Isnin, 20 Disember 2021 | 3:00pm
Jalena menganggap kemenangan Budak Tebing seakan-akan menghantar isyarat bahawa sudah tiba masanya stesen penyiaran memberi lebih ruang untuk drama bertemakan isu sosial remaja. Foto Ihsan ADS 2021
Jalena menganggap kemenangan Budak Tebing seakan-akan menghantar isyarat bahawa sudah tiba masanya stesen penyiaran memberi lebih ruang untuk drama bertemakan isu sosial remaja. Foto Ihsan ADS 2021

Naskhah berani faktor Budak Tebing menang

KUALA LUMPUR: Berani menghasilkan karya menongkah arus dengan mengangkat realiti kehidupan remaja dan isu yang dekat dengan masyarakat melayakkan drama Budak Tebing mengungguli kategori Drama Terbaik, Anugerah Drama Sangat (ADS) 2021.

Biarpun bersaing dengan drama lain yang memaparkan tema cinta korporat dan adaptasi novel popular, namun, atas faktor percaya drama arahan Feroz Kader itu memiliki keunikan tersendiri, rasa bimbang dan ragu dibuang jauh-jauh penerbitnya.

Jalena Rejab dari Country & Universal Sdn Bhd mengaku pada mulanya gusar apakah penonton boleh menerima konsep yang diketengahkan mereka dalam Budak Tebing.

"Apabila stesen televisyen (TV) sudah meluluskan projek drama ini hingga ke peringkat bacaan skrip, saya dan Feroz masih tertanya-tanya apakah drama ini mampu memenuhi cita rasa penonton.

"Budak Tebing bukanlah naskhah berkisar kisah cinta atau membabitkan ahli korporat. Malah, pelakon yang dibariskan bukanlah nama besar atau kacak.

"Namun, disebabkan saya suka dengan cerita dipaparkan serta ada kaitan dengan realiti kehidupan masyarakat hari ini, saya buat drama ini.

"Alhamdulillah, saya bersyukur drama ini memenangi kategori Drama Terbaik dan dua anugerah utama lain," katanya pada sidang media secara virtual, semalam.

Selain Drama Terbaik, Budak Tebing meraih trofi Pengarah Terbaik yang dimenangi Feroz dan Penulis Skrip Terbaik diraih Janjira dan PGRs Team. Foto Ihsan ADS 2021
Selain Drama Terbaik, Budak Tebing meraih trofi Pengarah Terbaik yang dimenangi Feroz dan Penulis Skrip Terbaik diraih Janjira dan PGRs Team. Foto Ihsan ADS 2021

Budak Tebing turut mengungguli dua kategori lain iaitu Pengarah Terbaik yang dimenangi Feroz dan Penulis Skrip Terbaik diraih Janjira dan PGRs Team.

Keputusan diumumkan pengacara Melodi, Nabila Huda dalam program hiburan itu yang disiarkan secara langsung TV3, tengah hari semalam.

Pengumuman itu mengakhiri tanda tanya pemenang trofi utama ADS 2021 yang terpaksa dihentikan siarannya, malam kelmarin, berikutan lokasi acara, Pusat Persidangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) dilanda banjir.

Jalena berkata, kemenangan Budak Tebing seakan-akan menghantar isyarat bahawa sudah tiba masanya stesen penyiaran memberi lebih ruang untuk drama bertemakan isu sosial remaja.

"Sudah lama kita tidak ada drama bertemakan remaja dan menyentuh kehidupan realiti masyarakat. Mungkin sudah tiba masanya stesen penyiaran memperbanyakkan penghasilan drama begini.

"Atau mungkin TV3 dapat menjadikan slot Lestary sebagai sajian khusus untuk drama yang mengetengahkan isu remaja dan konflik dihadapi," katanya yang mesra disapa Kak Jai.

Malam kemuncak ADS 21021 turut menyaksikan kemenangan berulang buat tiga pelakon iaitu Janna Nick, Zul Ariffin dan Liza Abdullah.

Janna yang juga pemenang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 mengungguli kategori Pelakon Wanita Terbaik.

Zul yang diangkat Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31, meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik. Liza pula mengulangi kejayaan diraih pada ABPBH 34 dengan membawa pulang trofi Pelakon Antagonis Terbaik.

Sementara itu, mengulas penganjuran ADS 2021 yang julung kali diadakan, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios (PWS), Datuk Khairul Anwar Salleh menyifatkan acara itu anjakan baharu bagi program anugerah.

"ADS 2021 sangat unik dan istimewa kerana membabitkan drama yang sentiasa sohor kini dan menjadi pilihan penonton.

"Anugerah ini boleh dianggap acara hibrid apabila sistem penjurian menggabungkan dua kaedah iaitu penilaian juri profesional dan online," katanya.

Khairul Anwar berkata, ADS 2021 dianjurkan bagi menghargai sumbangan dan kesungguhan tenaga produksi memenuhi cita rasa penonton dengan menghasilkan kandungan kreatif berkualiti," katanya.

Ditanya apakah ada kemungkinan untuk ADS menjadi acara tahunan, Khairul Anwar berkata, perkara itu masih belum diputuskan.

"Kita tengok dahulu sambutannya. Jika ada permintaan, mungkin kita boleh melaksanakannya. Mungkin kita tambah kategori ikut kesesuaian," katanya.

Mempertaruhkan 11 kategori utama, ADS 2021 yang dikendalikan Nabila dan Ain Edruce, membariskan nama besar sebagai penyampai trofi antaranya Erra Fazira, Datuk Yusof Haslam, Jalil Hamid, Azhan Rani dan Aaron Aziz.

Malam kemuncak ADS 2021 turut diserikan dengan persembahan artis seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar, Noraniza Idris, Bunga Isme, Stacy, MK dan Noki.

Berita Harian X