Selasa, 21 Disember 2021 | 9:53am
Raja Syahiran dan Uyaina menangguhkan hasrat berbulan madu ke Eropah berikutan penularan varian baharu COVID-19, Omicron. Foto Ihsan CST Production
Raja Syahiran dan Uyaina menangguhkan hasrat berbulan madu ke Eropah berikutan penularan varian baharu COVID-19, Omicron. Foto Ihsan CST Production

Raja Syahiran, Uyaina sah suami isteri

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, 29, sah bergelar isteri kepada penyanyi, Raja Syahiran, 28, di sebuah premis acara di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini, pada jam 9.03 pagi tadi.

Pasangan itu dinikahkan abang Uyaina, Mohd Attaful Uzair Arshad disaksikan Pendaftar Pernikahan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Abd Nasir Abdullah serta dua saksi lain.

Raja Syahiran atau nama penuh, Raja Azhanrianshah, 28, menyerahkan mas kahwin sebentuk cincin dan gelang tangan emas buat Uyaina.

Tiada pertukaran dulang hantaran antara kedua-dua pihak dan mempelai memilih merahsiakan jumlah wang hantaran atas persetujuan keluarga.

Uyaina atau nama sebenar, Saidatul Naseha Uyaina Arshad bersyukur ke hadrat Ilahi apabila majlis akad nikah lancar.

"Alhamdulillah, majlis pernikahan kami lancar pagi ini. Sebenarnya, kami sudah merancang pernikahan ini sejak beberapa bulan lalu. Namun, banyak pertukaran daripada segi perancangan majlis.

"Ini berikutan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang cepat berubah dan mengikut keadaan semasa.

Dengan sekali lafaz, Uyaina sah bergelar isteri kepada Raja Syahiran di sebuah premis acara di KLCC, pagi tadi. Foto Ihsan CST Production
Dengan sekali lafaz, Uyaina sah bergelar isteri kepada Raja Syahiran di sebuah premis acara di KLCC, pagi tadi. Foto Ihsan CST Production

"Selain itu, kejadian banjir terburuk dua hari sebelum majlis pernikahan memberi cabaran kepada kami," katanya kepada BH Online.

Majlis pernikahan itu dihadiri kira-kira 100 tetamu merangkumi ahli keluarga dan rakan terdekat.

Uyaina berkata, dia dan suami memilih Eropah sebagai destinasi bulan madu. Namun, hasrat itu terpaksa ditangguhkan berikutan penularan varian baharu COVID-19, Omicron.

"Buat masa ini, kami bercadang melawat keluarga dan saudara-mara yang tidak dapat menghadiri majlis pernikahan. Kami mahu perkenalkan diri kepada keluarga besar masing-masing," katanya.

Judul lagu ciptaan Raja Syahiran dan Uyaina, Hingga Akhir Waktu menjad tanda pagar acara pernikahan pasangan itu. Lagu cinta itu dihadiahkan kepada ibu Uyaina, Siti Noor Farah.

Pasangan selebriti ini berkenalan pada 2019 melalui program terbitan Astro.

Berita Harian X