suami yang berkongsi rentak sama dalam memperbaiki diri dan mendekatkan diri dengan Tuhan menjadikan saya lebih bersemangat.

"Saya tertarik kerana suami serius merencana perjalanan hidup. Bukan mudah untuk istiqamah. Semoga rumah tangga kami diberkati dan dipermudahkan dalam segala hal," katanya.

Oktovia yang membintangi drama Hari Kita Jatuh Cinta berkata, dia dan suami berkenalan sejak enam tahun lalu.

"Perasaan istimewa yang memekarkan cinta mula dirasai sejak enam bulan lalu. Aprena dan suaminya suka mengusik dan 'kenen' kami sampai melekat jodoh," katanya.

Mengenai bulan madu, Oktovia dan suami belum memutuskannya kerana bimbang dengan situasi semasa negara dan penularan pandemik COVID-19.

"Kami lebih banyak menghabiskan masa menziarahi keluarga dan sanak-saudara. Mungkin apabila sudah reda, kami pertimbangkan berbulan madu dalam negara," katanya.

Selasa lalu, Oktovia dan Togo melangsungkan pernikahan di sebuah premis acara di ibu negara. Mereka dinikahkan bapa Oktovia, Iwan yang juga bekas penyanyi dangdut.

Pada majlis bertemakan dalam taman, Togo menyerahkan mas kahwin RM80. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Berita Harian X