X
Ahad, 19 Disember 2021 | 2:14pm
Nabila ketika mengumumkan keputusan kategori utama ADS 2021 dalam program Melodi yang disiarkan secara langsung TV3, tengah hari tadi. Foto IG Drama Sangat
Nabila ketika mengumumkan keputusan kategori utama ADS 2021 dalam program Melodi yang disiarkan secara langsung TV3, tengah hari tadi. Foto IG Drama Sangat

Budak Tebing Drama Terbaik ADS 2021

Karya mengangkat erti persahabatan, Budak Tebing diumumkan Drama Terbaik ADS 2021. Foto IG Drama Sangat
Karya mengangkat erti persahabatan, Budak Tebing diumumkan Drama Terbaik ADS 2021. Foto IG Drama Sangat

KUALA LUMPUR: Karya mengangkat erti persahabatan, Budak Tebing diumumkan Drama Terbaik pada Anugerah Drama Sangat (ADS) 2021.

Keputusan itu diumumkan pengacara Melodi, Nabila Huda dalam program hiburan itu yang disiarkan secara langsung TV3, tengah hari tadi.

Feroz diumumkan pemenang trofi Pengarah Terbaik ADS 2021. Foto IG Drama Sangat
Feroz diumumkan pemenang trofi Pengarah Terbaik ADS 2021. Foto IG Drama Sangat

Budak Tebing terbitan Country & Universal Sdn Bhd turut mengungguli dua kategori lain iaitu Pengarah Terbaik yang dimenangi Feroz Kadir dan Penulis Skrip Terbaik diraih Janjira dan PGRs Team.

Sementara itu, drama terbitan Orange Tree Productions Sdn Bhd berjudul Melastik Ke Hatimu diumumkan pemenang kategori Drama Popular.

Pengumuman itu menjawab teka-teki siapa pemenang trofi utama ADS 2021 yang terpaksa dihentikan siarannya, malam tadi, berikutan lokasi acara, Pusat Persidangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, dilanda banjir.

ADS 2021 turut menganugerahkan Anugerah Pesona Bintang kepada pelakon dan pengarah berkaliber, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy bagi menghargai sumbangannya dalam dunia kreatif.

Watak lelaki yang diperangkap dan menjadi 'kambing hitam' dikenali sebagai Ryan lakonan Zul Ariffin dalam drama Ryan Aralyn membolehkan beliau diangkat Pelakon Lelaki Terbaik.

Trofi Pelakon Wanita Terbaik pula menjadi milik Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) Ke-34, Janna Nick yang mempamerkan lakonan meyakinkan sebagai wanita 'psiko' dalam drama Misteri Mona.

Sementara itu, pelakon senior, Liza Abdullah mengulangi kejayaan diraih di pentas ABPBH 34 apabila mengungguli kategori Pelakon Antagonis Terbaik menerusi watak Mak Leha dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2.

Gandingan mantap pasangan pelakon, Shukri Yahya dan Siti Saleha dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2 membolehkan mereka meraih trofi Pasangan Drama Terbaik.

Drama Bidadari Salju turut mencatat kejayaan apabila lagu Mimpi dendangan Haqiem Rusli, diumumkan pemenang Anugerah OST Terbaik.

ADS 2021 turut menyaksikan drama Kampung People 2 yang menjadi bualan netizen, diumumkan sebagai pemenang kategori Babak Tular Drama Terbaik.

Mempertaruhkan 11 kategori utama, ADS 2021 yang dikendalikan Nabila dan Ain Edruce, membariskan nama besar sebagai penyampai trofi antaranya Erra Fazira, Datuk Yusof Haslam, Jalil Hamid, Azhan Rani dan Aaron Aziz.

Malam kemuncak ADS  2021 turut diserikan dengan persembahan artis seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar, Noraniza Idris, Bunga Isme, Stacy, MK dan Noki.

Malam tadi, Media Prima Berhad (MPB) memohon maaf berikutan terpaksa menangguhkan pengumuman pemenang lima kategori ADS 2021, berikutan lokasi acara, WTC KL di sini, dinaiki air.

Berita Harian X