Rabu, 8 Disember 2021 | 1:00pm
Amen ditemani ibunya, Hasmah ‘rabak’ pada hari pertama penggambaran telefilem peninggalan arwah Mamat, Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.
Amen ditemani ibunya, Hasmah ‘rabak’ pada hari pertama penggambaran telefilem peninggalan arwah Mamat, Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.

Tahan air mata di lokasi

KUALA LUMPUR: Pelbagai rasa bermain dalam jiwa Mohd Khalid Amen yang kali pertama memikul tanggungjawab atas kerusi pengarah demi menyudahkan projek telefilem ayah tercinta, Allahyarham Mamat Khalid, berjudul Kampung Pisang Berbuah Dua Kali, baru-baru ini.

Anak bongsu daripada empat beradik ini tanpa berselindung mengaku sepanjang penggambaran, hatinya rabak dengan air mata yang cuba disembunyikan daripada pelakon dan kru produksi.

Bukan mudah meneruskan kerja arwah ayah yang mencipta empayar sendiri, namun, jejaka mesra disapa Amen itu tahu ramai yang mahukan legasi Mamat diwarisi.

Telefilem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali terbitan Enjit Semut Production dengan kerjasama Astro Shaw itu memulakan penggambaran selama 10 hari sejak 15 November lalu di beberapa lokasi di Perak seperti Teluk Senangin dan Kuala Kangsar.

"Sejujurnya, kali pertama mengambil alih posisi pengarah daripada arwah papa, macam-macam rasa bertandang. Semua jadi bercampur-baur.

"Malah, sepanjang penggambaran, saya guna kerusi yang dihadiahkan Datuk Awie kepada arwah papa. Dahulu, saya yang menemani arwah duduk di sebelah kerusi 'director' bertemankan monitor.

"Arwah sudah tiada, kini keseorangan ... sunyi jadinya," katanya.

Amen mengaku terasa bagai arwah ayah ada di sisi sepanjang di lokasi.

"Benar, terasa macam arwah memerhatikan saya. Pada hari pertama saya tidak nafikan 'rabak' terkenangkan arwah. Mama juga datang pada hari pertama menemani saya... Mama pun menangis." katanya.

Amen bersama barisan pelakon telefilem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.
Amen bersama barisan pelakon telefilem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.

Amen, 25, berkata, dia terpaksa pura-pura berhati keras apabila berada di depan pelakon dan kru.

"Kenalah tunjuk 'macho' walaupun hati sangat rabak. Mengalir air mata jantan sampai kena sorok muka.

"Saya dapat rasa kru dan pelakon yang ada pun sama-sama sedih. Tetapi mereka faham dan tidak mahu perasaan itu larut.

"Saya bersyukur pelakon dan kru beri sokongan penuh untuk kerja pengarahan pertama saya. Lega kerana tugas pertama mengarah ini bagai suatu amanah untuk saya lunaskan bersama semangat besar arwah," katanya.

Amen berkata, skrip telefilem itu menjadi nukilan terakhir arwah sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 24 Oktober lalu kerana serangan jantung.

"Tidak silap saya, skrip ini disiapkan kira-kira dua minggu sebelum arwah meninggal dunia," katanya.

Amen sangat terbuka jika ada pihak membandingkan sentuhannya dengan arwah apabila telefilem itu disiarkan kelak.

"Saya sedar akan ada perbandingan... Ini lumrah. Saya harap tidaklah keterlaluan membandingkan cara saya dan arwah papa. Apa-apapun saya terbuka.

"Seperti saya cakap, hanya ada seorang Mamat Khalid di dunia ini. Saya tidak boleh 'merampas' takhta itu. Sebagai pewaris bakatnya, saya akan cuba buat sehabis baik untuk membanggakan arwah, keluarga, teman dan peminat papa," katanya.

Telefilem yang bakal disiarkan Astro First itu dibintangi Aziz M Osman, Kazar Saisi, Bell Ngasri, Ahmad Yasin, Rashid Othman, Azman Naim, Datin Paduka Eina Azman dan ramai lagi.

Terdahulu, Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenar, Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak pada 24 Oktober lalu, jam 12.30 tengah malam.

Allahyarham meninggalkan balu, Hasmah Hassan dan lima anak. Selain Amen, arwah dan isteri dikurniakan empat anak lain iaitu Mohd Khalid Zaffa, Nor Sara, Mohd Khalid Adam dan Nur Hassanah.

Berita Harian X