Selasa, 7 Disember 2021 | 5:10pm
Kamal dan Uqasha sah bergelar suami isteri dengan dua kali lafaz pada majlis yang diadakan secara tertutup di Janda Baik. - Foto Ihsan Astro
Kamal dan Uqasha sah bergelar suami isteri dengan dua kali lafaz pada majlis yang diadakan secara tertutup di Janda Baik. - Foto Ihsan Astro

Kamal, Uqasha sudah sebulan nikah

KUALA LUMPUR: Selepas sebulan berteka-teki mengenai status perkahwinan, pasangan sensasi, Kamal Adli, 35, dan Uqasha Senrose, 29, akhirnya mengumumkan sudah sah bergelar suami isteri pada 5 November lalu.

Ia sekali gus mengiyakan gosip pemenang trofi Gandingan Serasi Drama Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada edisi 33 dan 34 itu sudah berkahwin, awal bulan lalu.

Kamal dan Uqasha memaklumkan, majlis akad nikah diadakan secara tertutup di sebuah lokasi persendirian di Janda Baik, Pahang pada sidang media liputan eksklusif 'Walimatulurus Kamal Adli & Uqasha Senrose', petang ini.

Hanya dua kali lafaz, Kamal dan Uqasha sah bergelar suami isteri. Pasangan pengantin dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Nik Sen Mat Ripin di sisi jurunikah, Tuan Izzuddin Abdul Mutalib, jam 9.39 pagi pada 5 November lalu.

Pada majlis bertemakan dalam taman itu, Kamal atau nama sebenarnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli menyerahkan wang tunai RM22.50 sebagai mas kahwin. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen menerima tujuh dulang hantaran berbalas sembilan daripada pihak pengantin lelaki.

"Alhamdulillah, kami selamat bergelar suami isteri, sebulan lalu. Akhirnya, segala-galanya dipermudahkan selepas beberapa kali perancangan perkahwinan tertunda disebabkan situasi pandemik COVID-19.

"Hanya 100 tetamu sahaja yang hadir. Terima kasih kepada ahli keluarga yang menghormati permintaan kerana terikat dengan hak eksklusif Astro untuk perkahwinan ini.

"Tarikh asyik bertukar, tetapi kami lega apabila terlepas satu bebanan," kata Kamal yang gembira dan teruja dengan tanggungjawab barunya itu.

Akhirnya, segala perancangan Kamal dan Uqasha dipermudahkan selepas beberapa kali majlis perkahwinan tertunda disebabkan situasi pandemik COVID-19. - Foto Ihsan Astro
Akhirnya, segala perancangan Kamal dan Uqasha dipermudahkan selepas beberapa kali majlis perkahwinan tertunda disebabkan situasi pandemik COVID-19. - Foto Ihsan Astro

Sementara itu, Uqasha mendedahkan, dia tiada niat langsung mahu berahsia.

"Dengan prosedur operasi standard (SOP) dan tarikh bertukar-tukar, kami memang tertekan. Nak ajak ramai tetamu pula terbatas, jemputan memang terhad," katanya.

Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada April lalu dalam majlis tertutup di sebuah hotel di ibu negara.

Kamal turut membuat kejutan apabila melamar Uqasha secara langsung pada siaran Anugerah MeleTOP Era 2020 pada Disember, tahun lalu.

Hubungan cinta Kamal dan Uqaha mula menjadi perhatian peminat selepas digandingkan dalam drama Setelah Terlafaznya Akad arahan Michael Ang.

Kamal dan Uqasha bakal menunaikan umrah pada 23 Disember ini sebagai pra bulan madu.

Tiga episod istimewa dalam program 'Walimatulurus Kamal Adli & Uqasha Senrose' akan disiarkan secara eksklusif pada 11, 18 dan 25 Disember ini, jam 9 malam.

Berita Harian X