Rabu, 1 Disember 2021 | 6:00pm
Ogy berjanji memulangkan semula wang peminat yang membeli tiket konsert solo Khai menerusi pembelian AirAsia RedTix. - Foto NSTP
Ogy berjanji memulangkan semula wang peminat yang membeli tiket konsert solo Khai menerusi pembelian AirAsia RedTix. - Foto NSTP

'Gali lubang, tutup lubang?'

KUALA LUMPUR: Sudah ketentuan takdir nasib aktres jolokan Primadona Melayu, Fauziah Datuk Ahmad Daud sebagai penerbit tidak sebaik lakaran kerjayanya sebagai anak seni.

Dua kali menganjurkan acara persembahan pentas, daripada teater komedi seram, Korupsi Dewan Semandung hingga Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia yang sepatutnya dipentaskan di Istana Budaya (IB), ada sahaja ujian yang berlaku sepanjang perjalanannya itu.

Seakan apa yang diusahakan Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy menerusi syarikatnya, Ogy Ventures & Networks tidak pernah lancar.

Selepas lebih setahun Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia tertangguh akibat pandemik COVID-19, Ogy dengan berat hati mengumumkan penganjurannya terpaksa dibatalkan, baru-baru ini.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik menerusi akaun Instagram (IG), Ogy berjanji mahu memulangkan semula wang peminat yang sudah membeli tiket melalui AirAsia RedTix.

Namun, sudah pasti timbul dakwaan kononnya Ogy cuba 'gali lubang, tutup lubang' demi melangsaikan hutang kepada pelakon dan kru teater Korupsi Dewan Semandung.

Mengulasnya, Ogy berkata, dia mengambil masa hampir setahun memikirkannya, sebelum buat keputusan.

"Sebenarnya, saya bercadang meneruskan konsert dalam talian, namun, kembali memutuskan mempersembahkannya di IB. Tetapi, selepas membuat perhitungan kos dan sebagainya, nyata belum ada rezeki.

"Jika diteruskan, saya terpaksa menanggung hutang lebih banyak membabitkan kos tambahan termasuklah sanitasi panggung dan sebagainya. Jadi, saya dengan berat hati membatalkannya.

"Saya tahu ramai peminat Khai ingin mengetahui maklumat terkini. Ada juga menghantar mesej langsung dalam IG bertanyakan duit tiket mereka," katanya kepada BH Online.

Sehubungan itu, katanya, dia mengambil keputusan membuat pengumuman menerusi IG.

"Apapun, peminat yang sudah membeli tiket berhak mendapatkan semula wang mereka. Apabila peminat hantar mesej, jadi saya tidak boleh lepas tangan.

"Saya adalah penganjur, jadi saya mahu selesaikan bayaran semula secara baik," katanya kepada BH Online.

 Ogy dengan berat hati mengumumkan pembatalan Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia yang tertangguh akibat pandemik COVID-19, sejak setahun lalu. - Foto NSTP
Ogy dengan berat hati mengumumkan pembatalan Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia yang tertangguh akibat pandemik COVID-19, sejak setahun lalu. - Foto NSTP

Ogy berkata, dia yakin setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian. Mungkin Allah menjanjikan sesuatu lebih besar kepadanya pada masa hadapan.

"Apapun, saya tetap mengembalikan wang peminat. Insya-Allah, proses memulangkan semula duit tidak akan mengambil masa yang lama.

"Saya sudah menyerahkannya kepada peguam bagi menguruskan tiket pembeli memandangkan AirAsia RedTix sudah tidak wujud. Jadi, peguam akan menyelesaikannya.

"Setiap proses semuanya mempunyai perjanjian, namun, saya kurang pasti berapa banyak akan dibayar semula. Ini kerana peminat membeli tiket terus kepada AirAsia RedTix dan setiap pembelian pula ada cukai," katanya.

Mengenai dakwaan 'gali lubang tutup lubang', kononnya menggunakan bajet konsert untuk melangsaikan hutang teater Korupsi Dewan Semandung, Ogy berkata, semua pembelian tiket dibuat secara terus kepada AirAsia Red Tix, jadi tiada sesen masuk dalam akaun syarikatnya.

"Soal gali lubang, tutup lubang tidak timbul. Untuk pengetahuan, daripada 34 pelakon dan kru yang terbabit dalam pementasan, bayaran sudah dibuat kepada 32 orang.

"Kini, saya sedang menjelaskan sedikit demi sedikit baki kepada dua lagi kru, tetapi jumlahnya tidak banyak.

"Saya tidak faham kenapa apabila stesen televisyen lambat membuat bayaran, mereka tidak bising. Tetapi, bila saya lambat, mereka cuba membuka aib.

"Buatlah, saya tidak kisah dengan pandangan manusia, apa yang ditakutkan pandangan Allah," katanya.

Akuinya, dia tidak pernah serik atau mahu berehat daripada menerbitkan pementasan.

"Dalam perniagaan tiada istilah serik. Apa yang penting, jika mahu membuat pementasan atau konsert, saya akan merujuk kepada mereka yang mahir. Saya orang filem, jadi apa yang ingin saya buat perlu ada penasihat.

"Sudah hampir 50 tahun berada dalam industri seni, bergelar artis ini bukan sedikit tohmahan diterima. Jika tidak tahan kutukan, sudah lama saya meninggalkan kerjaya ini.

"Alhamdulillah, ramai peminat tegar Khai mendoakan terbaik untuk saya selepas buat pengumuman. Matlamat saya mengembalikan semula wang mereka," katanya.

Terdahulu, isu hutang mengaitkan Ogy pernah mencetuskan kekecohan apabila pengarah teater, Khir Rahman dan beberapa pelakon meluahkan ketidakpuasan hati terhadap kegagalannya melunaskan bayaran penuh hingga ada antara mereka membuat laporan polis pada Mac 2020.

Bagaimanapun, Ogy sanggup menggunakan wang hasil lakonan, pendapatan diperoleh daripada bisnes produk makanan bagi membayar hutang tertunggak.

Berita Harian X