Sabtu, 11 Disember 2021 | 12:28am
Junainah meraih trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM31, malam tadi. Foto Ihsan FFM31
Junainah meraih trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM31, malam tadi. Foto Ihsan FFM31

Roh Filem Terbaik FFM31

KUALA LUMPUR: Filem seram indie, Roh meraih enam trofi termasuk Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 yang disiarkan secara langsung TV2 dari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi.

Selain trofi, penerbit filem Roh menerima Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000 yang disalur mengikut garis panduan tatacara permohonan dana industri kreatif.

Selain Filem Terbaik, Roh arahan Emir Ezwan, menang kategori Lakon Layar Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Rekaan Busana Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.

Penerbit Eksekutif filem Roh, Amir Muhammad tidak menyangka filem bajet kecil itu meraih hadiah utama.

"Saya terharu apabila filem kecil ini dipilih. Alhamdulillah ini suatu peningkatan buat kami. Kami tidak buat filem mahal, kami bikin filem biaya rendah.

"Alhamdulillah, selepas 10 tahun tidak buat filem, kami berjaya membawa pulang anugerah ini," katanya kepada BH Online.

Amir berkata, Roh dihasilkan dengan gaya tersendiri hasil imaginasi Emir.

"Imaginasi dan keupayaan Emir menjayakan aspek seni dalam filem ini. Biarpun pada awal ada yang cakap tidak suka kerana faham jalan cerita, tetapi apabila ditayangkan, ramai orang suka.

"Ini menunjukkan kalau kita berikan variasi, ada penonton sambut, jadi jangan pandang rendah," katanya.

Amir mahu terus bekerjasama dengan Emir menghasilkan filem baharu. Foto Ihsan FFM31
Amir mahu terus bekerjasama dengan Emir menghasilkan filem baharu. Foto Ihsan FFM31

Amir berkata dia akan terus bekerjasama dengan Emir menghasilkan filem baharu.

Selain Filem Terbaik, Roh yang diterbitkan Kuman Pictures Sdn Bhd membawa pulang trofi Lakon Layar Terbaik.

Bagi kategori pelakon, Junainah M Lojong diumum Pelakon Pembantu Wanita Terbaik manakala Putri Qaseh menjulang trofi Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.

Terdahulu, filem seram indie itu memenangi kategori Rekaan Busana Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.

Bersaing dengan empat filem hebat iaitu Fly By Night, Sangkar, Ejen Ali The Movie dan Geran, Roh mengangkat kisah keluarga daif yang menetap di pinggir hutan.

Mereka didatangi tetamu tidak diundang iaitu seorang kanak-kanak perempuan yang memberi ramalan ngeri. Pelbagai peristiwa mistik berlaku selepas itu.

Dibikin dengan bajet serendah RM360,000, filem Roh menjalani penggambaran selama 15 hari di lokasi rimba di Dengkil, Selangor.

Sebelum ini, Roh dipilih mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi Ke-93 bagi kategori Filem Antarabangsa.

Sementara itu, sutradara filem Sangkar, Kabir Bhatia dinobat Pengarah Terbaik mengenepikan Emir, Usamah Zaid Yasin (Ejen Ali The Movie), Zahir Omar (Fly By Night) dan Adrian Teh (Wira).

Kabir menganggap kejayaan itu suatu pencapaian besar buatnya.

"Saya tidak sangka menang anugerah ini. Saya datang hanya untuk menyokong. Syukur ini adalah hasil kerja seluruh pasukan.

"Filem ini berjaya kerana gabungan skrip dan penghayatan setiap karakter. Mereka meletakkan jiwa dan perasaan dalam menjayakan filem ini.

"Bagaimanapun, saya datang bukan untuk bertanding. Saya cuma mahu membuat filem yang baik," katanya.

Berita Harian X