Khamis, 23 Disember 2021 | 1:00pm
Aina berkongsi kisah suka duka sejak mula menceburi dunia muzik 10 tahun lalu pada ‘showcase’ di ibu negara, baru-baru ini. Foto IG Aina Abdul
Aina berkongsi kisah suka duka sejak mula menceburi dunia muzik 10 tahun lalu pada ‘showcase’ di ibu negara, baru-baru ini. Foto IG Aina Abdul

Diva dalam ciptaan

KUALA LUMPUR: Umpama autobiografi, persembahan istimewa atau 'showcase' A Night With Aina Abdul di The Platform, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, baru-baru ini, menjadi medium buat penyanyi itu berkongsi pengalaman dan mengimbau kenangan bersama peminat.

Daripada angan-angan yang bertukar menjadi cita-cita, akhirnya hasrat Aina mementaskan persembahan istimewa menjadi kenyataan biarpun terpaksa akur prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Melihat ratusan penonton pada persembahan anjuran syarikatnya, Aina Abdul Entertainment, tidak hairanlah, Aina atau nama penuhnya, Nurul Aina Abdul Ghani gagal mengawal sebak hingga menitiskan air mata.

Akui Aina, pengalaman membuat persembahan tanpa penonton ketika mula bergiat dalam bidang muzik lebih sedekad lalu, masih membekas dalam jiwa.

Lantaran itu, Aina berazam, suatu hari nanti, dia mahu tampil di pentas persembahan sendiri.

"Saya pernah menyanyi tanpa ada penonton. Hanya kerusi dan meja memenuhi ruang. Justeru, apabila melihat ramai penonton hadir, saya sangat terharu. Saya anggap ini anugerah Allah SWT.

Aina mendendangkan lagu Mimpi Kita yang dicipta khas untuk arwah bapanya dalam ‘showcase’ di ibu negara, baru-baru ini. Foto IG Aina Abdul
Aina mendendangkan lagu Mimpi Kita yang dicipta khas untuk arwah bapanya dalam ‘showcase’ di ibu negara, baru-baru ini. Foto IG Aina Abdul

"Jika kerusi dan meja mampu memberikan saya tenaga ketika membuat persembahan dahulu, apatah lagi dengan kehadiran penonton seramai ini," katanya usai persembahan itu.

Terbukti tenaga dimaksudkan penyanyi Sumpah ini bukan sekadar retorik, sebaliknya, dibuktikan dengan keupayaan menjadikan 'showcase' 90 minit itu menghiburkan.

Tampil ranggi dengan gaun labuh rona hitam putih, Aina membuka tirai persembahan dengan medley Shadow dan I Surrender yang dipopularkan Celine Dion.

Persembahan diteruskan dengan untaian irama balada iaitu Semalam diikuti lagu yang turut tercalon ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 36 (SFMM36) berjudul Sepi.

Dikenali dengan keampuhan vokal, keistimewaan itu digunakan bekas peserta program Mentor Legend 2014 ini untuk menjadikan dendangannya meresap dalam jiwa penonton lalu larut dalam emosi.

Situasi itu jelas dilihat ketika ketika penyanyi berusia 28 tahun ini menyampaikan lagu Mimpi Kita yang dicipta khas untuk arwah bapa, Abdul Ghani Abdullah yang meninggal dunia ketika Aina berusia 15 tahun.

Pengalaman menyanyi di premis hiburan memberi kelebihan kepada bekas protege kepada Ratu Rock, Ella ini untuk berkomunikasi dengan penonton.

Bukan sekadar pegang mikrofon dan menyanyi, Aina berceloteh dan berjenaka dengan peminatnya.

Ada ketika, kisah dikongsi mampu membuat penonton ketawa. Ada masanya, cerita disampaikan mengundang air mata.

Ternyata graduan dalam bidang muzik kontemporari ini sudah mempersiapkan diri untuk menjadi penghibur. Maka, tidak keterlaluan andai dikatakan Aina diva dalam ciptaan.

Mahu mengikut resam padi semakin tunduk apabila berisi, pemenang trofi kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) ke-34 bersama Khai Bahar ini berharap dia kekal membumi biarpun tangan menggapai bintang.

"Saya bersyukur kerana pengalaman mengajar saya lebih berpijak di bumi nyata. Kalau dari dulu semua yang saya lakukan melalui jalan mudah, pasti saya akan jadi lupa diri.

"Sebagai manusia tidak mustahil kita boleh terlalai. Mujur saya ada pengurus dan pembantu yang sering mengingatkan saya setiap hari mengenai apa yang perlu dilakukan atau dijauhi," katanya.

Berita Harian X