Sabtu, 11 Disember 2021 | 11:00am
Menghasilkan minyak wangi Holiday, Liza menyasarkan melantik 500 ejen menjual produk itu, tahun depan. Foto Ihsan Liza Hanim
Menghasilkan minyak wangi Holiday, Liza menyasarkan melantik 500 ejen menjual produk itu, tahun depan. Foto Ihsan Liza Hanim

'Tak sanggup gadai maruah'

SHAH ALAM: Kebelakangan ini, ada dalam kalangan pengasas produk terutama wanita menggunakan kaedah keterlaluan termasuk beraksi lucah semata-mata mahu melariskan produk mereka.

Walaupun ramai yang mengecam perbuatan itu termasuk mendapat teguran tokoh agama, namun, peringatan diberi tidak ubah seperti mencurah air ke daun keladi.

Barangkali pengasas produk terbabit percaya kuasa viral di mana semakin isu diperkatakan, bertambah meluaslah perhatian dan publisiti diberi terhadap produk diasaskan mereka.

Namun, tidak semua pengusaha produk menyokong strategi memualkan itu termasuk penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Getaran Cinta Di Jiwa, Liza Hanim.

Bagi Liza atau nama sebenar, Haliza Hanim Abdul Halim, 42, biarpun elemen seks dilihat berkesan menjadi strategi pemasaran, namun, demi maruah, dia tidak sanggup melakukan kaedah seumpama itu.

"Konsep promosi seperti itu tidak sepatutnya dilakukan terutama oleh wanita. Maruah kita sudah diletakkan di tempat yang sangat tinggi sebelum ini.

"Jadi, mengapa perlu hendak merendahkan martabat sendiri dengan melakukan promosi keterlaluan di media sosial. Tak perlu hendak gunakan alasan wanita sekarang bebas melakukan apa sahaja.

"Jangan samakan pendirian mereka dengan wanita lain kerana suara mereka tidak mewakili kami," katanya pada majlis Sepetang Bersama Liza Hanim di Bukit Jelutong, di sini, baru-baru ini.

Majlis itu dianjurkan sempena pelancaran minyak wangi, Holiday dan sambutan ulang tahun pertama bisnes yang diusahakannya itu.

Walaupun terpaksa menunggu dalam tempoh yang agak lama untuk produk keluarannya mendapat perhatian ramai, Liza yang mengusahakan bisnes haruman dan hijab jenama Hanim tidak kisah dengan cabaran itu asalkan berkat.

"Sebelum ini, anak sulung saya, Marsya Qistina pernah sarankan saya buat sesuatu yang boleh mencetuskan kontroversi lalu tular demi melariskan produk.

"Sudah pasti saranan itu saya tolak. Sepanjang lebih dua dekad dalam dunia nyanyian, saya cukup menjaga nama baik dan reputasi diri.

"Tidak sanggup saya berdepan kecaman atau memalukan keturunan saya hanya kerana mahu dahagakan perhatian.

"Lagipun, bagi saya, keberkatan dalam bisnes itu lebih penting. Ini bukan sahaja untuk diri saya sendiri malah ejen saya.

Liza tidak sesekali menggadaikan maruah hanya kerana mahu memastikan produk dikeluarkan mendapat perhatian ramai melalui taktik promosi keterlaluan. Foto Ihsan Liza Hanim
Liza tidak sesekali menggadaikan maruah hanya kerana mahu memastikan produk dikeluarkan mendapat perhatian ramai melalui taktik promosi keterlaluan. Foto Ihsan Liza Hanim

"Saya tidak kisah jika produk saya lambat dikenali asal datang dari sumber bersih," katanya.

Pada majlis itu, bekas naib juara musim keempat Gegar Vaganza (GV) ini berkongsi pengalaman duka apabila memulakan perniagaan pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

"Sepatutnya, saya mahu keluarkan produk haruman pertama pada Mac, tahun lalu. Namun, disebabkan PKP, saya tukar kepada perniagaan menjual cecair pembasmi kuman.

"Tidak dinafikan, saya agak bergelut untuk meneruskan bisnes ini kerana selain dijalankan ketika PKP, saya juga sifar pengalaman dalam perniagaan membabitkan pengguna.

"Saya pernah putus asa dan tidak mahu meneruskan perniagaan ini. Namun, mengenangkan visi memulakan bisnes bagi membantu orang menjana pendapatan, saya teruskan dan berusaha untuk mencari ilmu baharu.

"Tidak sangka selepas mengharungi pelbagai ranjau, saya dapat meraikan ulang tahun pertama jenama saya ini.

Alhamdulillah, perniagaan makin berkembang.

"Saya sudah ada 200 ejen berdaftar. Tahun depan, sasaran saya adalah 500 ejen. Saya ingin melatih lebih ramai ejen baharu selepas ini," katanya.

Berita Harian X